Selasa, Mei 14, 2013

Khalid Ibrahim lafaz 10 Aku janji MB Selangor!


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini pagi ini.

Pada istiadat itu, Abdul Khalid sambil memegang sebatang tombak yang matanya berbalut kain kuning, turut melafazkan 10 Aku janji Jawatan Menteri Besar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Aku janji itu termasuk akan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri, mematuhi kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak serta melaksanakan tugas beliau dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.

Menteri besar juga berjanji untuk memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri; memelihara hubungan baik kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah dan kerjasama antara kaum.



Khalid nampaknya tidak boleh lagi berdolak-dalik melengahkan pembinaan Empangan Langat 2. Malah dalam kenyataan media pertama Khalid selepas dilantik semula sebagai MB Selangor untuk kali kedua, beliau menyatakan akan menghubungi Perdana Menteri DS Najib bagi berbincang menyelesaikan isu air di Selangor.

Istiadat angkat sumpah itu, yang disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berlangsung di Balairong Seri Istana itu pada pukul 10 pagi

Turut hadir isteri Abdul Khalid, Puan Sri Salbiah Tunut, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi.

Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU12 2008.

Beliau merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini ialah daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

Pada PRU13, gabungan parti PAS, PKR dan DAP (PR) memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

Sementara itu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memberikan tiga sebab mengapa baginda berkenan melantik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata baginda berkenan melantik Abdul Khalid sebagai Menteri Besar sebab ketua-ketua parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Pas, DAP dan PKR mengemukakan hanya satu nama iaitu Abdul Khalid sebagai calon menteri besar.

"Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga memenuhi semua syarat yang diperlukan bagi jawatan Menteri Besar Selangor seperti mana diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor 1959," katanya.

Mohamad Munir berkata satu lagi sebab ialah Sultan Selangor berpendapat Abdul Khalid pernah menjadi menteri besar sebelum ini dan pengalamannya boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan bahawa kelewatan melantik menteri besar ialah kerana Sultan Selangor menunggu calon-calon menteri besar dikemukakan oleh ketiga-tiga parti itu.

"Di samping itu, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pernah menyatakan sebelum pilihan raya bahawa calon menteri besar tidak semestinya Abdul Khalid apabila PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Justeru itu, Sultan Selangor menunggu parti-parti komponen PR mengemukakan calon menteri besar dan akhirnya berpuas hati bahawa hanya seorang calon yang dikemukakan," katanya.- Bernama

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: