Ahad, Disember 09, 2012

Isu air bakal 'tenggelamkan' Pakatan Rakyat?


Tinjauan ke Empangan Sungai Selangor yang mengalami penyusutan paras air yang semakin membimbangkan walaupun kawasan ini sering kali menerima limpahan hujan pada Oktober lalu.

Tanggungjawab utama kerajaan negeri kepada rakyat antaranya ialah menyediakan kemudahan asas. Sebagai makhluk yang bernyawa, tidak ada keperluan asas yang paling utama selain daripada air - unsur utama untuk kelangsungan hidup.

Berdasarkan faktor ini, kegagalan kerajaan-kerajaan negeri tertentu menyediakan kemudahan air untuk dinikmati oleh rakyat masing-masing membuktikan betapa lemahnya kerajaan berkenaan.

Bukan secara kebetulan tetapi adalah hakikat - semua negeri di bawah pentadbiran kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas berhadapan isu bekalan air bersih. Semua isu ini tidak berlaku pun semasa Barisan Nasional berkuasa di negeri berkenaan. Hanya apabila pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan, semua tidak terkawal, mengelirukan dan lesap.

Penyakit isu air yang dialami oleh kerajaan Pas Kelantan sudah berjangkit ke negeri sekutunya. Kerajaan pimpinan PKR di Selangor sudah dijangkiti 'penyakit isu air' dan terkini Kedah pula terkena jangkitan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim asyik menafikan - tiada krisis air di Selangor tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Dalam musim tengkujuh ini pun ada pengguna yang masih dinafikan bekalan air, terganggu kerana tekanan air rendah.

Peristiwa ini berlaku apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) daerah Petaling telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau pada petang 23 November lalu ekoran kejatuhan paras air di kolam Bukit Dengkil dan Lapangan Terbang Subang.

Kesan segeranya ialah berlaku gangguan bekalan air hingga menjejaskan kehidupan 15,000 isi rumah di SS12 hingga SS19 dan pengguna di Jalan Lapangan Terbang Subang.


Kesengsaraan isu air Selangor terus berlaku hingga kini kerana kerajaan negeri enggan menerima penyelesaian melalui projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat. Akibat keengganan kerajaan negeri Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, projek Langat 2 mengalami kelewatan 29 bulan berbanding jadual asal.

Kini kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul dalam isu berkenaan. Dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini — bahawa tarif air akan naik sekiranya Kerajaan Pusat meneruskan rancangannya untuk membina loji rawatan air Langat 2.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George berkata, maklum balas yang beliau terima menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul dalam isu berkenaan.

Katanya, dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini — bahawa tarif air akan naik sekiranya kerajaan persekutuan meneruskan rancangannya untuk membina loji rawatan air Langat 2.

Dr. George berkata, semua kajian pakar menunjukkan bahawa projek itu perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pengeluaran air yang dirawat menurun dengan ketara, walaupun 34 loji sedia ada di Selangor beroperasi pada tahap maksimum.

Katanya dalam hal ini, kerajaan negeri sekali lagi mengelirukan pengguna apabila Abdul Khalid berkata semua kawasan takungan dipenuhi air dan krisis air tidak akan berlaku, walaupun perkara yang dihujahkan ialah mengenai bekalan air dirawat yang tidak mencukupi.

Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Selangor, Datuk Dr. Rozaidah Abdul Talib, perkara yang ingin dilakukan Kerajaan Pusat ialah melaksanakan rancangan jangka panjang untuk menangani krisis air yang bakal berlaku berikutan pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan industri.

"Rancangan ini adalah untuk tempoh 10, 15 atau 20 tahun akan datang dan apabila bercakap tentang air, sudah pasti akan timbul masalah. Ini merupakan isu global sekarang dan setiap negara menghadapinya, berikutan masalah berkaitan cuaca, alam sekitar dan pencemaran," katanya.

Dr. Rozaidah berkata, projek seperti Langat 2 tidak boleh disiapkan dalam tempoh semalaman dan sebarang kelewatan yang berpunca daripada politiking, boleh menyebabkan kos untuk melaksanakannya melonjak hingga sebanyak 70 peratus.


Lagipun, kata beliau, isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia merupakan isu hak asasi manusia dan dalam menghadapi isu berkaitan hak pengguna, semua pihak perlu bersikap waras serta memberi fokus terhadap isu sebenar.

Di Kedah pula, kesengsaraan mula berlaku apabila tarif air dinaikkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas, sedangkan dalam janji pakatan pembangkang sebelum menang pilihan raya umum 2008, mereka akan menurunkan tarif air.

Mungkin kerana tidak dapat mengaut keuntungan daripada kenaikan tarif air, Kerajaan Pas Kedah kini mengenakan caj bekalan air yang disalurkannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah tentu tidak selesa apabila Pas Kedah menyatakan mereka menjangkakan pendapatan RM20 juta daripada caj bekalan air tersebut semasa pembentangan bajet negeri baru-baru ini.

Reaksi balas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tentang caj tersebut menjelaskan Kerajaan Pas Kedah tidak pernah pun membincangkan perkara itu dengan mereka. Penjelasan itu menunjukkan tindakan kerajaan Kedah memasukkan angka dalam bajet negeri boleh dianggap palsu dalam pembentangan itu atau mereka cuba 'menipu' kerajaan Pulau Pinang.

Hakikat kelemahan mengurus air ini juga ditunjukkan oleh Pas yang telah mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan selama 22 tahun. Begitu lama 'kerajaan Islam' Pas gagal mengurus keperluan asas hinggakan rakyat Kelantan menderita.

Jika baharu satu penggal mentadbir kerajaan negeri mungkin boleh diterima alasan-alasan yang diberi oleh kerajaan Pas, tetapi selepas 22 tahun, lebih empat penggal - masih tiada perubahan. Jadi terbukti Pas Kelantan tidak tahu pun bagaimana hendak menyelesaikan isu air 'berkarat' negeri itu. Perkara yang mereka tahu ialah menafikan atau menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka.

Air bukan sahaja unsur asas dalam kehidupan tetapi ia juga unsur terpenting dalam Islam kerana ia simbol kesucian dan kebersihan. Mungkin kebetulan semua negeri di bawah pakatan pembangkang menderita akibat isu air. Barangkali ini juga menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana kotornya pakatan itu sebenarnya.

Ada yang melihat bukan mustahil pakatan pembangkang boleh ditenggelamkan oleh isu air.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

ISAC berkata...

Bro blog tuan diserang "Malware".

Cuba buka guna google chorome!!!

Dia akan bagi tahu link yang membawa virus!!!

Tolog buang link tersebut jika tidak kawan kena buang link ke blog tuan!!!