Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Julai 17, 2011
Pembangkang rela ber'TUAN'kan kuasa asing?
Tidak pantas kita merasa pesimis terhadap masa depan bangsa kita, kerana pergolakan politik yang sedang kita lalui sekarang. Tidak pantas juga kalau kita tidak berasa bimbang atau cemas dengan keadaan yang sedang berlaku.
Kita tidak mahu berkata bangsa Melayu sekarang berada di persimpangan sejarah, seperti pada tahun 1511 apabila Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan penjajah, tetapi kemungkinan hal ini berlaku sekali lagi tidak boleh ditolak sama sekali.
Lihatlah apa yang telah berlaku baru-baru ini di Kuala Lumpur. Pembangkang yang didalangi oleh tangan-tangan kuasa asing telah mengadakan perhimpunan haram BERSIH 2.0. Macam ada sesuatu yang tak kena.
Apakah motif sebenar “ DEMO BERSIH 2.0” ? Bukankah tujuan mereka ‘berdemo’ kerana mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong? Kita patut mempersoalkan kegagalan S. Ambiga menyerahkan memorandum berhubung tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Yang di-Pertuan Agong ketika diberi peluang menghadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara!
Ambiga dan dua lagi pihak dalam Bersih seharusnya menggunakan peluang tersebut untuk 'menyuarakan' tuntutan mereka menerusi penyerahan memorandum berkenaan. Kesediaan membenarkan mereka menghadap membuktikan sikap keterbukaan Tuanku Mizan yang patut dijunjung tinggi dan dihormati.
Justeru itu adakah kesempatan menghadap Seri Paduka dimanfaatkan Bersih untuk menyampaikan memorandum tersebut. Kenapa tidak? Kalau sudah disampaikan, apa perlunya lagi diadakan perhimpunan di stadium? Nampaknya sudah terang lagi bersuloh. Sebenarnya ada agenda lain disebalik perhimpunan BERSIH 2.0 ini?
Hari ini kebanyakan rakyat kita sudah sedar bahawa kemerdekaan formal saja tidak cukup. Bukan setakat pemerintahan sendiri yang kita maksudkan dengan kemerdekaan, kemerdekaan juga bermakna bebas dari segi ekonomi dan ketenteraan, lebih-lebih lagi bebas dari segi pemikiran dan fahaman.
Kita orang Islam yang faham akan konsep tauhid yang sebenar bahawa kita tidak tunduk, kecuali kepada Allah S.W.T. Inilah konsep kebebasan yang sebenar. Kita bebas daripada segala bentuk perhambaan, kecuali perhambaan kepada Allah subhanahu wa taala.
Perang Dunia Kedua telah meruntuhkan sebahagian besar daripada sistem penjajahan Eropah. Banyak negara Asia dan Afrika yang dulunya dijajah mencapai kemerdekaan selepas perang itu. Namun demikian, kuasa penjajah Eropah yang terbesar, Britain, tidak runtuh sepenuhnya. Israel, di Asia Barat, Australia, New Zealand dan Hong Kong (sebelum 1998), juga Singapura dan Taiwan, di Asia, terus merupakan benteng-benteng kaum penjajah baru Inggeris-Amerika.
Apabila blok komunis yang dipimpin oleh Kesatuan Soviet runtuh pada 1989, imbangan dan saing kepada kuasa penjajah Barat hapus sama sekali. Inilah yang menyebabkan Britain dan Amerika berani melancarkan, pada penghujung 1990, satu perang pencerobohan yang besar-besaran terhadap Iraq, satu-satunya kuasa Arab yang boleh mencabar anak emas mereka, iaitu Israel.
Setelah peperangan inilah mereka mengisytiharkan satu "Tatadunia Baru'', Pax Americana. Dari sinilah bermulanya satu gerakan baru untuk menjajah semula dunia oleh kaum Anglo-Amerika. Kadang-kadang PBB digunakan, kadang-kadang NATO, ada kalanya kuasa sewenang-wenang AS dan Britain saja untuk menyerang atau menekan negara mana yang mereka tidak suka seperti Iraq, Yugoslavia, Indonesia, Malaysia dan China, kerapkali atas nama hendak membela "demokrasi'' dan "hak asasi''.
Selalunya yang mereka tidak suka ialah pemimpin nasionalis yang tidak mahu tunduk kepada kediktatoran Inggeris-Amerika. Sembilan tahun dulu, bentuk penjajahan baru itu nampak jelas dalam serangan mereka terhadap Iraq. Sesetengah kita tidak begitu ambil peduli akan perkembangan ini, malah pada ketika itu kita diperdayakan oleh mereka untuk menyokong mereka kerana Kuwait, sedangkan Kuwait itu topeng mereka saja.
Pada tahun 1997, ekonomi kita dan ekonomi negara-negara Asia Tenggara diserang teruk oleh penyangak mata wang. Kita pun sudah semakin sedar akan penjajahan baru ini. Pada tahun itu sebuah wilayah Indonesia, Timor Timur jatuh ke tangan tentera Australia iaitu anggota dari kaum oligarki Inggeris-Amerika.
Sekarang kebanyakan rakyat kita telah sedar bahawa satu gelombang baru penjajahan Inggeris-Amerika sedang melanda dunia. Ini satu hakikat politik antarabangsa zaman pasca Perang Dingin yang harus kita akui. Tanpa mengakui hakikat ini, kita tidak akan faham politik dunia sekarang. Namun demikian, dari sejarah kita juga tahu bahawa kaum penjajah Portugis tidak boleh menakluk Melaka, kecuali dengan pertolongan pembelot dan anasir-anasir perpecahan dari dalam negeri Melaka sendiri.
Hari ini, hampir setengah abad setelah peristiwa nahas itu, negara kita berada di tempat yang sama. Kaum penjajah baru Inggeris-Amerika yang panik tentang bakal keruntuhan mereka sendiri sedang berlagak seperti samseng di dunia. Pembelot dan anasir pemecah dari dalam masyarakat kita pun sudah ada. Yang menjadikan hal ini lebih berbahaya ialah kerana anasir pemecah ini menggunakan topeng agama untuk mempengaruhi masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Anwar Ibrahim, seperti soal Kuwait dalam kes pencerobohan mereka terhadap Iraq, satu topeng dan satu alat semata-mata. Dasar mereka sekarang ialah mahu menjajah kita kembali untuk menyelamatkan sistem mereka yang sudah bobrok. Mereka akan mencari satu alasan untuk pencerobohan mereka. Penyingkiran Anwar telah menjadi satu alasan yang baik. Mereka yang sudah memperdaya, maka di antara kita hendaklah sedar dan berpatah balik.
Tidak syak lagi kebanyakan anggota Pas tidak sedar bahawa dengan menggunakan agama, pemimpin-pemimpin mereka telah memperalatkan mereka. Islam itu sebuah agama yang Tuhan redhai dan mempunyai pengaruh emosi yang kuat terhadap penganut-penganutnya. Hal ini telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin oportunis dalam semua zaman untuk kepentingan mereka. Pemimpin-pemimpin Pas termasuk ke dalam golongan ini.
Cara kita mengatasi masalah ini ialah dengan orang Islam sendiri mengenali agama mereka supaya mereka tidak tertipu oleh pemimpin-pemimpin oportunis ini. Mereka harus tahu bahawa agama Islam menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan. Pemimpin-pemimpin Islam, malah semua orang Islam, harus tunjuk teladan yang baik. Islam tidak menyuruh kita menabur fitnah, membuat pembohongan, mencarut ataupun memaki-hamun terhadap sesama sendiri, walaupun kita berbeza pendapat.
Kita harus mencari kebaikan dalam masyarakat kita dengan "menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan''. Bolehkah kita berbuat demikian dengan menabur fitnah, membuat pembohongan, mencarut dan memaki-hamun terhadap pemimpin-pemimpin parti kerajaan? Kita akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kita yang menyalahi ajaran Islam itu.
Kalau baginda Nabi Muhammad SAW hidup hari ini dan memimpin sebuah parti politik di negara kita, dalam sedikit masa beliau akan berjaya menyatupadukan bukan saja masyarakat Islam, tetapi seluruh rakyat Malaysia atas dasar patriotisme Malaysia dan pembangunan sebuah masyarakat yang adil.
Ini dapat kita buktikan dengan mengkaji Perlembagaan Madinah yang Nabi berikan kepada kota itu apabila berhijrah ke sana pada 622 dan memimpin negara kota itu selama sepuluh tahun dari tarikh itu hingga 632 apabila Nabi wafat. Perhatikan bahwa tidak ada istilah "negara Islam'' atau "Undang-undang Hudud'' yang tercatat dalam dokumen bersejarah ini. Inilah sunnah Nabi yang patut diteladani oleh Pas.
Sebelum terlambat, seluruh rakyat kita mestilah memberi perhatian berat kepada angkara yang sedang dilakukan oleh kaum penjajah baru terhadap bangsa kita. Kita menyeru kepada penyokong-penyokong Anwar dan penyokong-penyokong Pas supaya berfikir panjang dan dengan tenang. Kita akan mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Sanggupkah kita menukar sebuah kerajaan nasionalis dengan segala kecacatan yang ada, dengan sebuah kerajaan yang propenjajah? Jawapannya jelas. Rakyat Malaysia akan membuat kesilapan itu.
Tetapi kita sudah melihat dalam masa Tun Mahathir memerintah, sesetengah rakyat kita sanggup melemparkan perhitungan rasional serta mendakap rasa benci terhadap Tun. Mengapa? Kerana kita telah memakan umpan kaum imperialis Barat yang tidak mahu melihat seorang pemimpin Asia yang berani membantah mereka dan fitnah kaum agama yang berfikiran sempit dan kolot yang ada cita-cita politik yang telah menjadi alat mereka. Dan ianya dilihat berterusan kepada Tun Abdullah dan juga Dato' Seri Najib yang juga terkena tempiasnya.
Mengapakah kita tidak menggunakan kaedah nasihat, tegur-menegur dan perundingan untuk membaiki kelemahan dalam parti dan dalam kerajaan? Jika penyokong-penyokong Anwar mengkritik penyelewengan dalam parti dalam kerajaan sekarang, adakah penyelewengan ini tidak ada sewaktu Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri?
Adakah Anwar buat apa-apa untuk membaiki keadaan ini semasa beliau ada di dalam? Jika tidak, Anwar dan penyokong-penyokongnya tidak ada hak untuk mengkritik. Tidak ada parti atau kerajaan yang sempurna dalam dunia ini. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita ingin melihat sebuah pentadbiran yang baik yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat kita.
Ada keamanan dan keselamatan dalam negeri, ada kebebasan beragama, ada kebebasan bersuara dan berorganisasi, ada pekerjaan untuk rakyat mencari makan, ada tempat tinggal, ada tempat untuk anak-anak kita bersekolah dan ada hospital dan klinik untuk kita mendapat rawatan waktu sakit. Kita ada semua ini dalam Malaysia. Tidak semua negara ada apa yang kita ada. Kita patutlah bersyukur.
Ini tidak bermakna tidak ada apa lagi yang hendak diperjuangkan. Masih banyak cacat dalam sistem dan pentadbiran negara kita. Umpamanya, sistem politik kita. Sistem ini kita tiru daripada Britain. Ia ada kecacatan yang besar. Adakah teori dwiparti itu baik dan selaras dengan undang-undang semula jadi? Adakah teori ini selaras dengan ajaran Islam? Cerdik pandai kita patut mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam.
Apakah yang menyebabkan timbulnya "politik wang'' dalam UMNO, yang heboh diperkatakan tidak lama dahulu. Adakah perkara itu sudah selesai? Bagaimana hendak menyelesaikannya? Bagaimana tentang amalan perundingan dalam UMNO, dalam parti-parti lain, dalam kerajaan dan dalam masyarakat? Adakah anggota-anggota diberi didikan politik yang boleh melayakkan mereka menjadi pemimpin masyarakat di semua peringkat?
Adakah kita sudah berpuas hati dengan dasar ekonomi kita? Bagaimana kita hendak membahagikan kekayaan negara dengan lebih adil tanpa mengorbankan kecekapan dan kreativiti? Bagaimana dengan masalah dadah yang melumpuhkan begitu ramai tenaga generasi muda kita? Bagaimana kita mengubah masyarakat Melayu menjadi lebih dinamik dan progresif? Bagaimana kita mengatasi masalah adat dan fahaman yang kolot dalam semua kumpulan masyarakat kita?
Adakah sistem pendidikan kita menyediakan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak kita? Adakah kita sudah puas hati dengan taraf intelektualisme cerdik pandai kita? Adakah cerdik pandai kita mempunyai semangat " menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan"?
Tidakkah khidmat sesetengah pejabat kerajaan, seperti pejabat agama, sangat tidak memuaskan? Beratus-ratus masalah yang masih ada dan yang perlu ditegur dan dibaiki. Tetapi dalam kita melaksanakan pembaharuan ini, kita mesti patuh kepada satu undang-undang pokok. Kita harus kenal siapa musuh dan siapa kawan kita. Kita tidak boleh patuh kepada musuh. Musuh kita lawan. Kawan kita ajak berbincang dan bekerjasama.
Adakah orang-orang UMNO itu musuh orang-orang Pas dan sebaliknya? Tentu tidak. UNMO dan Pas hanya berbeza dari segi fahaman politik. Hakikat pokok ialah kedua-duanya parti politik rakyat Malaysia yang mempunyai cita-cita yang sama. Mereka harus bertolak dari hakikat pokok ini dan mencari muafakat melalui perundingan untuk kebaikan negara dan rakyat Malaysia.
Kita harus sedar bahawa perpecahan berlaku kerana ajaran dan hasutan musuh kita, iaitu penjajah. Walaupun seruan perpaduan itu sudah terlalu banyak dilaungkan hingga hampir hilang maknanya, perlunya masyarakat Melayu bersatu sekarang tidak harus diremehkan. Formula perpaduan itu telah diajar kepada kita dalam Quran. Kita hanya perlu memahami formula itu dan bertekad untuk melaksanakannya.
Pertama, Tuhan mengajar kita bahawa orang mukmin itu bersaudara. Ini bermakna kita harus bersikap baik sesama kita dan membuang sikap benci-membenci.
Kedua, kita mesti duduk semeja dan merundingkan semua masalah kita serta mencapai muafakat dalam semua perkara yang hendak kita lakukan.
Ketiga, dalam perundingan ini, kita mestilah berhakimkan kepada kitab Allah, iaitu Quran.
Namun demikian, kita harus sedar bahawa musuh kita juga beroperasi melalui kita juga dengan mewujudkan satu kumpulan rakan mereka di kalangan kita sendiri. Kumpulan musuh ini hendaklah dikritik dan didedahkan.
Kita yakin bangsa kita tidak rela dijajah kembali. Oleh yang demikian, kita mesti mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelak kemungkinan itu. "Jangan terantuk baru tengadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur". Sama-samalah kita fikirkan. Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan