Khamis, Ogos 29, 2013

Waythamoorthy patut seru penjenayah serah senjata api?


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy diminta menyeru semua penjenayah di negara ini tanpa mengira bangsa supaya menyerahkan senjata api yang mereka miliki bagi membolehkan polis menangkap mereka tanpa menggunakan kekerasan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tunku Jaafar secara sinis meminta bekas pemimpin Hindraf itu berbuat demikian bagi menjaga hak asasi penjenayah-penjenayah terbabit.

"Kalau timbalan menteri berkenaan boleh seru penjenayah tidak kira siapa baik yang Melayu, Cina mahupun India supaya letak senjata, esok juga kita akan pergi tangkap mereka macam biasa tanpa senjata.

"Tetapi kalau penjenayah itu tidak mendengar katanya, jangan pandai-pandai mengajar macam mana polis untuk membuat kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Pentauliahan dan Perhimpunan Kebangsaan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam kali ke-4 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Waythamoorthy dalam sebuah portal semalam yang mempertahankan pendiriannya membantah tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.


Waythamoorthy dalam laporan itu turut mempersoalkan sama ada tindakan polis menembak mati penjenayah boleh mengatasi masalah jenayah di negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata sebagai seorang bekas pegawai polis, beliau amat memahami getirnya situasi yang dihadapi oleh pihak polis apabila berhadapan dengan penjenayah yang bersenjata api.

"Polis berhadapan dengan situasi mencabar dan kalau tersilap langkah boleh meragut nyawa sendiri, jadi apakah pilihan mereka apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian.

"Sepatutnya sebagai pihak dalam kerajaan, timbalan menteri tidak sepatutnya mempunyai pendirian lain daripada kementerian dalam menangani jenayah, jangan sampai disalah tanggap orang di dalam kerajaan menyokong penjenayah pula," katanya.

Beliau berkata semua pihak harus memahami tugas polis dalam mempertahan keselamatan negara dan dalam masa sama penjenayah pula menggugat dan mengancam ketenteraman negara. -Bernama

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: