Jumaat, September 27, 2013

Pemimpin tertinggi DAP didesak 'patuh' perlembagaan parti?


Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP seperti yang dijadualkan 29 September ini tidak boleh dibuat dalam Kongres Khas parti.

Pengerusi DAP Cawangan Taman Nesa, Skudai, Johor, S. Kogilavan berkata, berdasarkan Fasal VIII, Perkara 8 perlembagaan parti itu, Kongres Khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu, bukan untuk tujuan pemilihan.

"Mengikut fasal tersebut, pemilihan jawatankuasa tertinggi Pusat hanya boleh dilakukan melalui Kongres Kebangsaan, bukannya Kongres Khas.

"DAP penuh dengan peguam hebat-hebat, bukankah mereka tahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mungkin akan bertindak sekali lagi andai mengadakan pemilihan semula sesuka hati," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

DAP pada 15 Ogos lalu akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula CEC selepas pemilihan tahun lalu didakwa wujud penyelewengan kerana parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi.


Walau bagaimanapun, pemilihan semula CEC itu yang dijadual pada 29 September ini menimbulkan tanda tanya selepas dikritik ahli DAP sendiri kerana didakwa akan diadakan tanpa mengikut perlembagaan parti.

Kongres Kebangsaan memerlukan notis sekurang-kurangnya 10 minggu sebelum diadakan manakala notis Kongres Khas pula hanya dalam tempoh tujuh hari.

Kogilavani turut mendakwa, beliau mengesyaki terdapat agenda tersembunyi melalui pemilihan CEC itu kerana diadakan dalam keadaan 'tergesa-gesa'.

"Saya sangat pasti segelintir pemimpin 'gila kuasa' yang sengaja memilih tarikh tanpa mengikut perlembagaan parti. Mungkin mereka takut sekiranya calon-calon sempat berkempen dalam tempoh tersebut.

"Juga, sekiranya ROS mengambil sebarang tindakan kerana tidak mengikut apa yang termaktub, maka dengan menuding jari kepada orang lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Kogilavani turut mencadangkan supaya tarikh baharu untuk pemilihan semula CEC dipilih bagi mengelakkan keputusan kali ini juga dipersoal kesahihannya.

"Saya juga berharap sekiranya kepimpinan tertinggi boleh melantik Teng Chang Kim sebagai Setiausaha Agung Penaja manakala Nga Kor Ming menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya kali ini. Mereka lebih layak dan mungkin boleh mengelakkan sebarang unsur manipulasi," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: