Khamis, Jun 14, 2012

Mimpi Dan Khayalan PAS ?




Belantan tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Xian Ren di akhbar China Press. Akhbar tersebut menyiarkan sebuah artikel mengenai kerajaan Islam dan hukum hudud yang menjadi agenda PAS. Artikel terdapat di ruangan perbincangan rakyat bertajuk ‘Hadi Awang bermimpi dan berkhayal itu ditulis oleh penulis Xian Ren’.

Menurut Xian Ren, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah lupa diri seketika apabila dengan lantang berkata jika pakatan pembangkang memerintah kerajaan pusat, PAS akan mengotakan janji melaksanakan konsep negara Islam termasuk melaksanakan hukum hudud.

Tulis Xian Ren lagi, jika PAS mahu kotakan konsep itu, syaratnya ialah kedudukan PAS mesti seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Iaitu memiliki kerusi yang banyak dan boleh memerintah sendiri.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pula menjadi parti kecil dalam pakatan pembangkang yang peranannya seperti melayan PAS minum kopi dan semua keputusan terletak pada PAS. Barangkali mimpi dan khayalan PAS ini tidak sempat dilaksanakan kerana pakatan pembangkang sudah dijatuhkan oleh rakyat. Xian Ren menulis, sebelum pilihan raya 2008, PAS langsung tidak menyebut mengenai negara Islam.



Apa yang diuar-uarkan ialah perjuangan untuk kepentingan rakyat. Akhirnya PAS mendapat kemenangan besar yang tidak pernah dirasai selama 40 tahun mereka memerintah. Dalam pakatan pembangkang, prestasi undian PAS lebih baik daripada DAP. Tetapi bilangan kerusi Parlimen PAS tidak dapat menandingi DAP dan PKR.

Pada pilihan raya akan datang, PAS memerlukan kerusi yang lebih banyak atau melebihi DAP dan PKR untuk berkuasa penuh. Kaum Cina mengundi PAS pada pilihan raya umum 2008 kerana slogan perjuangan untuk rakyat parti itu.

Tanpa disangka-sangka selepas menang besar PAS sebaliknya tidak mengotakan janjinya. Perjuangan untuk kepentingan rakyat dan negara terus diketepikan dan kembali semula kepada isu negara Islam.

Bermain politik sehingga tidak tahu menjaga percakapan dan langsung tidak amanah. Adakah orang-orang Cina dapat menyokong PAS lagi pada masa depan? Impian PAS mahu menang lebih banyak kerusi di Parlimen pada pilihan raya akan datang sudah tentu tidak mungkin berlaku. Ini adalah kerana orang-orang Cina lebih rela sokong UMNO kerana PAS tidak mahu meninggalkan konsep dan pemikiran negara Islam mereka. Boleh dibayangkan jika pakatan pembangkang memerintah kerajaan pusat, peranan PAS sudah tentu hanya kecil.

‘‘Sedangkan untuk mencabar UMNO hari ini pun PAS tidak layak, tetapi masih berangan-angan untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud? Bukankah itu orang-orang bodoh yang sedang bermimpi?,” tulis Xian Rein. Sambung penulis itu lagi, walaupun PAS sudah lama berakar umbi di Kelantan, tetapi parti itu masih gagal melaksanakan hukum hudud.

Sebaliknya Hadi ketika ini pula masih lagi mahu bangunkan konsep negara Islam dan hukum hudud. Tidakkah ia hanya semata-mata mahu menyusahkan pakatan pembangkang? Perbuatan itu langsung tidak membantu dan menjadi perosak yang hanya membantu BN.



Tambah penulis itu, kesilapan Hadi ialah menganggap orang bukan Islam tidak tahu konsep negara Islam yang sebenar. Sebab itu orang bukan Islam dikatakan membantah konsep tersebut. Sebaliknya orang bukan Islam lebih memahami kesemua konsep-konsep negara Islam, sebab itu mereka tidak boleh menerima konsep itu.

Bagi Belantan pula HUDUD hanyalah senjata politik PAS sahaja! Sebenarnya agak sukar bagi orang-orang Melayu untuk membezakan antara UMNO dan PAS. Kalau PAS mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, UMNO juga boleh mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, demikian juga kalau PAS mendakwa ianya memperjuangkan Islam, UMNO juga mendakwa ianya memperjuangkan Islam, bahkan dalam Perlembagaan UMNO sendiri tertulis dengan jelas matlamat Islam dalam perjuangannya.

Oleh itu untuk menunjukkan yang PAS itu lebih Islam dari UMNO, maka PAS telah membangkitkan hukum hudud yang belum lagi dibangkitkan oleh UMNO dan menggunakan hukum itu sebagai isu politik, supaya dengan demikian penonjolan Islam yang ada pada PAS itu dapat menenggelamkan Islam yang ada pada UMNO.

Isu-isu lain seperti mengkafirkan UMNO, UMNO parti asabiah, UMNO mengasingkan agama daripada politik dan sebagainya dianggap sudah lapok sukar untuk dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi. Justeru itu semasa kempen Pilihanraya Umum 1990, PAS telah membesar-besarkan isu hudud dan berjanji kepada rakyat, khasnya di Kelantan sekiranya parti itu berkuasa mereka akan melaksanakan hukum tersebut.



Dalam manifesto pilihan raya umum 1990, PAS berikrar akan melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan jika memerintah Negeri Kelantan. (Manifesto Pilihan Raya PAS bertajuk Program PAS Negeri Kelantan 1990)

"Hendak melaksanakan hukum hudud di negeri ini hanya boleh dibuat jika mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak." (Utusan Malaysia, 11 Februari 1998)

Setelah PAS berjaya memerintah Negeri Kelantan, maka janji yang dibuat oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu hanya tinggal janji, kerana sebelum itu tidak ada apa-apa persediaan yang dibuat bagi melaksanakan hukum tersebut. Tetapi apabila Pilihanraya Umum yang baru heboh diperkatakan yang ianya akan diadakan tidak lama lagi, maka mahu tak mahu janji itu harus diselesaikan walau dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak ianya akan mengancam kedudukan parti yang membuat janji itu.

Justeru itu dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.

Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil.

Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali. Yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan.

Kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya.



Sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

"Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar".

Sehingga kini, walau apapun alasan, hakikatnya PAS belum tertunaikan janjinya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Berabad lamanya. Dulunya Kerajaan PAS membayar RM250,000 untuk membuat draf tapi tak boleh laksanakannya kerana belum memenuhi syarat minimum.

Kerajaan PAS tidak mempunyai kemampuan dan tenaga pakar perundangan yang mencukupi. Hakim Syarie yang ada sekarang pun tidak mampu menepati 15 syarat yang perlu sebelum boleh membicarakan kes-kes Hudud ala-PAS, bukan Hudud Allah.



PAS tak boleh pinda hukum hudud asal mengikut seleranya sendiri. Kerana tidak mampu, Nik Aziz mula menuduh orang lain, mula-mula dia tuduh Sultan Kelantan tidak tandatangan sebagai tanda persetujuan, kemudiannya diugut Perdana Menteri pula. Akhirnya menuduh pula Islam Melayu, UMNO. Apa dah jadi dengan Tok Guru ini yang hanya mencari "skapegoat" supaya tuduhan diletak keatas bahu orang lain bertujuan menyuci tangan yang penuh dengan najis.

Pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa Sultan Kelantan telah menandatangani pindaan hukum hudud jelas menunjukkan bahawa PAS bukan sahaja berbohong malah apa yang tersirat sebenarnya ialah mereka hanya menjadikan "hudud" sebagai propaganda politik - agar PAS dilihat sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam.

Selain itu, "hudud" juga dijadikan umpan oleh PAS - umpan untuk pancing undi, umpan untuk mendapat kuasa lagi dan umpan supaya dengan kuasa itu, mereka boleh hidup mewah dan mengaut kekayaan negeri Kelantan.

"Sejarah hidup" PAS selama ini memang sering berdolak-dalik dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam. Oleh sebab kononnya "baju" mereka adalah "baju Islam", maka hanya mereka sahaja yang layak untuk berkata tentang Islam - dan apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka semuanya adalah "fatwa" yang boleh dipercayai.

Sikap totok kepada perjuangan yang walaupun songsang ini, membuatkan sebilangan penyokong PAS ditipu bulat-bulat tanpa kompromi! Jika bukan kerana pendedahan Ku Li, mungkin ramai yang mempercayai dakwaan pemimpin PAS bahawa tidak adanya perkenan dari Sultan Kelantan adalah antara penyebab kenapa hudud masih belum terlaksana di Kelantan.



Apalagi iktibar yang boleh didapati dari pendedahan ini selain dari pembuktian bahawa PAS memang tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud! Ini semua hanyalah omongan dan nawaitu tidak ikhlas pemimpin PAS untuk menunjukkan kehebatan tidak bertempat kepada rakyat - setelah mabuk kuasa!

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas.

Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”. UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: