Isnin, April 26, 2010

Analisis P094 : Kemenangan di Hulu Selangor isyarat agenda Najib diterima.


















AHLI Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan turun padang untuk bertemu para penduduk kampung, kurang 24 jam selepas diumumkan pemenang pilihan raya kecil Parlimen itu, di Kampung Sungai Buaya, Hulu Selangor, 26 April.


Barisan Nasional (BN) semalam mencatat kemenangan diharap-harapkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menghantar isyarat jelas kepada dunia bahawa agenda baru negara diterima dan disokong padu rakyat.

Lebih bermakna, BN juga berjaya membuktikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, baru-baru ini bukan kerana faktor nasib berikutan kemenangan selesa di Hulu Selangor.

Kejayaan calonnya, P Kamalanathan menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,725 undi ternyata melegakan Najib yang juga Pengerusi BN.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid meraih 23,272 undi. Seramai 48,935 pengundi atau 75.87 peratus daripada 63,701 pengundi berdaftar keluar melaksanakan tanggungjawab.

Mungkin timbul persoalan di benak fikiran Najib dan barisan pemimpin parti yang lain, adakah kemenangan kali kedua berturut-turut itu menggambarkan rakyat sudah menerima kembali BN atau sebaliknya.

Walau apa pun persoalannya, kejayaan BN di Hulu Selangor menggambarkan rakyat tidak menolak sepenuhnya parti itu selepas tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila beberapa negeri terlepas ke tangan pembangkang.

Ternyata, pendekatan Najib yang lebih kerap turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diilhamkan beliau banyak membantu `menyejukkan' hati rakyat.

Selain itu, faktor calon BN, P Kamalanathan yang `sempoi' ternyata selaras dengan dasar kepemimpinan negara sekarang yang mahu melahirkan lebih ramai pemimpin mesra rakyat.

Kelebihan peribadi yang dimiliki Kamalanathan turut membuatkan rakyat pelbagai kaum di Hulu Selangor membuat keputusan memilihnya. Sikapnya yang boleh bermesra dengan semua penduduk tidak kira tua, muda dan kanak-kanak seharusnya dijadikan contoh pemimpin BN lain.

"Apabila mahu membersihkan sungai, ia harus bermula dari hulu. Ini adalah fakta berdasarkan geografi dan perkara sama perlu kita lakukan jika ingin 'membersihkan' Selangor, iaitu bermula di Hulu Selangor," kata Kamalanathan ketika berkempen.

Pastinya, BN berharap `mata air' jernih yang muncul di hulu itu akan terus mengalir ke seluruh Selangor, sekali gus parti itu dapat merampas kembali negeri itu dari tangan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Kemenangan BN juga turut dipermudahkan oleh kegagalan pembangkang menampilkan calon berkualiti. Sejak awal lagi ramai kalangan pemimpin pembangkang secara diam mengakui kesilapan memilih Zaid yang terpalit dengan isu peribadi apabila dikaitkan dengan arak dan judi lumba kuda.

Kehadiran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kononnya ingin `membasuh' pemikiran orang Hulu Selangor supaya mengundi Zaid juga gagal apabila tidak sampai 200 orang yang mendengar ceramahnya, manakala kempen Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti biasa hanya dibanjiri oleh orang luar, bukannya rakyat tempatan.

Sikap dan penampilan Zaid yang agak pelat dalam ucapannya yang diselangi dengan bahasa Inggeris nyata tidak disenangi pengundi Melayu.

Bagaimanapun, bagi BN ini mungkin satu permulaan. Penduduk Hulu Selangor akan menilai sama ada semua janji yang ditabur BN mampu ditunaikan. Jika gagal, buruk padahnya dan hukumannya ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Seperti biasa, apabila ibarat rumah siap tetapi pahat masih berbunyi. Bila kalah, mula menuding jari menyalahkan pihak lain. Bila tewas, baru nampak SPR tak adil, pengundi hantu dan sebagainya. Yang peliknya jika mereka menang, semua jadi OK.

Alasan mereka yang tewas:

Meskipun membelanjakan RM65,000 bagi setiap pengundi, di samping kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya menjamin pemilihan yang bersih dan adil, ugutan polis serta usaha menghalang pengundi menjalankan tanggungjawab mereka, BN hanya mampu menang dengan majoriti yang tidak memberangsangkan. - Anwar Ibrahim.

"Kami gagal menembusi kubu-kubu kuat, khususnya di penempatan Felda tetapi keputusan pilihan raya itu satu tamparan kepada BN yang begitu angkuh bahawa mereka boleh menang dengan majoriti lebih 3,000 undi,” - Syed Husin Ali.

Kita tidak anggap ia sebagai kekalahan tetapi tak menang saja,” - Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

"Kita tewas kerana membeli undi itu halal dalam negara ini". - Zaid Ibrahim.

Bolehkah kita terima alasan-alasan yang di berikan ini? Tepuk dada, tanya selera.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Tok Pambu berkata...

Sungguh sempit daya pemikiran anda. Adakah dengan kemenangan majoriti 1,725 undi ini sudah boleh ditafsirkan 'agenda Najib diterima'?

Sedangkan kaum cina menolak secara total dan masih tidak memberi sokongan kepada BN.

Sokongan kaum india cuma disebabkan calun nya yang keturunan india, jika calun dari UMNO pasti kaum india juga akan tolak BN di Hulu Selangor.

Anda telah membuat analisis yang sangat bodoh dan dangkal.