Selasa, Disember 11, 2012

Isu Scorpene: Ketua Pembangkang digesa rungkai kekeliruan rakyat?



Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim digesa membuat penjelasan bagi merungkai kekeliruan rakyat berhubung dakwaan kononnya perbicaraan pembelian kapal selam Scorpene sedang berlangsung di mahkamah Perancis ketika ini.

Presiden Kelab Wawasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Hafiz Abdul Kadir berkata, isu itu kini menjadi tanda tanya selepas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua baru-baru ini mendakwa perbicaraan tersebut sebenarnya tidak wujud.

Tambah beliau, perkara itu bertentangan dengan dakwaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang sebelum ini memperbesar-besarkan isu tersebut sekali gus mengesahkan pembohongan pertubuhan berkenaan.

"Anwar perlu telus dan berterus-terang dalam menjelaskan perkara ini serta mengapa Tian Chua membuat kenyataan sedemikian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad kelmarin mendedahkan, Tian Chua telah mengesahkan pembohongan Suaram dalam sesi Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini.


Menurutnya, bukti tersebut ada dinyatakan dalam hansard Parlimen bertarikh 21 November lalu.

Antara petikan hansard itu ialah, 'Saya tidak pernah sebut perbicaraan' dan 'Saya kata siasatan oleh Mahkamah Perancis'.

Dalam pada itu, Abdul Hafiz turut mendesak Anwar menjelaskan mengapa Tian Chua sebelum ini mendedahkan gambar beliau ketika berada di dalam jet peribadi menerusi laman sosial Facebooknya.

"Adakah pendedahan itu kerana kelalaian Tian Chua sendiri atau terdapat agenda tersembunyi lain?" katanya.

Tambahnya, cara politik pembangkang juga amat mengelirukan dan Anwar perlu bersuara bagi menjelaskan perkara sebenar.

"Penuntut di universiti juga tidak bersetuju dengan cara berpolitik yang berasaskan pembohongan dan fitnah. Ini merupakan amalan tidak sihat dan memalukan," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: