Sabtu, Disember 15, 2012

Anwar disaran contohi Palmer?



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mencontohi bekas Speaker Parlimen Singapura, Michael Palmer yang meletakkan jawatan semalam ekoran terlibat dalam hubungan sulit.

Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan berkata, peletakan jawatan itu menunjukkan Palmer seorang pemimpin yang mempunyai nilai integriti tinggi dan berprinsip kerana sanggup mengakui kesalahan serta melepaskan jawatan disandang.

"Jelas keputusan Palmer itu menunjukkan beliau memikirkan rakyat dan meletakkan negara melebihi kepentingan peribadi, jadi saya nasihatkan Anwar bersara daripada politik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, selain meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen Singapura yang disandang sejak Oktober 2011, Palmer turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Punggol Timur dan melepaskan keanggotaan dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana terlibat dalam hubungan sulit.

Nallakaruppan menambah, walaupun bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar perlu mengorbankannya demi kestabilan negara.

"Janganlah kerana nafsu politik, kita sanggup mengetepikan soal moral dan membuatkan rakyat berpecah-belah kerana kita," katanya.


Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Datuk Boon Som Inong memuji tindakan Palmer dan menyifatkan beliau memberi keutamaan untuk menjaga maruah parti diwakili, institusi Parlimen serta negara.

Katanya, setiap Ahli Parlimen di negara ini hendaklah memikul dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur kerana setiap tindak-tanduk mereka sentiasa diperhatikan rakyat.

"Sekiranya ada ahli parlimen yang terbabit melakukan perbuatan sebegitu, adalah wajar mereka meletakkan jawatan tanpa mereka-reka alasan sebagai helah, apatah lagi menuding jari kepada orang lain atas kesalahan dilakukan ibarat peribahasa, jangan menegakkan benang yang basah," katanya dalam kenyataan di sini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: