Jumaat, Disember 28, 2012

Hala tuju Melayu Pulau Pinang!



Melayu Pulau Pinang seringkali dilihat sebagai terpinggir di negeri sendiri. Sedihnya, semakin kuat mereka meluahkan nasib mereka, semakin kuat tekanan yang mereka hadapi. Mungkin kerana salah cara bersuara, mereka dilihat seolah-olah membangkitkan isu sensitif yang berbau perkauman.

Tekanan juga datang daripada bangsa Melayu sendiri yang seolah-olah memperlekehkan persoalan tersebut. Tidak kurang juga yang mengusulkan pendekatan politik yang mengatakan bahawa UMNO yang dilihat selama ini mempertahankan orang Melayu, juga telah gagal dalam perjuangan mereka menjaga orang Melayu selama memerintah bersama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Apakah tersisihnya Melayu di negeri ini adalah kerana faktor politik semata-mata atau ada faktor lain. Bagaimana pula halnya dengan kegagalan orang Melayu kerana sikap sendiri.

Begitu juga dengan persoalan berkaitan dengan kegagalan kakitangan kerajaan yang gagal melaksanakan polisi-polisi kerajaan pusat dan negeri dalam membantu orang Melayu, sama ada dari segi pendidikan, ekonomi, keusahawanan, perancangan bandar dan wilayah, perumahan, dan sebagainya.

Realitinya, majoriti besar kakitangan kerajaan adalah orang Melayu sendiri. Malahan kakitangan utama pentadbiran negeri dan Persekutuan juga adalah orang Melayu. Apakah mereka ini tidak memahami dan tidak membantu?

Sejarah menunjukkan bahawa sebelum kedatangan orang Inggeris, telah ada orang Melayu di pulau ini. Kemudian, dibawa masuk orang-orang China dan India ke negeri ini dan Negeri Selat lainnya untuk mencari rezeki, menampung kekurangan tenaga kerja pada masa itu dan membuka lembaran baru kehidupan mereka di negeri ini.

Golongan pendatang boleh berjaya kerana berkerja keras, tetapi yang asal telah lalai dan leka sekian lama. Kini suara mereka bersuara keras tapi tidak dihiraukan, mungkin telah hilang roh dan semangatnya.

Apakah mereka tidak pernah diberi peluang untuk berubah? Apakah modal insan Melayu ini masih dan akan berterusan berfikiran rendah atau tiada peluang diketengahkan ke hadapan kerana ekonomi di tangan bangsa lain.

Apakah bangsa lain ikhlas untuk berkongsi kek ekonomi atau hanya sekadar retorik.

Sejarah juga menunjukkan bahawa pada satu ketika, jumlah orang Melayu yang pada asalnya peneroka, adalah jauh kurang berbanding kaum lain. Sehingga kini masih kurang, tapi telah merapat dan dijangkakan akan melebihi kaum lain pada tahun 2020.

Apakah pada pada masa itu, Melayu hanya akan ramai dari segi kuantiti tapi kurang dari segi kualiti, atau sebaliknya. Apakah pada masa itu masih ada tanah untuk diduduki orang Melayu atau mereka terusir keluar secara tidak sedar.

Adakah orang Melayu ambil berat tentang masa depan dan perancangan masa depan negeri mereka ini atau mereka hanya berserah pada pihak tertentu, jika ada, untuk memikir tentang masa depan mereka.

Kita harus mencari jawapan ikhlas kepada persoalan berkaitan orang Melayu negeri ini, dilema bangsa minoriti yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran negeri serta politik dan kuasa ekonomi.

Apakah telah terlambat untuk Melayu bangkit, seperti mana pepatah nasi sudah menjadi bubur. Atau selepas mengakui masalah serta kelemahan, boleh menerjah bangkit semula dengan semangat Melayu baru.

Apa caranya? Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: