Khamis, Mei 23, 2013

DAP tak payah kacau, tunggu perkenan Sultan Selangor?


Pas Selangor mengingatkan DAP supaya 'tidak membuat kacau' kerana senarai Exco yang diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah belum muktamad sebaliknya memerlukan perkenan baginda.

Ketika menjelaskan perkara itu, Pesuruhjayanya, Dr.Abdul Rani Osman berkata, komposisi barisan Exco negeri ini yang menyaksikan parti itu diberikan empat kerusi merupakan salah satu daripada dua pilihan yang bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Satu lagi pilihan, kata beliau ialah Pas diberikan kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan mendapat tiga kerusi Exco.

‘‘Oleh itu kedudukan komposisi 4:3:3 iaitu Pas empat kerusi Exco manakala DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), masing-masing tiga kerusi Exco bukan muktamad.

‘‘Kita pun tidak tahu mana satu yang akan diperkenankan oleh Sultan Selangor. Tengoklah antara dua pilihan itu, yang mana akan diperkenankan oleh baginda, jadi tidak payahlah DAP kacau," katanya ketika menghubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas pertikaian yang ditimbulkan oleh DAP berhubung pembahagian kerusi Exco kerajaan negeri dalam kalangan parti pembangkang di negeri ini.

Sabtu lalu, dalam majlis malam sambutan kemenangan di Pelabuhan Klang, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan barisan Exco kerajaan negeri bagi penggal ini akan diwakili oleh empat wakil Pas manakala DAP dan PKR, masing-masing diberikan tiga kerusi Exco.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak disenangi oleh DAP apabila Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok dilaporkan mahu membincangkan semula komposisi pembahagian Exco tersebut yang menyaksikan Pas mendapat lebih satu kerusi.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua juga mempersoalkan agihan kerusi Exco tersebut dengan mendakwa dalam satu mesyuarat pada Khamis lalu bersetuju DAP mendapat empat kerusi Exco manakala Pas mendapat tiga kerusi Exco dan boleh memilih jawatan Speaker DUN.

Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru berkata, terpulang kepada DAP untuk membuat perbincangan semula dengan Abdul Khalid berkaitan senarai Exco yang mewakili parti tersebut.

‘‘Dalam mesyuarat sebelum ini, semua parti komponen dalam pakatan menyerahkan senarai nama jawatan Exco tersebut dan Pas menyerahkan lebih daripada empat nama untuk dinilai bagi mendapat mendapat perkenan Sultan Selangor.

‘‘Setakat ini saya sahkan tiga Exco Pas yang sedia sebelum ini memang terdapat dalam senarai tersebut, oleh itu terserah kepada perkenan baginda," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad menjelaskan, salah satu pilihan ialah menyenaraikan lima Exco daripada wakil rakyat berbangsa Melayu dan lima lagi bukan Melayu.

‘‘Cadangan yang mungkin menjadi pilihan ialah enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu dengan Pas mendapat empat kerusi Exco," katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Anaksi A. berkata...

hahaaaa 433, DAP cuma dapat 3 jer.
PKR 3 + 1 (mb)=4.
sedangkn DAP menang 15 dun. kesiann DAP. dap harus berjuang habis2 menentang dan menuntut jwatan exco tu. jika tidak, nampak sangat dap kena tipu dan kena pijak oleh melayu pkr. tak malu kah? nanti MCA akan ketawakna terbahak-bahak....

*bukan nak batu api, tp sekadar nak ingatkn.