Ahad, Ogos 11, 2013

Karpal tidak perlu panik dan tunggu arahan Guan Eng supaya isytihar harta?


Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak perlu menunggu arahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi mengisytiharkan hartanya berhubung dakwaan pemimpin pembangkang membayar sebanyak RM50 juta untuk merasuah hakim dan pendakwa.

Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, ini kerana sebagai pemimpin tertinggi dan selaras dengan prinsip partinya iaitu 'Kepimpinan Melalui Teladan dan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT), Karpal hanya perlu mengisytiharkan harta atas kehendak sendiri dan bukan kerana arahan sesiapa.

"Semalam, Karpal kata akan sentiasa menyokong wakil rakyat yang mengisytiharkan aset mereka secara umum serta beliau sendiri juga tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian.

"Namun, beliau juga berkata akan mengisytiharkan asetnya apabila Guan Eng mengarahkan semua Ahli Parlimen tempatan untuk berbuat demikian.


"Sebagai Pengerusi DAP, Karpal tidak perlu tunggu arahan Guan Eng lebih-lebih lagi apabila terdapat dakwaan serius yang dilemparkan terhadapnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Kerusi Undang-Undang Jenayah, Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang, Ranjit Singh Dhillon mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan Karpal mengisytiharkan harta masing-masing bagi membersihkan nama mereka berdua daripada dikaitkan dengan surat misteri yang diedarkan kepada penduduk Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.

Surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal tersebut menceritakan 'urus-niaga' dua pemimpin pembangkang itu.

Menurutnya, langkah tersebut selaras dengan kempen pembangkang menjadikan pengisytiharan harta sebagai salah satu garis ukur kepada kepimpinan yang bersih serta telus.


Namun, Anwar dan Karpal ketika membuat laporan polis terhadap pengedaran surat misteri tersebut menafikan dakwaan wujud 'urus niaga' antara beliau dengan Karpal, sebaliknya mendakwa perkara itu fitnah UMNO.

Pada masa sama, Choo Keong yang juga merupakan bekas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut menasihati Karpal untuk tidak tunduk kepada Guan Eng kerana beliau bukan lagi merupakan ahli Exco di Pulau Pinang.

"Jadi, Karpal tidak perlu tunduk kepada Guan Eng seperti anaknya, Jagdeep Singh yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat yang sentiasa menurut arahan Guan Eng pada setiap masa.

"Tidak ada keperluan untuk menunggu perintah daripada sesiapa. Karpal sepatutnya mengamalkan prinsip CAT yang selama ini dilaung-laungkan kecuali jika terpaksa akur dengan Guan Eng bagi menjamin kelangsungan kerjaya politik beliau dalam parti tersebut," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: