Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Jun 03, 2012
Di manakah keberanian 'ayam sabung' pembangkang?
Dalam pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas masing-masing mempunyai 'ayam sabung' yang akan terpekik terlolong di atas pentas-pentas ceramah bagi menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja ceramah-ceramah melibatkan 'ayam-ayam sabung' itu di seluruh negara. Tuduhan amalan rasuah dan penyelewengan yang kononnya dilakukan oleh UMNO dan BN sentiasa menjadi modal ceramah mereka.
Penulis tidak berhasrat menyebut nama-nama 'ayam-ayam sabung' ini kerana semua orang mengetahui siapa mereka yang kononnya bertindak sebagai pejuang menegakkan kebenaran, menghapuskan ketidakadilan dan mahu mewujudkan sebuah pentadbiran negara yang bersih.
Kalau mendengar hujah-hujah mereka di pentas ceramah, seolah-olah UMNO dan BN lah parti yang paling korup dalam dunia serta setiap hari menyeleweng wang rakyat.
Apabila ada isu-isu yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, 'ayam-ayam sabung' ini akan berkokok kuat mendesak supaya siasatan rapi dijalankan, suruhanjaya diraja ditubuhkan dan pemimpin terlibat didesak meletakkan jawatan atau bercuti sehingga siasatan selesai.
Walaupun ada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu hanya rekaan politik semata-mata namun 'ayam-ayam sabung' ini akan berkepak membuat pelbagai andaian, tuduhan dan fitnah.
Bagi mereka, sama ada tuduhan dan dakwaan itu benar atau tidak ia soal kedua, apa yang paling penting ialah berusaha membangkitkan persepsi buruk rakyat terhadap pemimpin-pemimpin BN dan sekali gus akan memberi keuntungan politik kepada mereka.
Tetapi kita berasa hairan apabila 'ayam-ayam sabung' ini bagaikan bak kata orang ayam berak kapur apabila ada isu melibatkan pemimpin-pemimpin kanan mereka sendiri.
Tiada sepatah perkataan pun akan keluar dari mulut mereka bagi mendesak siasatan yang telus dan adil dijalankan. Sebaliknya, mereka akan lebih selesa untuk menganggap semua tuduhan dan dakwaan ke atas pemimpin mereka hanyalah mainan politik serta konspirasi UMNO dan BN.
Bagi 'ayam-ayam sabung' ini pemimpin-pemimpin mereka bersih dan suci dari noda dan dosa serta tidak akan melakukan sebarang penyelewengan mahupun salah laku moral.
Walaupun bukti-bukti yang ditampilkan terhadap dakwaan-dakwaan itu cukup kukuh dan mampu mendorong kepada satu siasatan rapi dijalankan tetapi 'ayam-ayam sabung' pembangkang ini hilang keberanian.
Mereka akan berusaha mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu bermati-matian.
Ternyata sekali keberanian 'ayam-ayam sabung' tersebut ada batasnya dan segala-galanya bukan berlandaskan kepada perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran apatah lagi memperjuangkan hak rakyat.
Sebaliknya, apa yang mereka lakukan hanyalah untuk mencari keuntungan politik dengan cara memburuk-burukkan parti lawan mereka. Kalau mereka benar-benar berjuang untuk rakyat dengan cara berusaha menghapuskan segala penyelewengan dan salah laku sudah pasti pemimpin mereka juga tidak akan terlepas menjadi sasaran.
Namun semua orang tahu mainan politik 'ayam-ayam sabung' ini yang sejak kebelakangan ini semakin ghairah membangkitkan satu demi satu isu semata-mata untuk memburukkan apa juga usaha yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Selain itu, mereka juga berusaha melakukan 'pembunuhan karektor' ke atas pemimpin-pemimpin parti itu berdasarkan kepada maklumat separuh masak.
Walaupun akhirnya apa yang mereka dakwa itu tidak benar, tiada sedikit pun keinsafan kepada diri mereka untuk memohon maaf kepada individu terlibat, sebaliknya mereka akan terus mencanangkan isu yang sama.
Adalah sesuatu yang malang apabila, ada antara 'ayam-ayam sabung' ini mewakili parti yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sanggup melakukan tohmahan, fitnah dan dakwaan yang tidak berasas.
Kalau benar mereka pemimpin Islam kenapakah layanan yang sama tidak diberikan kepada pemimpin-pemimpin sekutu mereka yang didakwa terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan salah laku moral. Kenapakah mereka tidak mahu memegang yang hak itu hak, yang batil itu batil?
Terbuktilah sudah 'ayam-ayam sabung' di dalam pakatan pembangkang ini, hakikatnya hanyalah penghibur di pentas-pentas ceramah dan ada antara mereka pula lebih bertindak sebagai 'badut' dengan membuat lawak-lawak memperlekehkan pemimpin-pemimpin BN sambil disulami dengan tohmahan dan fitnah.
Justeru tidak salah kita mencabar dan bertanya kepada 'ayam-ayam sabung' ini, apakah mereka benar-benar memahami erti kebenaran dan menegakkan keadilan.
Persoalan ini dilontarkan kerana 'ayam-ayam sabung' bersikap memilih berbulu, bertindak 'double standard' dan hipokrit apabila mendiamkan sahaja isu melibatkan pemimpin-pemimpin mereka.
Namun dalam masa yang sama mereka harus ingat bahawa dunia sudah berubah, pemikiran politik rakyat juga yang sudah berkembang. Mungkin bagi penyokong tegar pembangkang, apa pun yang dikatakan oleh 'ayam-ayam sabung' ini akan disokong tetapi sikap itu tidak akan wujud di kalangan rakyat yang mahu berfikir dan mencari kebenaran di sebalik segala tohmahan, fitnah dan dakwaan yang dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin BN.
Malahan akan ada di kalangan rakyat mempersoalkan, apakah hanya dakwaan penyalah gunaan dan salah laku pemimpin BN sahaja harus dijaja sedangkan perbuatan lebih buruk lagi yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang hanya berdiam begitu sahaja.
Justeru ingatlah kebenaran tetap akan menumpaskan kebatilan dan ketika itu semua pihak akan memahami bagaimana 'ayam-ayam sabung' pembangkang ini, hanyalah 'berkokok' kuat tetapi ekor sendiri berlumuran najis yang memualkan!-UMO
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan