Isnin, Ogos 26, 2013

Politik sosialis ( adik komunis ) ditolak rakyat Malaysia?


Punca utama Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak Syed Husin Ali sebagai calon kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum, 10 tahun lalu ialah kerana Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berfahaman sosialis. Walaupun pencalonan Syed Husin dicadangkan oleh Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan ketika itu tetap menolak kerana menganggap sosialis ‘adik komunis’.

Padanya, orang berideologi sosialis ‘tidak ada agama’. Apabila keputusan PRU-10 diumumkan, PAS mengalami keputusan paling buruk sejak memerintah Kelantan pada 1990. Kerajaan PAS hampir tumbang. Menurut Syed Husin, ketika melawat Nik Aziz yang terpaksa masuk hospital selepas keputusan pilihan raya 2004, Mursyidul Am PAS itu menunjukkan reaksi beliau menyesal dengan keputusan tidak membenarkannya bertanding.


Nik Aziz bukan satu-satunya pemimpin pembangkang yang tidak percayakan calon sosialis. Beberapa pemimpin lain menolak kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRU-13 lalu. Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, PAS meletakkan calon walaupun Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim bertanding di situ.

Akibatnya, kedua-dua mereka kalah dan kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN). PSM gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU-13 kerana semua calonnya kalah dalam pertandingan tiga atau empat penjuru.


Sehingga hari ini, pakatan pembangkang tidak mampu membuat keputusan sama ada untuk menerima permohonan PSM menjadi anggotanya. Anwar berkata PSM boleh menjadi parti sekutu jika ia menerima dasar bersama pakatan pembangkang tapi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menolak.

Kontradiksi pemimpin pembangkang

Pengerusi DAP, Karpal Singh menganggap PSM layak menjadi anggota pakatan pembangkang kerana pernah memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU-12 dan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 nanti. Pemimpin PAS, Khalid Samad pula berkata jika begitu, PSM bolehlah menggunakan logo DAP dalam pilihan raya akan datang tapi tidak sebagai anggota pakatan pembangkang.

Kontradiksi antara pemimpin pakatan pembangkang menjadikan PSM tawar hati. Dr Mohd Nasir masih marah kerana kekalahannya berpunca daripada perbuatan ‘tikam belakang’ rakan pembangkang.

“Kita hadapi banyak masalah ketika pilihan raya. Keadaan kacau-bilau. Walaupun kita lawan musuh yang sama, rakan sendiri yang khianat. Kita akan kaji hubungan kita dengan pakatan pembangkang. Kita sedaya upaya mahu bekerjasama tapi pakatan rakyat anggap kita lemah dan memperlekeh kesetiakawanan kita.


“Kita akui mengalami kesukaran kerana bilangan ahli parti belum ramai dan parti pun belum kuat untuk menggugat sesiapa. Sebab itulah kita sanggup kompromi dengan rakan pakatan untuk bantu tawan Putrajaya.

Malangnya, mereka terjemah keikhlasan kita sebagai satu kelemahan. Pakatan salahkan PSM apabila ada calonnya kalah. Mereka tuduh parti sosialis enggan membantu. Tapi mereka tidak pula ungkit kerja mereka mensabotaj PSM menjelang PRU-13 lalu,” katanya.

Kekecewaan PSM amat jelas dan mendalam kesannya. Selain gagal menjatuhkan UMNO dan Kerajaan BN, ia menganggap pakatan pembangkang tidak boleh diharap untuk mengubah keadaan kerana ia juga sebahagian daripada sistem yang merosakkan masyarakat.

Di persimpangan politik

PAS dan PKR, misalnya, tidak layak bercakap soal pentadbiran yang baik, kronisme, nepotisme dan penyelewengan kuasa kerana itu jugalah yang dilakukan pemimpin PAS dan PKR. DAP tiada hak moral bercakap mengenai demokrasi dan kepelbagaian kerana ia juga mengamal politik perkauman.


Dalam isu kepentingan Cina dan untuk menghentam UMNO, ia menggunakan media Cina dan mengharapkan sokongan masyarakat Cina. PSM kesal dengan kegagalan kerajaan negeri pakatan pembangkang menjaga kebajikan rakyat, terutama soal pemberian hak kepada petani, perumahan dan kebajikan pekerja estet, dan mereka yang hilang pekerjaan.

Banyak janji pakatan pembangkang kepada rakyat tidak ditunai. PSM juga kecewa kerana pakatan pembangkang bersikap prokapitalis, propemilikan harta oleh korporat dan swasta, serta tidak menghentikan program pelancongan kesihatan yang meluaskan pasaran perubatan swasta dan menjejaskan kecekapan hospital awam.

Menurut pengasas PSM, Dr Jeyakumar Devaraj, bekas doktor di Hospital Pulau Pinang, PSM kini di persimpangan politik. “Adakah kita teruskan hubungan baik dengan pakatan walaupun mereka tetap melaksanakan dasar neo-liberal?


Kita boleh beri mereka ruang tetapi kita akan terus kritik pakatan jika mereka serang rakyat biasa.” Katanya, kepemimpinan PSM mengkaji kemungkinan tidak lagi mengambil bahagian dalam pilihan raya kerana tidak mahu terlalu terdedah dengan politik ‘bourgeoise’ atau politik wang sehingga mengkompromikan pendirian antikapitalis mereka.

Walaupun aktivis politik, Lim Kean Chye menganggap PSM diketuai ‘sebilangan pemimpin komited dan berpotensi menjadi gerakan yang besar’, hakikatnya parti ini menghadapi masa depan yang malap dalam politik Malaysia. Ia cuba mengambil modal daripada kegagalan globalisasi dan kapitalisme di Barat untuk membuktikan keburukan sistem itu, namun ini tidak boleh dijadikan kayu ukur di Malaysia.-BH

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: