Jumaat, Oktober 24, 2014

Pas kata PasMa seperti kemuncup?


Pas menyifatkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sebagai ‘kemuncup’ yang tidak memberi kesan besar dalam perjuangan Pas bagi merealisasikan hasrat parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, Pasma bukanlah musuh yang perlu diberi tumpuan sebaliknya fokus utama mereka adalah menumbangkan Umno dan BN.

Menurutnya, Pasma tidak memberi kesan besar kepada parti itu sekalipun pemimpin NGO itu lebih suka mengkritik kepimpinan Pas secara terbuka.

“Kita tidak ambil Pasma sebagai sesuatu yang serius sebab ia bukan ancaman politik tetapi hanyalah kemuncup yang hadir sepanjang perjalanan kita.

“Dia hanya bersifat gangguan tetapi bukan ancaman besar,” katanya.

Diminta mengulas mengenai PKR Terengganu yang mengalu-alukan Pasma, Wan Azhar menjelaskan, tidak semua pandangan Pas selari dengan rakan pakatan, begitu juga dengan Pasma yang dianggap sebagai perosak dari dalam.

Tidak menafikan perbezaan pendapat dengan PKR wujud, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Besut berkata, isu dasar dalam Pas juga tidak sama dengan PKR dan DAP.

Bukan dari sudut penubuhan Pasma sahaja katanya, isu hudud sebelum ini pun turut memperlihatkan perbezaan pendapat apalagi Pas melihat ia keperluan tetapi parti lain dalam PR menganggap sebaliknya.

“Ada perkara yang disepakati tetapi dari sudut perbezaan ini kita turut meraikan perbezaan pendapat,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan pihaknya terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut yang didakwa terlibat dengan Pasma sebelum ini, Wan Azhar berkata, pihaknya sudahpun mengambil langkah mengumpul bukti dan menghantar laporan kepada Badan
Perhubungan Pas Terengganu.

Menurutnya, pihak mempunyai bukti bergambar dan juga rakaman video berhubung kehadiran pemimpin tersebut pada majlis pelancaran Pasma di Besut baru-baru ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: