Khamis, Julai 07, 2011

Ada sesuatu yang tak kena : Mengapa Ambiga tidak serah memorandum!

Macam ada sesuatu yang tak kena. Apakah motif sebenar “ DEMO BERSIH 2.0” ? Bukankah tujuan mereka ‘berdemo’ kerana mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong? Kita patut mempersoalkan kegagalan S. Ambiga menyerahkan memorandum berhubung tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Yang di-Pertuan Agong ketika diberi peluang menghadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara semalam.

Ambiga dan dua lagi pihak dalam Bersih seharusnya menggunakan peluang tersebut untuk 'menyuarakan' tuntutan mereka menerusi penyerahan memorandum berkenaan. Kesediaan membenarkan mereka menghadap membuktikan sikap keterbukaan Tuanku Mizan yang patut dijunjung tinggi dan dihormati.

Justeru itu adakah kesempatan menghadap Seri Paduka dimanfaatkan Bersih untuk menyampaikan memorandum tersebut. Kenapa tidak? Kalau sudah disampaikan, apa perlunya lagi diadakan perhimpunan di stadium? Nampaknya sudah terang lagi bersuloh. Sebenarnya ada agenda lain disebalik perhimpunan BERSIH 2.0 ini?

Adakah maksud mereka hendak mengadakan perhimpunan di stadium sudah mendapat restu dan perkenan Tuanku Mizan atau adakah ia kenyataan Bersih sahaja? Seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka sebelum ini, sebarang perselisihan dan rasa tidak puas hati, kekurangan dan kelemahan yang ada sepatutnya diselesaikan menerusi saluran perundingan antara pihak yang terbabit.

Semua pihak sepatutnya mengambil pendekatan itu demi memelihara keamanan, kemerdekaan dan kedaulatan negara. Gunakan perundingan dan musyawarah dengan hati serta fikiran terbuka sebagai budaya hidup demi kedaulatan negara.

Marilah kita menghargai Rukun Negara dan Perlembagaan negara. Sama-samalah kita menegakkan dan menghidupkan demokrasi melalui sistem pilihan raya dan tidak melalui demonstrasi di jalan raya! Sebenarnya ketenteraman dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Jalan terbaik adalah tidak perlu diadakan perhimpunan BERSIH itu. Pergilah berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau pihak lain kalau tidak berpuas hati. Adakah BERSIH ada agenda lain apabila mahu meneruskan perhimpunan itu. Kalau hendak serah memorandum, sepatutnya ia sudah dilakukan semalam.

Sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, nasihat kepada penganjur BERSIH 2.0 supaya membatalkan sahaja niat untuk menganjurkan perhimpunan haram di stadium ataupun dimana-mana selepas ini. Jangan menderhaka dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: