Isnin, Mei 28, 2012

Krisis air Selangor : Realiti atau retorik MB Khalid?



Penduduk di Lembah Klang terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung kepada 33 loji rawatan yang beroperasi untuk membekalkan air di ketiga-tiga kawasan ini. Dalam konteks ini, peranan yang perlu dimainkan oleh pengendali loji rawatan air seperti Puncak Niaga, Splash dan Konsortium Abass menjadi semakin mencabar bagi memastikan pengeluaran loji-loji mereka mencukupi untuk membekalkan air kepada 7 juta pengguna. Kebanyakan loji rawatan air utama yang beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya.

Misalnya loji rawatan air Sungai Langat yang reka bentuk kapasitinya adalah 386 juta liter sehari (JLH) beroperasi 447.42 JLH iaitu melebihi 15.9 peratus (%) daripada keupayaan sebenarnya. Demikian juga dengan loji rawatan air Sungai Semenyih yang kapasiti reka bentuknya 546 JLH telah beroperasi pada tahap 665.92 JLH iaitu melebihi 22%.

Semua ini berikutan pertambahan permintaan air yang meningkat pada kadar 3.5% setiap tahun. Jika keadaan ini berterusan tanpa penaiktarafan atau penyelenggaraan yang rapi, dikhuatiri loji-loji ini akan mengalami tekanan akibat beban pengeluaran dan boleh menyebabkan ia rosak pada peringkat-peringkat tertentu dan seterusnya mengakibatkan bekalan air terputus.

Pertambahan jumlah penduduk, pembangunan kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian baru dan sebagainya banyak menyumbang ke arah itu. Situasi ini jelas menunjukkan jumlah bekalan air bersih yang semakin banyak diperlukan untuk menampung keperluan yang meningkat ini.

Dalam hal ini, syarikat yang bertanggungjawab untuk mengagihkan bekalan air kepada pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu Syabas sudah pasti berhadapan tekanan yang bukan sedikit untuk mencapai tahap perkhidmatannya yang terbaik kepada pengguna disebabkan kekangan tersebut.

Hari ini, jumlah permintaan air terawat adalah sebanyak 4,219 JLH atau hampir sama dengan jumlah yang mampu dibekalkan, iaitu 4,326 JLH. Ini menjadikan kapasiti rezab hanya pada kadar 2.47%. Dengan pembangunan yang telah dijangkakan, kemungkinan berlaku masalah kekurangan bekalan air pada 2014 tidak dapat dinafikan.


Senario ini membawa kepada keadaan di mana sesetengah kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami kekurangan bekalan air bersih terutamanya apabila berlaku sebarang gangguan kepada bekalan ataupun semasa penggunaan puncak.

Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan water stress terutama yang terletak di lokasi berpenduduk padat. Walaupun bekalan air disalurkan ke kawasan ini dengan kapasiti sedia ada sepenuhnya, tetapi keseluruhannya digunakan bagi memenuhi permintaan harian.

Walaupun kebanyakan loji rawatan beroperasi melepasi kapasiti reka bentuknya, tetapi masih ada loji rawatan yang beroperasi di bawah kapasiti sebenar. Sebagai contoh, loji rawatan air Sungai Rasa yang berkapasiti 250 JLH hanya beroperasi ditahap pengeluaran 138.71 JLH sahaja. Walaupun pengeluaran loji ini boleh dipertingkatkan namun loji rawatan ini tidak dapat membantu membekalkan air ke kawasan water stress disebabkan tiada jajaran paip untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan tersebut.

Ironinya, loji rawatan air Sungai Rasa ini terletak di utara Selangor sementelahan kebanyakan kawasan water stress terletak di kawasan Lembah Klang dan selatan Selangor. Justeru sistem rangkaian agihan paip perlu dinaik taraf. Pun begitu kelulusan pihak berkuasa perlu ada untuk kerja kerja ini dilakukan oleh pembekal air, terutama sekali apabila Perbelanjaan Modal (CAPEX) masih dibekukan sehingga kini.

Kesan kepada pembangunan

Kita sedia maklum bahawa negara sedang menjalani proses transformasi di mana usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan Malaysia mengalami arus pembangunan mapan dan terancang. Namun usaha-usaha ke arah pembangunan secara fizikal, termasuk penarikan pelaburan asing hingga ke arah memastikan tahap kehidupan yang berkualiti tidak akan terkesan jika kemudahan sepenting air tidak boleh disediakan.

Berdasarkan tiga faktor utama yang dinyatakan, kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa krisis bekalan air boleh berlaku malah kesannya telah dirasai di Lembah Klang. Awal tahun ini satu gelombang krisis air peringkat pertama melibatkan empat daerah telah berlaku melibatkan Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan sebahagian Petaling sehingga beberapa hari akibat penyusutan kolam-kolam perkhidmatan dalam tempuh yang singkat akibat kadar penggunaan tinggi.


Dalam situasi tersebut walaupun loji-loji rawatan telah meningkatkan pengeluaran ke tahap maksimum, namun peningkatan paras kolam amat perlahan. Situasi ini telah memberikan kesan secara langsung terhadap projek projek pembangunan baru. Akibat senario tersebut, dalam tempoh 1 Januari 2012 hingga 12 Mac 2012, sejumlah 75 projek pembangunan tidak dapat diluluskan oleh Syabas berikutan bekalan air yang tidak cukup untuk menampung keperluan permintaan sedia ada.

Pada masa ini kawasan-kawasan seperti di Kuala Lumpur, Petaling dan Klang sering menghadapi masalah kekurangan air atau tekanan rendah kerana kawasan-kawasan ini dibanjiri industri dan mempunyai kepadatan penduduk yang ramai.

Bayangkan sekiranya situasi ini berterusan sudah pasti segala perancangan pembangunan akan terencat dan memberi implikasi bukan sedikit kepada sosioekonomi di negara ini. Apatah lagi Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan hab ekonomi negara ini. Apa yang dikhuatiri pengguna yang terpaksa berdepan dengan masalah ini sekiranya tiada tindakan proaktif diambil.

Bila situasi ini terjadi, apakah negara ini masih gah sebagai destinasi pelaburan terulung? Apakah kualiti hidup yang diuar-uarkan masih relevan dan realiti? Apakah Malaysia yang mempunyai pelbagai pencapaian di pentas dunia masih tergapai-gapai mengendalikan isu keperluan asas?

Selepas gelombang pertama krisis dirasai pada awal tahun ini, gelombang kedua krisis bekalan air di kawasan-kawasan yang tersenarai telahpun berlaku dan ini boleh lebih memudaratkan jika projek projek pembangunan di kawasan-kawasan tersebut diteruskan. Maka tindakan tidak meluluskan pembangunan di kawasan-kawasan tersebut merupakan satu tindakan perlu untuk memastikan bekalan air yang berterusan.

Langkah penyelesaian

Mengatasi situasi seperti ini memerlukan komitmen semua pihak dan masing-masing perlu memainkan peranan dengan berkesan. Ia berbalik kepada pengurusan bekalan air secara pendekatan holistik. Sumber air perlu dikawal daripada pencemaran selain memastikan ia mencukupi tanpa bergantung semata-mata kepada faktor cuaca.


Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak di bahu pihak kerajaan mahupun agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli, Lembaga Urus Air Selangor, pengendali loji dan Syabas semata-mata. Lebih daripada itu ialah sikap orang ramai yang perlu menjaga sungai daripada pencemaran. Ini penting untuk menjamin kelangsungannya.

Selain itu peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat perlu dilakukan dengan menaik taraf segala infrastruktur pembekalan air termasuk loji loji rawatan dan sistem agihan iaitu jajaran paip dan connectivity.

Penambahan loji rawatan adalah antara usaha berkesan yang perlu disegerakan termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Langat Dua yang masih tertangguh pembinaannya. Semua usaha usaha ini melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan kelulusan pihak berkuasa sama ada Kerajaan Pusat mahupun negeri.

Dalam konteks ini, penyelesaian segera isu isu yang masih tertangguh termasuk penstrukturan semula industri air di Selangor wajar diberi perhatian serius. Sehingga persefahaman dan persetujuan di antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kerajaan pusat dicapai dan dimuktamadkan, situasi pembekalan air di negeri Selangor, Kuala lumpur dan Putrajaya dikhuatiri akan terus terbelenggu.

Justeru, sempena dengan hari air sedunia yang disambut diseluruh dunia baru-baru ini, kita berharap satu titik pertemuan yang positif dapat capai antara kedua-dua pihak bagi memastikan masalah yang membelenggu industri bekalan air ini dapat dirungkai.

Apa yang penting, teras paling utama terhadap usaha ini perlu difokuskan kepada hak manusia terhadap air bersih dan kesinambungan kehidupan berkualiti. Sebagaimana air dilihat sebagai penyambung kehidupan, begitulah juga usaha untuk mengekalkannya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: