Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Disember 24, 2012
Jangan Cabuli Keharmonian Hidup!
Keharmonian hidup antara kaum adalah ciri-ciri utama yang diberi penegasan dalam setiap kali manifesto Barisan Nasional (BN). Ciri-ciri berkenaan bukanlah dirumus semata-mata untuk menghadapi pilihan raya umum, malah ia sudah menjadi dasar yang begitu penting bagi kehidupan setiap individu di negara ini.
Keharmonian kaum mempunyai hubungan rapat dengan soal keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran, kemajuan dan sebagainya. Tanpa keharmonian hidup, negara akan menjadi kucar-kacir. Dalam keadaan negara yang tidak tenteram, bermakna masa dan tenaga hanya dihabiskan untuk menyelesaikan masalah yang silih berganti. Ia akan membantutkan segala urusan harian.
Rakyat sentiasa berada dalam ketakutan, malah nyawa sering menjadi pertaruhan. Rakyat seharusnya belajar daripada peristiwa di beberapa negara yang pada masa ini menghadapi masalah. Dalam keadaan sentimen rakyat membara, manusia tidak lagi mempunyai sifat-sifat kemanusiaan. Mereka menjadi buas seperti haiwan. Bunuh-membunuh menjadi permainan. Keadaan ini sudah pun berlaku di depan mata di beberapa negara yang sedang bergolak.
Seseorang yang kehilangan orang yang tersayang, akan melakukan perkara yang sama kepada orang lain. Nyawa bukan lagi mempunyai harga yang perlu dinilaikan. Apakah ini yang diharapkan?
Di Malaysia, keharmonian kaum diterima sebagai amalan hidup. Rakyat sentiasa menghormati antara satu dengan lain walaupun berlainan warna kulit dan agama. Mereka boleh membeli-belah di pasar atau di gedung perniagaan bersama-sama tanpa mengira siapa yang berbelanja dan siapa pula yang berniaga. Mereka boleh bekerja sama tanpa mengira siapa menjadi pekerja atau siapa pula majikan.
Hari ini, ibu-bapa tidak sedikit pun bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka sama ada ketika di sekolah atau melepaskan mereka untuk bergaul dengan rakan-rakan berlainan bangsa. Keadaan ini sudah berlanjutan sekian lama, dengan mengambil iktibar daripada Peristiwa 13 Mei 1969.
Moto Keharmonian Hidup yang diterapkan oleh BN adalah sesuai dalam konteks hidup masyarakat Malaysia hari ini. Apa yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, penekanan kepada keharmonian hidup antara kaum adalah semata-mata untuk memastikan tidak timbul sebarang ketegangan sesama rakyat. BN sentiasa mengutamakan kebaikan kerana mahu rakyat hidup bersatu padu.
Malangnya, parti-parti pembangkang mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza. Apa yang cuba ditiupkan ialah api permusuhan. Mereka bukan saja cuba melaga-lagakan antara sesama orang Melayu, malah pergeseran kaum dan agama. Keharmonian hidup tidak akan wujud jika parti-parti pembangkang diberi peluang untuk memerintah negara ini.
Percanggahan ideologi di kalangan parti-parti pembangkang sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka tidak mungkin dapat duduk semeja untuk berbincang mengenai perkara-perkara yang membabitkan kepentingan semua rakyat. Satu pihak akan membuat tuntutan yang melampaui batas hingga menyebabkan keadaan di luar kawalan.
Hari ini pun sudah ada suara keras yang dikemukakan di kalangan parti pembangkang, sebagai syarat tolak ansur untuk bekerjasama. Parti yang radikal sifatnya itu tidak akan berganjak daripada pendirian mereka sewaktu menolak kewujudan negara Islam di Malaysia.
Rakyat seharusnya matang berfikir dan tidak terlalu mengikut perasaan ketika membuat keputusan. Dalam setiap percaturan, mereka seharusnya mengambil kira keseluruhan senario yang mungkin berlaku di negara ini.
Malaysia juga mempunyai musuh di sekelilingnya. Musuh Islam juga adalah besar dan mereka kini menunggu peluang saat paling baik untuk menghancurkan negara ini. Oleh itu, setiap rakyat harus mengambil kira apakah keputusan yang akan mereka lakukan kelak mengambil kira faktor keharmonian hidup atau mahu merosakkan apa yang sudah terjalin sekian lama.
Janganlah disebabkan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Semua tindakan ini akan hanya mengundang masalah lebih besar kepada rakyat. Mendengarkan cakap pembangkang yang berapi-api memanglah menyeronokkan. Untuk mencari kesilapan orang lain memang mudah, tetapi begitu sukar untuk mengakui kesilapan sendiri.
Rakyat perlu ingat, mereka yang mengecam kerajaan itu adalah atas landasan "membangkang sekadar membangkang" tapi tidak memikul sebarang tanggungjawab. Apa yang mereka fikirkan ialah semata-mata bagaimana cara menumbangkan kerajaan.
Mereka yang bercakap sesedap mulut itu tidak pernah memikirkan kesan tindakan mereka. Janji memang mudah ditaburkan, tetapi untuk menunaikannya, ia adalah satu masalah yang amat rumit, terutamanya dalam keadaan rakyat negara ini yang begitu tipis tahap kesabarannya.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan