Rabu, Oktober 22, 2014

DETIK HITAM : PEMAIN BADMINTON UTAMA NEGARA POSITIF DADAH?


Arena badminton tanah air akhirnya dipalit detik hitam selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan salah seorang pemain utama negara gagal dalam ujian doping yang dilakukan secara rawak di Kejohanan Dunia Copenhagen, Ogos lalu.

Belumpun reda dengan isu rakyat Malaysia didakwa menjadi bookie menyogok sejumlah wang kepada dua pemain Denmark bagi mengatur perlawanan di Terbuka Jepun, Jun lalu, insiden terbaru ini pasti sekali lagi mengheret sukan popular negara itu ke kancah memalukan.

Menurut pegawai kanan BAM yang enggan namanya disiarkan, badan induk itu serta organisasi yang berkaitan sudah dimaklumkan mengenai keputusan ujian doping sampel A pemain itu yang didapati positif selepas berakhir temasya Sukan Asia di Incheon, baru-baru ini.

Setakat ini pihak BAM masih belum mahu mendedahkan identiti sebenar pemain itu hingga keputusan sampel B dikeluarkan, namun difahamkan pemain lelaki itu memenangi banyak kejohanan di pentas antarabangsa serta turut mewakili negara di Incheon dan menyumbang pingat.

“Dia didapati positif dadah diharamkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). Tapi saya tidak ingat sama ada ia membabitkan bahan terlarang anabolik steroid atau dadah perangsang prestasi. Saya percaya dia tidak sengaja mengambil bahan itu, tapi sepatutnya harus lebih berhati-hati.

“BAM tidak mahu membuat kenyataan rasmi sebelum keputusan sampel B dikeluarkan. Semua pihak tahu mengenai perkara ini termasuk Ketua Pegawai Operasi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Azizi dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” katanya.

Mengikut rekod penyertaan pemain badminton lelaki di Sukan Asia Incheon, antara yang beraksi di temasya sukan itu pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh Soon Huat, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Tan Boon Heong dan Hoon Thien How.

Sementara itu hingga kini pihak ISN masih belum mahu membuat sebarang kenyataan berhubung isu doping itu kerana mahu menunggu laporan penuh terlebih dulu dalam masa terdekat.

Kebiasaannya jika sampel A ujian doping didapati positif, keputusan sampel B tidak akan berubah. Sekiranya didapati bersalah, pemain terbabit bakal berdepan penggantungan dua tahun namun dia masih boleh mengemukakan rayuan.

Ini insiden kedua membabitkan kes doping dalam sukan tanah air selepas atlet wushu, Tai Cheau Xuen didapati gagal ujian doping hingga menyebabkan pingat emasnya dalam acara gabungan nanquan dan nandao di Sukan Asia terpaksa ditarik balik.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: