Selasa, Julai 05, 2011

BERSIH 2.0 : " Wabak" yang perlu ditangani segera!



























Ulama telah memberikan pandangan. Begitu juga para cendekiawan, tokoh masyarakat dan pemimpin sudah menyatakan pemikiran mereka. Dan, bukan sedikit badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang menyatakan kebimbangan masing-masing.

Rekod dicatat apabila lebih 3,000 laporan polis dibuat. Suara membantah demonstrasi haram Bersih 9 Julai ini amat nyata. Pihak berkuasa pun telah berulang kali memberi peringatan dan bertindak tegas melakukan langkah-langkah pencegahan.

Tapi rupa-rupanya tidak mudah untuk menyekat kemahuan mereka yang bebal, degil dan khayal dalam keseronokan sendiri untuk merebut kuasa. Mereka tidak ambil peduli pun suara hati nurani majoriti rakyat.

Malah racun terus ditabur, kebanyakannya kepada orang Melayu dengan pelbagai tipu muslihat. Agenda yang pada asasnya baik sudah diselimuti dengan kepentingan individu dan politik kekuasaan.

Dalam perkembangan yang jarang-jarang berlaku, raja Melayu pun ikut prihatin. Memang jelas tergambar kebimbangan rakyat jelata sudah bertukar menjadi kemarahan terhadap perlakuan biadab penganjur Bersih yang memanipulasi demokrasi dan Perlembagaan.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pun bertitah bahawa perhimpunan haram itu perlu ditentang habis-habisan oleh rakyat kerana ia mendatangkan keburukan kepada negara.

“Kita semua harus tentang habis-habisan (himpunan Bersih)” adalah mesej jelas daripada raja Melayu kerana rancangan demonstrasi jalanan itu yang sudah menampakkan wajahnya bakal mendatangkan keburukan kepada negara.

Mesej apa lagi yang mereka mahukan. Tetapi kumpulan pengacau dan penabur racun ini sentiasa mempunyai dalih. Apa jua dalih akan digunakan walaupun mereka kehabisan hujah untuk merasionalkan himpunan haram itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi modal perhimpunan mereka berulangkali menjawab segala tuntutan Bersih selain sentiasa sedia membuka pintu rundingan. Tetapi itulah sikap mereka, selagi matlamat tidak tercapai apa jua tindakan diguna termasuk mencabar undang-undang dan memperlekeh pihak berkuasa.

Dan apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin membuat titah khas berkaitan himpunan haram itu, mereka masih boleh berdalih dengan memohon menghadap Seri Paduka pula. Antara orang yang dilaporkan paling awal mencadangkan pertemuan itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semua orang tahu adalah orang di belakang Bersih.

Kemudian ‘cadangan’ Anwar itu disambut oleh Pas, parti politik yang menjadi penyumbang terbesar kehadiran pada demonstrasi itu. Penganjur utama Bersih, S. Ambiga pula dengan nada keterlaluan berani memberikan kata dua bahawa rancangan perhimpunan itu akan bergantung selepas pertemuan dengan Seri Paduka.

Begitulah walaupun Seri Paduka belum memberikan sebarang perkenan, mereka sudah memberikan jawapan.

Walaupun seruan Sultan Pahang dan titah Tuanku Mizan sudah terang lagi bersuluh tetapi ada saja celah yang mahu dimanfaatkan oleh kumpulan ini. Begitu pula ada saja celah yang mereka gunakan apabila kalah pada pilihan raya.

Mereka seperti sengaja mengetepikan titah Seri Paduka yang menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani masalah itu dengan sebaik mungkin. Mengapa kumpulan ini tidak mahu menemui SPR yang sentiasa membuka pintu untuk mereka?

Mereka seperti sengaja meremehkan titah Seri Paduka bahawa ‘Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.’

Nampaknya bukan sekadar SPR dan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat sahaja yang mahu dicabar dan ditentang oleh kumpulan pengacau ini. Ulama, cendekiawan dan yang paling utama majoriti rakyat kini dijadikan musuh oleh Bersih.

Sejak kempen haram Bersih digerakkan oleh parti pembangkang dan NGO pro pembangkang, yang ternampak ialah ia hanya menebalkan lagi permusuhan sesama rakyat Malaysia terutama sesama Melayu. Perpecahan akibat sentimen politik yang tak kunjung padam walaupun pilihan raya umum sudah lebih tiga tahun berlalu, terus ditiup dengan penuh strategik oleh kumpulan ini.

Racun kebencian kepada kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan sengaja disebar dan dibesar-besarkan untuk membentuk momentum meraih simpati rakyat sebelum pilihan raya umum yang dikatakan berlangsung tidak lama lagi.

Mujurlah SPR dan polis khususnya telah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya. Kini, setelah hanya beberapa hari perhimpunan haram itu akan berlangsung, rakyat termasuk ahli dan simpatisan Pas semakin sedar. Pada mereka, mengapalah mahu mencipta masalah yang akan membuat negara berada terkebelakang.

Wibawa Ambiga mahupun Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mulai runtuh. Bersih semakin dijauhi kerana ramai yang mulai mengesan Bersih hanya racun yang memporak-perandakan rakyat dan negara ini.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: