Isnin, April 26, 2010

Keadilan bukan hak Anwar sahaja!



















Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sentiasa mengingatkan masyarakat bahawa keadilan itu adalah sesuatu yang wajib ditegakkan dan kerana itulah parti yang dipimpinnya dinamakan Parti Keadilan Rakyat.

Dalam memperkatakan prinsip keadilan, Anwar terus meletakkan bahawa jika sesuatu perkara itu berpihak kepadanya, maka itulah keadilan yang sebenarnya. Tetapi jika setiap pertikaian atau perkara yang berlaku tidak memihak kepada PKR atau dirinya, maka keputusan tersebut dilihat sebagai tidak adil atau zalim.

Terbaru ialah apabila membuat tuduhan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah telah tidak berlaku adil kepadanya apabila hakim membuat keputusan menolak permohonan untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding qazaf terhadap bekas pembantunya pada 14 April lalu.

Anwar kemudian membelasah setiap orang yang terlibat membuat bantahan awal (responden) untuk mengetepikan permohonan tersebut, iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Hulu Selangor.

Anwar terus membuat tuduhan bahawa keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana Mahkamah Syariah sudah pun berjanji akan melakukannya secara adil. Dalam menentukan keputusan tersebut, Anwar telah membuat tuduhan bahawa responden telah campur tangan mempengaruhi penolakan tersebut.

Kuda Trojan Anwar, Dr. Badrol Amin turut memberikan penjelasan bahawa campur tangan itu merupakan satu perbuatan keji, kerana berusaha menyembunyikan kebenaran dan menghukum Menteri Agama sebagai munafik dan perlu bertaubat nasuha. Astaqfirullahalazim… terlalu mudahnya memunafikkan sesama Islam.

Dalam kes penolakan prosiding qazaf, Dr. Badrol Amin menjaja fatwa yang dikeluarkan oleh ulamak terkenal sebagai perakuan bahawa Anwar tidak meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Menurut beliau, Dr. Yusuf Qardhawi tidak mengeluarkan fatwanya sendiri, tetapi menyatakan berdasarkan hukum yang telah ditetapkan dalam al-Qur'an, adalah tidak benar Anwar telah melakukannya.

Berbalik kepada kes yang difailkan oleh Anwar di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, sebenarnya isu utama yang dipohon oleh Anwar bukanlah isu qazaf. Isunya adalah sama ada Mahkamah Syariah mempunyai kuasa memaksa pihak pendakwa syarie mendakwa Saiful. Permohonan yang Anwar buat dikatakan berdasarkan hukum syarak tetapi di dalam penghujahan, peguam Anwar tidak memetik sepotong pun ayat al-Quran, hadis atau pandangan ulama untuk dihujahkan.

Berbanding dengan peguam responden yang menjelaskan nas-nas yang terperinci termasuk memetik kitab-kitab yang muktabar seperti majma' al anhar fi sharie multaqa al abhar, nazariyatul da'wa baina al syariah al islamiah dan Nizam al qadha fi al syariah al islamiyah.

Datuk Seri Jamil Khir dan peguamnya tidak pernah mengatakan mahkamah tidak ada kuasa mendengar kes qazaf. Itu hanya putarbelit Anwar sendiri. Apa yang dihujahkan ialah berdasarkan undang-undang dan hukum syarak mahkamah tidak mempunyai kuasa memaksa pendakwa mendakwa dalam apa jua kes pun. Mahkamah hanya mendengar kes yang dibawa kepadanya dan bukan mencari kes baru.

Seksyen 58 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam menyatakan Ketua Pendakwa Syarie mempunyai budibicara mutlak untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi suatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.

Dari sudut hukum syarak pula adalah amat jelas pembahagian kuasa wilayah al hisbah wa mazalim (Pendakwa Syarie) dan juga wilayah al qadha' (mahkamah). Kedua-duanya mempunyai peranan masing-masing dan tidak boleh mencampuri urusan satu sama lain. Jika permohonan Anwar itu dibenarkan, ia akan membawa kesan apabila berlaku pergaduhan antara suami isteri, maka salah satu pihak akan datang ke mahkamah memohon mahkamah memaksa pendakwa syarie mendakwa pihak yang satu lagi. Maka akan berbondong-bondonglah kes jenayah difailkan walaupun siasatan belum lengkap dijalankan yang akhirnya akan menyebabkan kes itu dibuang.

Penghakiman yang diberikan oleh Hakim Mohd Shukor Sabudin itu adalah jelas berdasarkan nas dan hukum syarak, di samping mengelak mahkamah menjadi medan diperdayakan oleh pihak-pihak berkepentingan seperti Anwar.

Penghakiman itu juga memperteguhkan sikap tidak berpihak mahkamah kerana sekiranya mahkamah yang memerintahkan pendakwa mendakwa seolah-olah orang yang didakwa itu kelak telahpun dibicarakan dan didapati bersalah. Ia amat bersalahan dengan konsep 'neutrality' mahkamah dan juga 'ilm al qadhi'.

Malahan tidak ada sebarang buktipun yang dikemukakan di mahkamah bahawa Datuk Seri Jamil Khir dan Datuk Che Mat menghalang Ketua Pendakwa Syarie menjalankan tugasnya. Anwar dan Dr. Badrol Amin hanya kepoh di luar tetapi kecut di mahkamah. Siapakah yang munafik di sini?

Demikian juga dengan laporan akhbar Suara Keadilan yang cuba menyembunyikan beberapa fakta dan tidak menjawab banyak persoalan berhubung fatwa ulamak terkenal Dr. Yusuf Qardhawi. Adakah fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Yusuf Qardhawi itu adalah fatwa umum atau fatwa khusus berhubung dengan tuduhan terhadap Anwar?

Kita juga boleh membuat pertanyaan, apakah Dr. Yusuf Qardhawi benar-benar memperoleh maklumat dari pihak yang terbabit sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut jika kenyataan itu berbentuk khusus? Jawapan kepada soalan itu adalah satu asas yang perlu, kerana jika fakta itu dikeluarkan secara khusus, bermakna Dr. Yusuf Qardhawi juga tidak bersikap adil, kerana tidak mendapat gambaran atau maklumat dari kedua belah pihak yang terbabit.

Dengan hanya mendapat maklumat sebelah pihak, sudah tentu pihak yang memberikan maklumat itu akan tetap mempertahankan faktanya. Tentunya tidak akan menceritakan keburukan diri sendiri kerana itulah sikap Anwar yang ramai rakyat Malaysia mengetahuinya.

Kita harus melihat bahawa tindakan Anwar dalam kes liwat ini juga amat berbelit-belit sehingga ada pihak membuat kesimpulan bahawa Anwar sebenarnya berusaha untuk 'shoot the messanger'. Anwar berusaha untuk mendera emosi dan kekuatan mental Mohd Saiful dengan pelbagai cara, termasuk membuat tafsiran salah terhadap laporan seorang doktor mengenai pemeriksaan berdasarkan hasil lisan.

Apabila keputusan tidak menyebelahi dirinya, maka seluruh sistem itu dianggap tidak adil. Anwar cuba menggambarkan seolah-olah kerana adanya seekor pepijat, maka seluruh kelambu itu mesti dibakar kalaupun tidak sebuah rumah. Tetapi, apa berlaku sekarang adalah bukan membunuh pepijat, sebaliknya Anwar membakar rumah dan seluruh isi rumah yang tidak menyokong perjuangannya untuk menjadi Perdana Menteri atas alasan dendam.

Disebabkan masalah membawa empat orang saksi ke mahkamah, maka Anwar memperoleh ruang membelasah Mohd Saiful, maka dibuat permohonan melalui Mahkamah Syariah. Dalam kesnya yang pertama, beliau tidak berusaha menggunakan Mahkamah Syariah. Ini mungkin kerana beliau mempunyai ramai peguam yang cekap dan sanggup mempertahankan anak guamnya, tetapi kali ini, pusingan awal Anwar menghadapi masalah apabila seorang peguam yang pernah mempertahankannya menarik diri. Sulaiman Abdullah tidak sanggup meneruskan pembelaan terhadap Anwar, dan seorang lagi rakan karibnya, Zulkifli Noordin mengambil langkah tidak lagi mahu terlibat.

Itulah sosok peribadi dan kemusnahan yang cuba digilap kembali oleh Anwar dengan terus memaksa kuda-kuda trojannya berlari. Kemahiran mengatur strategi propaganda terus diperhebatkan seolah-olah gambaran awal bahawa beliau teraniaya dan terperangkap dalam konspirasi menamatkan kerjaya politiknya hampir berjaya. Seperti juga sebuah kebenaran, walaupun pahit ia akan tetap menjadi manis apabila tiba masanya.

Anwar sedang berusaha menaburkan manisnya sebuah realiti palsu, kerana beliau sedar akhirnya masyarakat semakin tahu siapa dia sebenarnya.

Masyarakat sudah boleh menilai setiap ucapan dan kata-katanya, kerana seseorang itu hanya boleh berbohong pada sebilang masa dan tidak dapat berbohong selama-lamanya. Mencari alasan adalah lebih mudah, tetapi menapak menuju realiti sememangnya penuh berduri dan ada ketikanya membuat kita terluka.

Dalam perjalanan itu, jika kita terluka, ia adalah satu pengalaman yang amat berguna, kerana destinasi sebenarnya yang dicari oleh Mohd Saiful adalah kebenaran kepada sebuah perbuatan, membetulkan kesilapan dan bukannya menegakkan sebuah pembohongan. Ia sebuah pengembaraan yang diharapkan akan adanya sinar cahaya di hujung terowong.- UM.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

assaad berkata...

Salam Belantan, salam 1 Malaysia.

Memang begitulah gelagat DSAI Dari dulu sampai sekarang hanya memutarkan isu-isu sahaja. Yang berpehak kepadanya sahaja di anggap betul dan adil.

Allah telah menunjukan segala yang di lakukannya telah berpatah balik mengenai dirinya dan partinya. Panglima-panglimanya telah keluar meninggalkannya, hanya yang buta hati dan menutup kebenarannya sahaja yang masih bersamanya.

Harap Blogger-blogger yang mahu kebenaran dan mahu menyelamatkan Malaysia tingkatkan lagi usaha untuk membantu rakyat memahami apa yang tersurat dan apa yang tersirat segala tindak-tanduk DSAI dan jenteranya atau kuncu-kuncunya itu.

DSAI banyak menggunakan Reverse Saikologi Tektik. Jadi rakyat masih kurang faham segala tindak tanduk beliau. Banyak DSAI tekankan adalah konspirasi untuk menjatuhkannya. Konspirasi inilah yang selalu di ulang-ulang dan di tayang-tayang. Rakyat masih tidak tahu menilainya. Ini masalah sebenarnya.

Kalau semua (blogger-bloger, jentera-jentera BN (UMNO) dan mereka yang mahu Malaysia Selamat)dapatlah bersatu dan dapat mengembeling tenaga untuk menerangkan kepada Rakyat, apa yang tersurat dan apa yang tersirat dari segala tindak-tanduk DSAI dan jentera-jenteranya.Insya-Allah kapal PKR akan tenggelam dengan sendirinya.

"Betulkanlah Yang Biasa
dan BIasakanlah Yang Betul".

Saat Jais
www.treat-cure.com
http://saatjais.wordpress.com
http://saatjais.formor.com

Taminsari berkata...

Salam Tuan Assaad.

Terima kasih diatas ulasan dan pandangan bernas yang telah di berikan. InsyaAllah sudah nampak akan kerasian sesama blogger semasa di Hulu Selangor baru-baru ini.

Salam perjuangan