Selasa, Mei 14, 2013

PAS tiada pendirian bantah keputusan PRU-13?


Ketidaktentuan pendirian PAS berhubung perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terserlah apabila Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang sekadar menyerahkan kepada ahli parti membuat pertimbangan sendiri.

Hadi membuat kenyataan itu semalam, beberapa hari selepas Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib secara terbuka menyatakan pendiriannya tidak menyokong gerakan itu, sebelum nada sebaliknya disuarakan dua pemimpin PAS, iaitu Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.

Serah kepada negeri

Ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, di sini semalam, Hadi berkata, PAS menyerahkan kepada pimpinan parti peringkat negeri untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai perhimpunan dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang itu.


“Itu kita serahkan kepada negeri untuk menentukan,” katanya ringkas dan senada dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasruddin Hassan yang menegaskan sayap parti itu tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahlinya supaya turut bersama Anwar dalam perhimpunan berkenaan.

“Kita serahkan kepada pimpinan negeri untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai perhimpunan itu atau tidak. Kita juga tidak mengeluarkan arahan kepada ahli parti dan Pemuda PAS berhubung perkara itu,” kata Nasruddin.

Perhimpunan itu digerakkan Anwar tiga hari selepas pakatan pembangkang pimpinannya tewas PRU-13 kepada Barisan Nasional (BN) yang memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. DAP secara terbuka menyokong perhimpunan itu, namun PAS langsung tidak menetapkan pendiriannya.


DAP kutuk PAS

Selepas Harun meminta semua pihak menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, selain turut memuji pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Salahuddin dan Hanipa pula berpendapat, PAS tiada masalah menyokong sebarang perhimpunan bagi menyatakan sikap dan pendirian rakyat terhadap kegagalan pengurusan pilihan raya 5 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Hadi ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa kegagalan pakatan pembangkang mempertahankan Kedah disebabkan kelemahan PAS, berkata parti itu akan membuat analisis terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: