Isnin, April 26, 2010

Kemenangan di Hulu Selangor bukti peralihan sokongan rakyat kepada BN.


















Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan calon Barisan Nasional, P. Kamalanatahan selepas diumumkan sebagai pemenang pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di pusat penjumlahan undi, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di Hulu Selangor, 25 April.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN.

Pengerusi BN itu berkata, kemenangan itu membawa erti yang amat besar kepada BN kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

"Kemenangan calon BN, Kamalanathan membawa erti yang amat besar kerana kalau kita lihat keputusan pada tahun 2008 dan keputusan pada hari ini sudah berlaku peralihan sokongan pada BN yang menghampiri 2,000 undi.

"Ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya kecil kawasan itu di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baharu di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan berikrar akan segera turun padang untuk bertemu dengan rakyat di kawasannya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau berkata, kemenangan yang diperolehinya ini adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.

"Saya sedar bahawa rakyat di Hulu Selangor telah beri kepercayaan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang besar ini. "Pada masa yang sama juga ia akan mencerminkan keprihatinan BN untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan di sini malam ini.

Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Beliau memperoleh 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Selain itu kata Kamalanathan beliau akan turun menemui rakyat di Hulu Selangor mulai esok untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaannya kepada mereka. Kamalanathan juga memberitahu, beliau akan segera berpindah ke kawasan Hulu Selangor bagi memudahkannya melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Mengulas mengenai kemenangannya, beliau berkata ia bukan kejayaannya seorang tetapi milik semua jentera parti khususnya Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri MuhyiddinYassin.

Ditanya apakah strategi yang akan dilakukan untuk menawan kembali hati pengundi Cina apabila BN kalah di majoriti peti undi kaum itu, beliau berkata: "Saya akan kerja keras, bukan sahaja untuk memenangi hati kaum Cina semula tapi juga keseluruhan rakyat di Hulu Selangor tanpa mengira kaum."

BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan Nasional (BN).

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Ali Abdullah berkata...

Salam belantan,

Rakyat di hulu selangor dah sedar PKR cuma kaya dengan teori konspirasi salahguna wang, kuasa dan kepercayaan rakyat oleh kerajaan.

Selain daripada bab itu, tarak!!! habuk pun tak ada.. nak bagi rakyat makan suap dengan cerita lama yang 100% bersumberkan andaian/ agak-agak dan fitnah..Rakyat dah bosan dengan semua itu.