Teh Kim Poo (dua dari kanan) melihat keadaan pintu dan tingkap rumah salah seorang penduduk Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada program gotong-royong di situ baru-baru ini.
Sebanyak 45 keluarga Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Pulau Indah di sini melahirkan kelegaan apabila menerima kunjungan rombongan Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang yang hadir bagi menjayakan program gotong-royong membersihkan kawasan kampung mereka di sini baru-baru ini.
Tok Batin Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Intan Indik, 52, berkata, program tersebut memang diperlukan terutamanya bagi membantu menyelesaikan masalah longkang tersumbat, penyenggaraan landskap dan membina semula bahagian belakang dua buah rumah penduduk yang runtuh akibat tanah mendap.
Intan memberitahu, kampung tersebut sudah setahun tidak disenggara oleh pihak berwajib menyebabkan keadaannya kelihatan seperti kampung tinggal.
"Kekangan kewangan dan ketiadaan peralatan yang cukup menghalang kami daripada melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sendiri.
"Kami amat terharu dengan keprihatinan sukarelawan yang bertungkus lumus membersihkan serta memberi nafas baru kepada kampung ini," katanya.
Antara kawasan yang dibersihkan adalah persekitaran kawasan kediaman, balai raya dan parit di kawasan perkampungan berkenaan. Program sehari itu disertai kira-kira 30 ahli BN Parlimen Klang serta 20 ahli Pergerakan Wanita UMNO Klang.
Program itu mendapat kerjasama kira-kira 60 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Laguna Park dan para pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.
Sementara itu, Penyelaras BN Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, program gotong-royong itu adalah antara inisiatif pihaknya dalam usaha menjadikan perkampungan tersebut bersih dan indah khususnya bagi mendidik masyarakat setempat supaya sentiasa menjaga kebersihan.
"Aktiviti seperti ini dapat membantu dan mendidik penduduk supaya menjaga persekitaran mereka bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.
Kim Poo berkata, pihaknya kesal dengan sikap lepas tangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang membiarkan kawasan tersebut terbiar tanpa melakukan penyenggaraan secara berterusan.
"Kawasan perkampungan Orang Asli ini seperti dianaktirikan oleh MPK kerana dibiarkan kotor dan tidak terjaga. Ahli majlis perbandaran juga tidak pernah menjenguk kawasan ini sedangkan banyak masalah yang patut diselesaikan untuk keselesaan penduduk kampung," katanya.
Suara politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan