Selasa, Ogos 13, 2013

Bela nasib penduduk miskin bandar?


Baru-baru ini, penulis terbaca berita yang menyatakan masalah hutang isi rumah di Singapura yang terlalu tinggi. Puncanya, penduduknya terpaksa menanggung hutang rumah.

Rumah di Singapura terlalu mahal. Maka, mahu tidak mahu rakyatnya terpaksa membeli rumah dengan cara membuat pinjaman perumahan. Rakyatnya juga dilaporkan menanggung hutang sehingga 60 peratus daripada pendapatan yang diperoleh. Kerajaan Singapura juga bimbang dengan fenomena ini sebagaimana yang dialami oleh rakyat Malaysia.

Penulis sering mendengar keluh-kesah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Terdapat rakan penulis yang mengadu wang gaji yang diperoleh tidak mencukupi. Masih ramai dalam kalangan mereka yang masih belum membeli rumah meskipun sudah menjangkau umur melebihi 30 tahun. Meskipun mereka sudah berjawatan pengurus tetapi kos sara hidup yang terlalu tinggi di bandar-bandar besar tidak memungkinkan mereka menjalani kehidupan yang selesa.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk membayar pendahuluan pembelian perumahan. Bermakna mereka telah membuat dua pinjaman. Pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan. Ini tidak termasuk hutang kad kredit dan hutang kereta. Jadi, secara logiknya, bagaimana mereka mampu menyimpan wang untuk hari tua mereka. Yang ada pun setakat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Inilah dilema bagi penduduk bandar. Penulis pasti ramai yang mengetahui fakta ini. Malahan, ahli-ahli politik pun mengetahui perkara ini. Tetapi apa yang telah dilakukan oleh mereka? Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah lama tamat. Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut pun baru sahaja selesai. Tetapi apa yang kita lihat di Parlimen mahu pun di luar Parlimen, ahli-ahli politik masih bermain politik kebencian dan perkauman serta agama. Lebih-lebih lagi politik perkauman dan agama yang semakin keterlaluan selepas PRU-13.

Akhirnya menjadi ikutan anak-anak muda yang boleh membawa barah ke atas perpaduan rakyat Malaysia. Bukan itu yang rakyat mahukan. Rakyat tidak untung sikit pun dengan permainan politik ahli-ahli politik. Rakyat hanya mahukan mereka memperjuangkan dan membela nasib rakyat.

Ramai rakan-rakan penulis mengeluh, apa yang ahli-ahli politik telah lakukan untuk membela nasib rakyat yang semakin hari semakin tertekan dengan desakan hidup? Tidak cukupkah lima tahun yang lalu, berpolitik? Bagi mereka sudah-sudahlah! Sekarang kita bercakap bagaimana untuk membela nasib rakyat terutamanya bagi golongan miskin bandar. Adakah membela nasib rakyat ini hanya terletak di bahu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri?


Rakyat mahukan tindakan holistik dalam menangani kos sara hidup. Sememangnya, kerajaan telah meletakkan perkara ini sebagai keutamaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Malangnya, sekali lagi ia seolah-olah hanya dilihat sebagai tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Harga ayam naik pun sukar dibendung. Bagaimana pula dengan harga barangan yang lain.

Sekarang ini RM50 tidak cukup untuk dibawa ke pasar. Sekurang-kurangnya RM100. Ini baru bercakap mengenai pembelian di pasar bagi barangan mentah untuk dimasak sendiri. Belum lagi kita menyentuh pembayaran makanan dan minuman di kedai-kedai makan yang lebih mahal lagi.

Tidak dapat dibayangkan bagi penduduk bandar yang tidak berkelulusan tinggi terpaksa mengharungi kehidupan di bandar-bandar besar. Sudah tentu mereka lebih sukar untuk menjalani kehidupan seharian berbanding yang mempunyai kelulusan tinggi. Maklumlah, dunia sekarang hanya memandang kelulusan akademik untuk menjawat jawatan penting di sektor swasta mahupun kerajaan. Barulah gaji yang diterima akan berlipat kali ganda berbanding orang lain.

Bagaimana nasib mereka ini? Adakah ada satu tindakan yang jitu bagi membantu mereka? Kita jangan bercakap kisah penduduk bandar besar 20 tahun yang lalu. Ketika itu kos sara hidup tidak terlalu tinggi. Rumah teres dua tingkat pun boleh dibeli dengan harga di bawah RM100,000 di Lembah Klang.


Sekarang ini, usah cakaplah. Paling murah RM400,000. Itu pun lokasinya jauh di pinggir bandar. Bagi sesiapa sahaja, sekurang-kurangnya rumah teres menjadi idaman mereka. Ini kerana rumah sebegini lebih selesa berbanding menetap di flat.

Cubalah ahli-ahli politik meluangkan masa melihat sendiri penduduk yang tinggal di flat. Ada di antaranya tidak terurus. Tetapi apakan daya, berdasarkan pendapatan yang mereka peroleh, mereka hanya mampu tinggal di flat sedangkan di sekeliling mereka rumah-rumah mewah iaitu banglo bukannya setakat setingkat tetapi ada di antaranya tiga tingkat.

Tidakkah ini menggambarkan betapa jurang ekonomi di antara golongan miskin bandar yang merupakan penduduk teramai di bandar-bandar besar dengan golongan kaya bandar terlalu melebar? Golongan kaya raya ini diketahui umum majoritinya adalah satu kaum sahaja. Bagi kaum lain, rata-rata mereka berpendapatan sederhana dan miskin bandar.


Apakah akan terjadi dalam tempoh 10 tahun akan datang? Adakah bandar-bandar besar akan menjadi milik satu kaum sahaja manakala pekan-pekan kecil dan kampung-kampung didiami oleh kaum lain? Jika ini berlaku bertambah besarnya polarisasi kaum di Malaysia.

Adakah kita hanya menunggu sahaja masa itu tiba? Ini peranan besar ahli-ahli politik. Usah hanya bercakap membela nasib rakyat tatkala PRU mahupun PRK. Selepas itu, rakyat dibiarkan begitu sahaja. Belalah sebaik mungkin nasib rakyat sebagaimana yang diamanahkan oleh rakyat.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: