Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Sabtu, Disember 01, 2012
Transformasi UMNO: Sudah berubah atau belum?
Suasana di PWTC, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2012, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun depan, cukup tenang. Para perwakilan yang mendengar amanat Presiden juga tenang. Mereka juga kelihatan ceria dan bersemangat.
Seperti biasa sejak puluhan tahun dulu, mereka mendengarnya dengan teliti. Tahun ini suasananya luar biasa sikit. Ia adalah penentu masa depan dan kesinambungan UMNO yang diasaskan pada 1946.
Presiden ketika majlis amanatnya berkata "proses pemilihan calon untuk PRU-13 ini adalah serumit krisis di Gaza."
Dalam usia 66 tahun, UMNO sepatutnya sudah menjadi sebuah parti yang sudah matang. Orang UMNO kini benar-benar perlu menyuluh diri mereka sendiri. Pemikiran mereka perlu sudah semakin matang. Sikap mereka harus ke hadapan. Dan sifat mereka haruslah dihambakan kepada parti, jika mereka benar-benar ikhlas mahu melihat parti itu terus hidup dan kukuh dalam gelombang politik yang sudah berubah ini.
Penulis tidak keseorangan dalam membuat analisis ini. Ia adalah hasil perkongsian daripada beberapa pihak - ahli, bukan ahli, kawan mahu pun lawan - yang ikhlas hendak melihat UMNO terus bangun, berdiri, berjalan dan berlari dalam senario politik tanah air tercinta ini. UMNO mampu menang PRU-13 dan menjadi kuat!
PRU ke-13 hampir tiba. UMNO dan parti-parti politik yang lain dalam Barisan Nasional (BN) serta parti-parti politik dalam pakatan pembangkang seperti DAP, PKR dan Pas difahamkan sedang sibuk mengenal pasti calon-calon yang difikirkan berwibawa atau yang dianggap boleh menang untuk bertanding.
Sesebuah parti politik adalah seperti sebuah lori atau kenderaan yang sentiasa perlu dirawat, diservis atau dioverhaul dari semasa ke semasa. Ia tidak boleh dibiarkan kekal seperti itu selama-lamanya tanpa perubahan. Ia harus melalui proses transformasi.
Sesungguhnya UMNO perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan pemimpin sebanyak mungkin di peringkat UMNO Bahagian untuk diketengahkan sebagai pemimpin di semua peringkat, dan seterusnya ke peringkat nasional.
Amalan buruk 'cantas mencantas' yang boleh membawa kerugian kepada UMNO hendaklah dihapuskan melalui undang-undang atau peraturan-peraturan baru parti. Jika tidak dibendung di peringkat Bahagian, amalan buruk itu akan merebak menjadi barah, dan tidak mustahil UMNO akan menjadi lemah secara mendadak di peringkat nasional.
Ketahuilah, terdapat seorang Ketua UMNO Bahagian pernah mengeluarkan kenyataan secara terbuka; "aku tak suka mana-mana orang kaya daripada aku memegang apa- apa jawatan di UMNO Bahagian ini, kerana dia akan mencabar kedudukan aku sebagai Ketua Bahagian".
Ketahuilah, ada seorang Ketua UMNO Bahagian yang juga wakil rakyat berkata; "jika sesiapa yang mengambil tempat aku dalam PRU-13 ini, aku akan pastikan dia juga kalah".
Ini bukan omongan, tapi realiti. Sesiapa yang termakan cili dialah yang terasa pedasnya.
UMNO Bahagian di seluruh negara sepatutnya dibina atas kekuatan individu dan seterusnya digabungkan menjadi satu pasukan kuat disusuli dengan semangat bermuafakat. Jika pucuk kepemimpinan memintanya berundur dan memberi laluan kepada yang lain, maka laksanakan arahan itu dengan ikhlas.
Kekuatan UMNO kini terlalu berpusat di peringkat Bahagian. Jawatan Ketua UMNO Bahagian adalah umpama 'permata' yang mahal harganya.
Jika sarungnya diperbuat daripada bahan tidak bermutu, permata itu akan terjatuh dan terpisahlah dengan sarungnya. Sewajarnya sarung itu hendaklah diperbuat daripada bahan-bahan yang berkualiti tinggi demi menjamin keselamatan permata itu. Sarung perlu ditukar ganti pada setiap penggal.
Kita sebenarnya tidak mahu melihat UMNO berkubur selama-lamanya selepas PRU-13 disebabkan kelemahan di peringkat Bahagian. Sudah sampai masanya kekuasaan di peringkat Bahagian itu diangkat ke Pusat. Biar kuasa Pusat yang menguasai Bahagian dan bukan sebaliknya.
Sudah tiba masanya gelaran warlords dalam UMNO dihapuskan. Biar jawatankuasa pusat yang menentukan kekuasaan di peringkat Bahagian. Struktur Perkhidmatan Awam Malaysia adalah yang terbaik untuk dicontohi, waima Pengarah Negeri sendiri terikat kepada Perintah Am di Pusat dan tidak terlalu berkuasa.
Jika kelemahan di peringkat Bahagian terus berlaku maka Kerusi Parlimen dan Kerusi-kerusi DUN di kawasan Parlimen tersebut akan runtuh dan mudah ditawan oleh parti-parti lawan yang tidak sekuat mana pun. Hakikat ini hendaklah dipandang serius oleh semua lapisan kepemimpinan dalam UMNO.
PRU-12 pada tahun 2008 hendaklah menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk UMNO dan orang-orang Melayu amnya.
Kita berpendapat Ketua-ketua UMNO Bahagian tidak melihat perkara yang berbangkit ini merupakan masalah besar atau masalah nasional kerana ia dilalaikan oleh peluang-peluang ekonomi melalui projek-projek yang diperoleh mereka.
Benarkah, di sesetengah negeri pembangkang terdapat Ketua-ketua UMNO Bahagian lebih suka pembangkang memerintah selama-lamanya? Jika tidak, peluang-peluang ekonomi melalui projek-projek yang mereka peroleh daripada JPP selama ini berkemungkinan akan terjejas?
Jika apa yang dikatakan ini benar, anda semua lebih maklum bahawa kemenangan Pas atau PKR akan menyumbang dan membantu menguatkan lagi pengaruh politik DAP di peringkat nasional?
Penulis menganggap DAP itu tidak ubah seperti seekor helang yang akan mengganas kepada bangsa Melayu siang dan malam jika ada peluang. Bacalah sejarah DAP dan falsafahnya.
Seperti apa yang telah diperkatakan di atas, kita harap Presiden UMNO, melakukan perubahan-perubahan tertentu.
Jawatan di peringkat UMNO Bahagian iaitu Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian boleh dipegang oleh mana-mana ahli hanya dihadkan untuk tempoh penggal yang terhad.
Mana-mana jawatan dalam parti melalui pertandingan atau dilantik oleh parti hanya boleh dipegang tidak lebih dua jawatan dalam satu masa. Mana-mana ahli parti hanya dibenar bertanding untuk penggal terhad sahaja dalam mana-mana PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK), kecuali ia diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk kekal bertanding melebihi penggal yang ditetapkan.
Semua calon yang akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen dan Kerusi DUN pada mana-mana PRU atau PRK hendaklah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya.
Sebelum ini, pada hari pengumuman calon PRU di pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri berlaku kekecohan apabila nama- nama calon tidak dapat dimuktamad dan diumumkan sehingga ke saat-saat akhir. Nama-nama calon yang diumum tidak boleh diubah-ubah lagi di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Sewajarnya nama-nama calon yang dipilih perlulah diumumkan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal bagi memudahkan calon-calon itu mengatur strategi parti, dan tidak timbul akan berlaku sabotaj.
Sebenarnya sebelum ini banyak perkara berbangkit tidak didedahkan kepada umum demi menjaga nama baik dan imej UMNO. Malangnya UMNO tewas juga dan tidak menang secara mutlak pada PRU-12 yang lalu walaupun imejnya sentiasa dijaga rapi.
Dunia sudah berubah. Kaedah lama hendaklah ditukar supaya peluang-peluang memegang jawatan dalam parti terutamanya di peringkat UMNO Bahagian akan terbuka luas atau lebih telus lagi. Ini akan menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO.
Sayap ulama juga perlu diwujudkan bagi membolehkan ahli-ahli agama menyertainya. UMNO jangan biarkan golongan ini, lulusan dalam dan luar negara, mengalir ke dalam acuan Pas. Acuan ulama UMNO harus dibentuk segera.
Adalah tidak wajar juga satu kroni atau 'satu rakit' membolot semua jawatan dalam parti di peringkat UMNO Bahagian berpenggal-penggal lamanya.
Bagi menghadapi PRU-13 dan PRU atau PRK berikutnya, mana-mana kerusi Parlimen dan kerusi DUN yang diperuntukkan kepada UMNO ada baiknya dikongsi bersama dengan pemimpin NGO Melayu, Islam, golongan profesional dan pegawai atau bekas pegawai kerajaan negeri atau persekutuan, ahli akademik, guru-guru, ahli-ahli agama, bekas pegawai kanan tentera atau polis atau lain-lain.
Jika perkongsian ini dibuat, kemungkinan UMNO dapat merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang dan mampu menubuhkan Kerajaan Pusat yang kuat. Fikirkanlah nisbah yang sesuai dalam perkongsian itu.
Kepimpinan tertinggi UMNO hendaklah sedar bahawa pengundi-pengundi Melayu adalah terdiri daripada pelbagai golongan dan sewajarnya perkongsian ini diamalkan demi kekuatan UMNO.
Adalah difikirkan pembahagian kerusi seperti ini juga akan membawa satu kekuatan baru kepada pengaruh UMNO.
Hari ini UMNO dilihat tersempit di celah-celah kemelut politik di peringkat UMNO Bahagian atau Cawangan, dan tiada jaminan kukuh bahawa calon-calon terpilih daripada UMNO boleh menang 100 peratus. Ia diburukkan lagi oleh ancaman daripada parti-parti lawan.
Akhir kata, ingatlah UMNO masih relevan. Melihatkan kecelaruan dalam Pas, PKR dan DAP sekarang, orang Melayu sebenarnya sudah tiada pilihan. Talian hayatnya masih ada, dengan syarat ia berubah.
Selamat bersidang dan selamat menghadapi peperangan politik ke-13.-UMO
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
UMNO dan BN sudah memerintah Terengganu hampir 50 tahun..... Tapi Kenapa Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Wanita UMNO dan Pemimpin2 UMNO Terengganu tetap BODOH?
2013 - Tahun Paling Malang Rakyat Terengganu........ Lihat sendiri bukti kalau tak percaya...
~ BUKTI 1 ~
~ BUKTI 2 ~
~ BUKTI 3 ~
~ BUKTI 4 ~
Catat Ulasan