Khamis, Jun 21, 2012

Panas..!!! Pergolakan pentadbiran PKR Selangor?




Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dikatakan kembali bergolak berikutan tindakan Pengerusi PKR Negeri, Azmin Ali menerusi laporan sebuah portal berita propembangkang, 13 Jun lalu yang menggesa supaya Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin dipecat.

Dalam laporan itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dinyatakan menerusi twitter minggu lalu menerbitkan semula tulisan di laman sosial menggesa Faekah dipecat daripada jawatannya sejak mengambil alih daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 2010.

Tulisan Azmin itu disiarkan menerusi kempen 'Kami Sayangkan PKR' yang dihebahkan melalui laman maya.

Tindakan Azmin seperti yang dilaporkan media itu bukanlah perkara yang menghairankan kerana dia sebelum ini pernah dikatakan tidak sehaluan serta tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mentadbir kerajaan negeri.

Ini kerana, Abdul Khalid dikatakan sering menolak permintaan orang parti itu khususnya dari golongan 'oportunis' untuk mendapat manfaat daripada sebarang pelaksanaan projek daripada kerajaan negeri.

Keadaan inilah yang barangkali memaksa Azmin memberi tekanan kepada Abdul Khalid sebelum ini sehingga membawa kepada perletakan jawatan Pengerusi PKR Selangor oleh Abdul Khalid dan digantikan oleh Azmin sendiri pada 2010. Begitu juga dalam soal gesaan Azmin agar Faekah dipecat daripada jawatannya yang didakwa mempunyai kaitan yang serupa.

Menurut sumber dari pihak kerajaan negeri, difahamkan tulisan twitter Azmin itu dibuat sebagai mewakili 'orang PKR' yang tidak setuju dengan tindakan Faekah tidak menyalurkan projek-projek di bawah Geran Selangorku kepada mereka.



Ini kerana menurut sumber itu, Faekah dikatakan merupakan salah seorang daripada ahli jawatankuasa merangkap wakil parti politik dalam pengurusan geran berkenaan yang mempunyai peruntukan keseluruhan RM300 juta menerusi Bajet Selangor 2012.

Apa pun, senario itu dilihat antara pergolakan yang berlaku dalam PKR yang menjadi-jadi pada hari ini dan boleh dikatakan ia bukanlah rahsia bagi kebanyakan orang dan penganalisis politik di negara ini.

Apa tidaknya, umum di negara ini dari peringkat orang muda hinggalah kepada orang tua sememangnya mengetahui dakwaan melibatkan kepimpinan tertinggi parti pembangkang itu dari segi moral khususnya.

Daripada dakwaan melibatkan isu seks, salahguna kuasa sehinggalah yang paling terbaru pemimpin tertinggi parti itu iaitu Anwar Ibrahim didakwa memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion susulan daripada akuan berkanun bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid sebelum ini.

Begitu juga dengan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR yang turut didakwa bersama isterinya, Shamsidar Taharin memiliki aset dipercayai bernilai lebih RM30 juta sepanjang 1992 hingga 1994. Dalam tempoh itu, Azmin dikatakan bekerja sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri dengan menerima gaji sebanyak RM2,442 sebulan manakala Shamsidar hanyalah seorang suri rumah yang tidak bekerja.

Itulah realitinya PKR, mereka tidak pernah terlepas daripada apa jua dakwaan melibatkan masalah pemimpinnya meskipun sering menyalahkan pihak lain khususnya parti lawan mereka dengan ungkapan fitnah dan konspirasi.



Semua dakwaan itu dilihat lebih menjurus kepada peribadi individu dalam parti pembangkang itu.

Namun, di peringkat kerajaan negeri di bawah pimpinan PKR, Pas dan DAP di Selangor ini lain pula keadaannya apabila dikatakan menjalankan tadbir urus kononnya untuk manfaat seluruh rakyat tetapi hakikatnya, pentadbiran mereka penuh dengan kecelaruan sehingga menyusahkan rakyat.

Tidak hairanlah apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini dengan sinis menggelarkan pentadbiran negeri sebagai 'tikus membaiki labu' yang mana gelaran itu amat tepat berdasarkan perbandingan apa yang dilakukan pakatan pembangkang sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini bermula Mac 2008.

Gelaran sedemikian sebenarnya satu refleksi bahawa kerajaan negeri pada hari ini boleh dilihat sebagai 'kerajaan tikus' kerana banyak perkara yang dilakukan kerajaan negeri pada hari ini yang bukan hanya tidak membawa sebarang manfaat, bahkah memburukkan lagi jaminan keselamatan sosial rakyat pada masa depan.

Ambil sahaja isu bekalan air terawat sebagai contoh, kerajaan negeri sehingga hari ini masih enggan memberikan persetujuan untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang sebenarnya untuk menampung keperluan bekalan air bersih baik kepada rakyat serta industri di negeri ini selain sebagai langkah untuk menangani krisis sumber itu yang dijangka berlaku 2014 di seluruh Lembah Klang termasuk Putrajaya.

Namun, alasan yang diberikan kerajaan negeri menolak pembinaan loji itu berdasarkan kenyataan Abdul Khalid menerusi laporan akhbar tempatan pada 30 Mei lalu adalah pembinaan loji berkenaan kononnya menyebabkan rakyat akan membayar kenaikan kadar tarif yang tinggi, selain terus mengatakan Selangor masih mempunyai bekalan air mentah yang banyak.

Sebenarnya isu bekalan air yang kritikal di negeri ini adalah air terawat dan bukannya air mentah seperti mana yang ditegaskan oleh Noh pada 25 Mei lalu bahawa dua buah loji rawatan air (LRA) Semenyih dan Langat berada dalam keadaan yang 'sarat' ekoran beroperasi melebihi kapasiti yang sepatutnya. Ini termasuklah dua lagi LRA iaitu di Sungai Batu dan Sungai Selangor Fasa 2 juga berisiko menghadapi situasi sama.



Inilah kesannya akibat sikap 'kerajaan tikus' negeri ini yang mana mereka kononnya mahu melakukan sesuatu untuk perkhidmatan air tetapi pada masa sama rakyat dan industri negeri ini terpaksa menerima kesan daripada sikap mereka dalam menguruskan isu itu.

Situasi sama juga dilihat berlaku dalam soal pendidikan di Selangor apabila kerajaan negeri ini dikatakan menjadikannya sebagai komoditi untuk meraih sokongan politik.

Pandangan itu diakui sendiri oleh Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi yang menyatakan apa yang dilakukan kerajaan negeri dalam soal itu tidak memberikan manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Mengambil contoh tindakan kerajaan negeri menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) serta tidak membenarkan pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah sebelum ini, beliau menyatakan ia jelas memperlihatkan betapa ruginya anak-anak rakyat Selangor dari segi peluang pendidikan pada masa depan.

Begitu juga jelasnya dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang dilihat hanya mementingkan keuntungan apabila mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan untuk dibangunkan projek komersial.

Justeru, apa yang berlaku di bawah kepimpinan pakatan pembangkang sejak mentadbir Selangor adalah peluang pendidikan untuk rakyat begitu banyak diabaikan hanya kerana mahu menjaga survival politik mereka.

Dalam tempoh empat tahun mentadbir Selangor, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PKR, DAP dan Pas juga dilihat langsung tidak mempunyai sebarang inisiatif dalam melaksanakan pembangunan pendidikan termasuklah tidak mempunyai pelan khusus untuk tujuan itu.



Kepada rakyat Selangor, cuba kita fikir sejenak dan namakan sebuah institusi pendidikan yang telah dibangunkan atau pelan pembangunan jangka panjang atau pendek yang dirangka oleh kerajaan negeri, nampaknya tidak ada langsung.

Apa yang pasti, semua kemudahan dan pembangunan pendidikan di Selangor yang ada pada hari ini hasil daripada usaha pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini termasuklah Universiti Selangor (Unisel) yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Industri Selangor.

Sebenarnya, banyak lagi tindakan kerajaan negeri yang boleh disebut menjejaskan kehidupan rakyat di Selangor seperti isu perkhidmatan kutipan sampah yang gagal dilaksanakan kontraktor dilantik.

Akhirnya, kerajaan negeri terpaksa menggunakan wang rakyat untuk membeli 50 buah lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta yang seolah-olah untuk menutup kelemahan mereka menguruskan perkhidmatan itu.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Aloq Laloq berkata...

Salam tn blogger,

Mohon sudi kiranya link blog aloqlaloq.blogspot.com ke blog handal tuan ini. Tk.

Aloqlaloq