Selasa, Ogos 06, 2013

Anwar, Karpal buat laporan polis, nafi pendedahan surat?

Anwar Ibrahim dan Karpal Singh selepas membuat laporan polis berhubung isu surat-surat misteri di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya, semalam. 

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat laporan polis bagi menafikan pendedahan kandungan 6,000 keping surat yang mengaitkan mereka di Permatang Pauh, kelmarin.

Kedua-dua pemimpin pembangkang itu hadir di Balai Polis Tropicana di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dan tindakan segera dibuat oleh pihak berkuasa.

Dalam laporan itu, Anwar dan Karpal memandang serius tentang dakwaan tersebut dan berharap Peguam Negara (AG) akan mengarahkan perkara berkenaan disiasat polis.

Anwar dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR selepas membuat laporan itu berkata, dakwaan yang dibuat bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail berhubung pendedahan surat layang itu disifatkannya sebagai satu fitnah yang dilemparkan UMNO terhadapnya.

Kelmarin, Mazlan mendedahkan kira-kira 6,000 laporan bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang mendedahkan 'urus-niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pembangkang iaitu Anwar dan Karpal yang telah tersebar secara meluas di Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.


Mengulas dakwaan 'urus-niaga' itu, Anwar memberitahu, beliau dan sekeluarga amat berterima kasih kepada Karpal yang banyak membantunya selama ini dan tidak timbul isu kewangan antara mereka.

"Sepanjang Karpal membantu saya menjadi panel guamannya, tidak pernah timbul tentang isu pembayaran. Apabila dakwaan sebegini berlaku, sekali gus menjejaskan maruah Karpal," katanya.

Tambahnya, beliau setuju jika Karpal mahu mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menjejaskan imej mereka dan pemimpin PKR lain.

Sementara itu, Karpal pula mencabar Mazlan mendedahkan identiti dan dokumen mengaitkan dirinya dan Anwar seperti yang didedahkannya sebelum ini.

"Saya cabar Mazlan jika dia 'anak jantan' supaya tunjukkan slip cek, akaun bank, slip pembayaran dan identiti pihak yang membuat surat itu.

"Saya juga mencabar stesen televisyen TV3, akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times untuk turut melakukan perkara sama," katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya dan Anwar sedang mengumpul bukti untuk melakukan tindakan dalam masa terdekat.

"Tuduhan yang dilemparkan begitu serius dan saya menafikan kewujudan tuduhan itu kerana saya telah lama bersahabat dengan Anwar. Oleh itu saya menggesa pejabat AG mengarahkan siasatan mendalam tentang perkara ini," katanya.


Sementara itu, Surat misteri di tangan SPRM!

Bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mazlan Ismail hari ini menyerahkan semua surat misteri yang diterimanya sejak beberapa hari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau berbuat demikian bagi membolehkan SPRM menyiasat secara menyeluruh kandungan surat berkenaan.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, saya tidak sama sekali mahu dilibatkan dengan kandungan surat itu, namun sebagai rakyat, saya mahu pihak berkuasa menyiasat demi kepentingan umum," katanya ketika dihubungi di sini.

Kelmarin Mazlan mendedahkan kemunculan surat misteri yang mengandungi 'urus niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pembangkang iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk di Permatang Pauh.

Surat lapan halaman yang dihantar ke rumah penduduk sejak beberapa hari lalu itu antara lain mengandungi pelbagai nombor akaun bank yang didakwa milik Anwar.

Penduduk kemudian memutuskan untuk menyerahkan surat bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal berkenaan kepada Mazlan.

Mengulas tindakan Anwar dan Karpal membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang berhubung pendedahan itu, Mazlan memberitahu, mereka berhak berbuat demikian.

"Mereka berhak mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai terhadap saya.

"Namun, saya tetap menaruh kepercayaan tinggi terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: