Jumaat, Mei 18, 2012

Benarkah Melayu masuk DAP akan menguntungkan Pakatan Rakyat atau mengancam perpaduan!



Para pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak berasa selesa melihat penyertaan orang Melayu di dalam DAP. Sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang, Pas dan PKR tidak boleh menganggap perkembangan itu sebagai sesuatu yang menguntungkan sebaliknya boleh menimbulkan ancaman terhadap perpaduan orang Melayu.

Imej parti pelbagai kaum yang dicerminkan oleh DAP hanya pada permukaan sahaja sedangkan di dasar parti itu penuh dengan warna-warna perkauman. Penulis yakin bahawa orang Melayu tidak dapat terima perjuangan DAP sebagai parti pelbagai kaum kerana kita boleh berbeza pendapat dalam politik tetapi dalam soal bangsa dan agama kita tidak berkompromi!

Akibat dari perletakan jawatan Tunku Abdul Aziz sebagai Naib Presiden DAP dan keluar parti baru-baru ini ekoran perbezaan pendapat dengan pemimpin DAP berhubung perhimpunan haram Bersih 3.0, tempat beliau telah digantikan oleh Prof. Dr. Ariffin.

Ariffin yang menyertai DAP sejak tahun lalu ialah bekas Presiden Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Dilihat tindakan DAP melantik lebih ramai pemimpin Melayu bukan sekadar untuk memikat sokongan orang Melayu bahkan untuk menjadikan mereka 'kuda tunggangan' parti berkenaan.

Inilah yang berlaku sekarang didalam Pakatan Rakyat sekarang dimana PAS telah dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh DAP dan PKR! Malah kita tahu muslihat sebenar DAP adalah merancang untuk melantik pemimpin Melayu menjadi Menteri Besar di negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri yang hanya membenarkan orang Melayu menjadi Menteri Besar!

Tindakan Tunku Aziz meletakkan jawatan mencerminkan keberanian bekas Naib Pengerusi DAP itu dalam menyatakan pendapat dan kebenaran. Mungkin selama Tunku Aziz menjadi Naib Pengerusi DAP, beliau belajar banyak pengalaman pahit.

Pada peringkat awal perjuangan DAP mungkin dianggap demokratik tetapi apabila berada di dalam parti itu beliau sedar bahawa demokratik DAP hanya pada slogan sahaja!


Penulis melihat DAP bukan sahaja sebuah parti yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, malah terbukti sombong serta angkuh apabila bertindak menghukum bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hanya kerana perbezaan pendapat.

Sikap sombong serta angkuh itulah juga yang mencorak perwatakan Lim Guan Eng apabila Setiausaha Agung DAP itu melabelkan kritikan Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih 3.0 sebagai memalukan. Guan Eng bukan sahaja tidak langsung menghormati pemimpin kanan seperti Tunku Abdul Aziz yang banyak berjasa kepada DAP, tetapi pada masa yang sama, setiausaha politik beliau, Zairil Johari Khir sendiri sanggup menawarkan wang tunai RM50,000.

Kita boleh pertikaikan di mana nilai akauntabiliti, keterbukaan serta prinsip demokrasi yang sering dilaungkan DAP dan pemimpinnya, selepas segala pendedahan dibuat sendiri oleh Tunku Abdul Aziz. Kita tahu DAP bukan sebuah parti yang terbuka walaupun menggunakan istilah demokratik, itulah yang terjadi pada Tunku Abdul Aziz. DAP dan Guan Eng tidak boleh menerima sebarang pandangan yang berbeza kerana beliau seorang pemimpin yang sombong serta angkuh!

Rakyat kini boleh menilai, siapa DAP dan Guan Eng ini? Termasuk dalam soal tawaran wang tunai sebagaimana didedahkan sendiri Tunku Abdul Aziz!

Kelmarin, Tunku Abdul Aziz menyifatkan tindakan bekas partinya untuk cuba merasuah beliau sebanyak RM50,000 beserta jawatan fello kanan di Institut Penang bagi menutup mulut berhubung isu peletakan jawatannya sebagai biadab dan menghina.

Justeru itu, beliau secara terbuka mengakui tidak mempercayai Guan Eng yang didakwanya memiliki perwatakan serta sifat yang berbeza berbanding Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tindakan DAP cuba merasuah bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatan beliau menunjukkan parti tersebut sebenarnya tidak demokratik. Tindakan itu juga mencerminkan sikap pembangkang yang sanggup menggunakan apa juga kaedah untuk menghalalkan perbuatan mereka.

Bagi penulis sebenarnya tiada tempat untuk orang Melayu berjuang demi menegakkan kepentingan bangsa dan agama melalui platform DAP kerana parti tersebut tidak pernah ikhlas memberi peluang kepada mereka selain tiada amalan demokrasi. Lihat di sini.


Mari kita lihat adakah DAP Parti Pelbagai Kaum!

Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.


Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.


Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi.

Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.


Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.

Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.












Fikir-fikirkan lah...!!!

Suara Politik
Taminsari



Tiada ulasan: