Jumaat, Mei 25, 2012

Akibat tidak faham isu dan bodoh-bodoh sombong, Noh cabar MB Khalid minum air dari empangan?



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar supaya meminum air daripada empangan dan sungai di negeri ini sekiranya terus mengelirukan rakyat dengan mempolitikkan isu bekalan air di negeri ini.

Cabaran itu dikemukakannya susulan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid menerusi laman web selangorku.com , semalam yang mempelawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta para pemimpin BN melawat kawasan empangan di negeri ini.

Pelawaan itu dibuat kononnya untuk menunjukkan bahawa bekalan air di negeri ini adalah mencukupi.

Bagaimanapun, Noh menyifatkan kenyataan Abdul Khalid itu jelas membuktikan bahawa Menteri Besar sememangnya tidak memahami perkara pokok masalah bekalan air di Selangor selain cuba memutarbelitkan fakta yang sebenar mengenai perkara itu.


"Masalah bekalan air di Selangor sebenarnya melibatkan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri di negeri ini serta kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sememangnya tidak mencukupi, bukannya air mentah.

"Setakat ini, Selangor mempunyai tujuh buah empangan dan 34 buah loji rawatan air yang mengeluarkan air terawat untuk diagihkan kepada pengguna di kawasan Lembah Klang.

"Namun, kesemua loji rawatan air berkenaan hanya mampu menghasilkan kapasiti bekalan air sebanyak 4,371 juta liter sehari manakala keperluan air terawat di negeri secara purata adalah sebanyak 4,322 juta liter sehari," katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Tambah Noh, apa yang dibangkitkan oleh BN selama ini ialah mengenai masalah bekalan air bersih yang dihadapi di kawasan Lembah Klang memandangkan kadar rizab bekalan air berkenaan di loji-loji rawatan yang sedia ada hanya tinggal 2.4 peratus berikutan perbezaan yang kecil di antara pengeluaran dan penggunaan.

Tambah Noh, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sebenarnya tahu mengenai masalah tersebut tetapi sengaja menafikannya dengan memutarbelitkan fakta kononnya untuk memberi gambaran sumber air di empangan masih banyak di negeri ini.


"Kalau Menteri Besar (Abdul Khalid) cabar menteri (Peter) dan pemimpin BN Selangor lawat empangan, kita sedia pergi tapi dengan syarat Menteri Besar minum air dari empangan itu.

"Selepas itu, Menteri Besar pula kena ikut saya melawat loji rawatan air dan lihat masalah yang sebenarnya. Saya sendiri akan minum air terawat dari loji itu," jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyatkan berdasarkan perangkaan yang diperolehi pihaknya, sebanyak dua buah loji rawatan air berada dalam keadaan yang 'sarat' ekoran beroperasi melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya.

Katanya, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih didapati mengeluarkan melebihi 600 juta liter sehari air terawat berbanding dengan kapasiti pengeluarannya sebanyak 545 juta liter sehari.

Keadaan yang sama turut dihadapi Loji Rawatan Air Sungai Langat yang kini mengeluarkan air terawat hampir 500 juta liter sehari sedangkan kapasiti pengeluarannya hanya 386 juta liter sehari.

"Begitu juga dengan loji rawatan air di Sungai Batu dan Sungai Selangor Fasa 2 yang dilihat berisiko menghadapi situasi yang sama," ujarnya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: