Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Ogos 11, 2014
Anwar terkedu - Sultan Perkenan Khalid Kekal MB Selangor!
11/8/14 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.
Khalid dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, beliau kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Saya telah menghadap DYMM Tuanku pagi tadi untuk sembah maklum kedudukan MB selepas pemecatan saya sebagai anggota PKR.
“Lanjutan pemakluman itu, DYMM Tuanku telah bertanya sama ada saya masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.
“Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya, saya masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.
“DYMM Tuanku berpuas hati dgn penjelasan yg telah disembahkan dan telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan MB Selangor.
“Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di laman mikro Twitter, lapor Astro Awani.
Suara Politik
Belantan
Perjalanan seorang MB lawan munafik -- Siapakah munafik yang dimaksudkan itu?
Suasana pada malam Khamis lalu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor agak berbeza. Beberapa anggota Unit Amal kelihatan hilir mudik di kawasan rumah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Seksyen 7 Shah Alam itu. Lantunan takbir yang biasa dilihat dalam setiap acara Pas begitu mendominasi. Tiada langsung sorakan reformasi.
Pemimpin PKR yang hadir pada majlis Solat Hajat Perdana - Mempertahankan Kerajaan Selangor itu boleh dibilang dengan jari. Kalau hadir pun yang ada kaitan dengan jawatan dalam kerajaan negeri. Acara itu lebih kepada majlis anjuran Pas untuk menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor. Yang berucap selain Abdul Khalid ialah tokoh-tokoh Pas negeri.
Sungguh ironi, Abdul Khalid terpaksa melawan kemunafikan partinya sendiri yang sebelum ini begitu memuja-muja malah mengagung-agungkan beliau sebagai menteri besar contoh. Sungguh ironi, Pas pula yang terpaksa membela Abdul Khalid yang kini tidak lagi mempunyai parti untuk bernaung setelah dipecat berkuat kuasa serta-merta semalam.
Mungkin sudah begitu resam perjuangan Pas. Parti ini bermatian-matian membela Penasihat PKR, Anwar Ibrahim daripada apa yang mereka sebut sebagai ketidakadilan dan kezaliman. Sekarang, Pas membela pula Abdul Khalid yang mahu disingkirkan oleh Anwar secara tidak adil dan zalim.
Benar kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menasihatkan Abdul Khalid tentang kumpulan hipokrit atau munafik politik yang kini sedang melingkari perjalanan beliau sebagai seorang menteri besar. Itulah juga yang ditekankan oleh Abdul Khalid dalam ucapannya pada malam itu.
Bijak politik Abdul Khalid. Selain dilihat dekat dengan Sultan Selangor, beliau sentiasa berdampingan dengan pemimpin kanan Pas terutama golongan ulama.
Semasa Ramadan lalu, Abdul Khalid turut mengadakan pertemuan penuh mesej dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau pula sentiasa mempotretkan dirinya sebagai menteri besar prorakyat bukan proparti.
Intipati pertemuan
Kali ini, ADUN Pelabuhan Klang ini mendedahkan intipati pertemuannya dengan Nik Abdul Aziz pada hari ketiga Aidilfitri itu, dalam satu majlis bernuansa agama di kediaman rasmi beliau. Abdul Khalid mahu khalayak mengetahui bahawa beliau sedang diperangi oleh kumpulan munafik.
"Saya ingat nak membawa senjata untuk habiskan munafik," kata Abdul Khalid sambil menambah, tindakan itu tidak diteruskan selepas mendapat nasihat daripada Nik Abdul Aziz agar bersabar dan tidak memalukan mereka yang sedang memeranginya sekarang.
Dalam menghadapi serangan PKR dan sebahagian pemimpin Pas dan DAP, Abdul Khalid menggunakan strategi korporat. Beliau tidak menyerang atau mengugut balik, walaupun sebagai seorang menteri besar dan pimpinan kanan PKR, Abdul Khalid tentu tahu rahsia, aib dan noda parti itu.
Tetapi beliau tidak dedahkan segala keburukan mahupun aib parti dan pemimpin. Beliau patuhi nasihat Nik Aziz, mentor Pas yang masih berpengaruh itu.
Abdul Khalid melawan dengan cara orang korporat menyelesaikan krisis atau masalah - berdasarkan peruntukan undang-undang parti mahupun undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jika mengikut undang-undang, jalan yang bakal ditempuh Anwar dan PKR memang tidak mudah.
Setelah menyifatkan surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin PKR sebagai cacat, Abdul Khalid menghantar surat peguam bagi mengingatkan bahawa lembaga itu yang memecat beliau semalam tidak boleh membincangkan kedudukannya.
Abdul Khalid mahu menghantar isyarat beliau tidak mudah diperkotak-katikkan dan akan menggunakan saluran undang-undang untuk mempertahankan kedudukannya. Persis seperti yang Anwar pernah lakukan semasa dipecat daripada UMNO dahulu. Tetapi bezanya, ini jawatan yang melibatkan kuasa Dewan Undangan Negeri dan Sultan, bukan sekadar parti.
Dari segi parti, Abdul Khalid dianggap bukan lagi menteri besar. Tetapi dari segi undang-undang beliau masih seorang menteri besar yang sah. Menteri besar hanya boleh dipecat oleh Sultan Selangor atau melalui undi tidak percaya DUN.
Dalam keadaan begini, Abdul Khalid masih dalam kedudukan menang tetapi perjalanannya semakin pendek. Ternyata melawan munafik politik dengan senjata sabar bukanlah kerja mudah. Bertambah berat kerana gerombolan munafik ini sudah terlalu taksub sehingga sanggup menghalalkan apa sahaja.
Yang jelas rugi dan menjadi mangsa ialah rakyat Selangor. Kontroversi kerusi Menteri Besar Selangor ini bakal menjadi bertambah rumit setelah Abdul Khalid dipecat daripada parti. Tiada penyelesaian mudah.
Dan, kita akan terus melalui fasa pertengkaran politik yang panjang kecuali kita sepakat untuk memadamkan riwayat politik seorang pemimpin itu. Beliaulah punca segala kemunafikan politik ini.
Suara Politik
Belantan
Ahad, Ogos 10, 2014
Nik Aziz Nasihat Khalid Ibrahim, ‘Sabar Tangani Munafik Politik’?
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan beliau sempat pergi ke Kota Bharu, Kelantan bersama isterinya Puan Sri Salbiah Tunut dan bertemu Mursyidul Am Pas; Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menerima nasihat berguna.
Menurut beliau, Nik Abdul Aziz berkata di dalam politik ada golongan munafik yang disifatkan sebagai golongan hipokrit.
Beliau berkata, pada mulanya beliau menyangka bekas Menteri Besar Kelantan itu ingin menasihati beliau supaya menghapuskan golongan munafik seperti itu di dalam politik tetapi nasihat dari Tuan Guru adalah sebaliknya.
“Saya bersama dengan isteri saya pergi ke Kota Bharu, dapat berjumpa dengan Tuan Guru Nik Aziz dan saya dapat satu nasihat yang sangat penting diberikan kepada saya.
“Nasihat itu dilihat terlalu susah untuk saya lakukan iaitu, dia mengingatkan saya dalam politik banyak hipokrit, dia cakap ada munafik.
“Bila saya memahaminya, saya ingat dia (Nik Aziz) nak suruh saya hapuskan munafik rupanya dia tidak, dia kata kita mesti jangan malukan munafik, kita sabar, kita sama-sama betulkan dia,” katanya.
Selain itu, Nik Abdul Aziz turut menasihati beliau bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah dapat menjalankan tugas dengan meningkatkan syiar Islam dengan cara tidak menjatuhkan maruah orang lain biarpun mereka jahat sepertimanapun tetapi dengan membetulkan mereka.
“Saya tidak tahu sama ada saya boleh jalankan tugas ini tetapi saya mencubalah ini, supaya saya dapat menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis Solat Hajat Perdana untuk mempertahankan kerajaan negeri di kediaman rasmi beliau di Shah Alam malam semalam.
Suara Politik
Belantan
Amaran buat Pakatan Haram : Pas sedia berjuang bersendirian?
Keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah muktamad meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berpendapat sebaliknya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, PKR bebas membuat apa sahaja keputusan berhubung masa depan Abdul Khalid, namun pendirian Majlis Syura Ulama Pas tidak akan sekali-sekali berganjak.
Malah katanya, parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ekoran percanggahan pendapat dengan rakan-rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Beliau turut memberi gambaran Pas sedia berjuang bersendirian kerana sejarah membuktikan parti itu tetap berdiri teguh meskipun diuji dengan pelbagai masalah dan konflik dengan pihak luar.
"Tidak terima (keputusan Majlis Syura) itu dia punya pasal. Begini saya nak sebut, Pas telah mengalami macam-macam masalah dengan parti lain, mula-mula dengan Barisan Nasional (BN), kita masuk tetapi entah macam mana dia tendang kita keluar, namun kita tetap tegak duduk.
"Kemudian kita bersama Semangat 46 (S46) namun musnah akhirnya. Bahkan Datuk Asri (Muda) dulu pernah buat parti lain iaitu Hamim (Hizbul Muslimin Malaysia). Walau apa pun berlaku, Pas tetap utuh sampai hari ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini hari ini.
Dalam kenyataan bersama Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr. Haron Din kelmarin, Majlis Syura Ulama Pas menegaskan Abdul Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.
Sementara itu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya semalam menegaskan, apa sahaja keputusan Majlis Syura Ulama Pas tidak akan mempengaruhi pendirian parti itu untuk menyingkirkan Abdul Khalid.
Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan menasihatkan semua ahli Pas supaya akur dengan pendirian tegas Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi berhubung kemelut politik di Selangor di samping menjaga 'lidah' masing-masing.
"Saya nasihat orang Pas khasnya serta semua rakyat Malaysia jaga lidah. Nabi ada sebut, manusia tersungkur dalam neraka kerana lidah, sikit-sikit bercakap akhir sekali timbul macam-macam.
"Jangan celupar mulut dan sebar benda tak tentu betulnya kerana akhirat kelak kamu akan disoal, kenapa bercakap macam ini sedangkan kamu sendiri tak yakin," katanya.
Kenyataan terbaharu Nik Abdul Aziz itu sekaligus menepis laporan portal berita propembangkang kononnya beliau tidak terlibat dengan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu.
Suara Politik
Belantan
Anwar perlu perjelas dakwaan miliki 20 akaun?
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim digesa tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan beliau memiliki banyak akaun bank di luar negara yang kini tersebar di media sosial.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Anwar perlu berbuat demikian kerana dakwaan hasil pendedahan oleh Wikileaks itu berlaku semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.
"Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, adalah sesuatu yang amat menghairankan. Transaksi (yang berlaku juga) luar biasa dengan jumlah wang yang begitu banyak. Jadi kami tuntut penjelasan Anwar.
"Apatah lagi dakwaan yang tersebar di media sosial itu turut melibatkan akaun Bank of Israel, kalau tidak benar beliau perlu nafikan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, tersebar 20 akaun bank di laman sosial yang didakwa atas nama Anwar membabitkan amaun melebihi AS$100 juta semasa beliau bergelar Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Azwanddin berkata, Anwar tidak boleh berdiam diri dalam hal berkenaan kerana turut disertakan adalah nama penuh, nombor pasport, nombor akaun, jenis akaun serta nama bank.
"Isu ini diperkatakan oleh rakyat dan JMM sekali lagi meminta penjelasan Anwar tentang dakwaan ini dengan mengemukakan jawapan bagi membuktikan dakwaan yang tersebar tidak benar," ujarnya.
Suara Politik
Belantan
KENYATAAN RASMI KHALID IBRAHIM BERHUBUNG PEMECATANNYA DARI PARTI PKR
Ada Sabotaj Peringkat Tertinggi Parti Terhadap Saya
Saya menerima keputusan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang.
Seperti yang saya nyatakan menerusi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab,
pihak parti itu sendiri keliru dengan maklumat lanjut mengenai tuduhan terhadapn saya.
Malah, PKR gagal menjelaskan secara khusus artikel dalam perlembagaan parti yang telah saya cabuli.
Saya juga ingin menyatakan walaupun saya telah memohon sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin ditangguhkan kepada 15 Ogos 2014 tetapi tiada jawapan balas diberikan.
Sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa mendengat penjelasan daripada saya.
Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab tuduhan terhadap saya mengikut proses yang betul. Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti.
Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, dan mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi.
Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya.
Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam menempuh masa-masa yang sukar ini.
TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
Suara Politik
Belantan
KENYATAAN AKHBAR : PKR PECAT TAN SRI KHALID IBRAHIM?
Anwar Ibrahim melalui Lembaga Disiplin PKR telah memecat Khalid Ibrahim sebagai ahli parti PKR. Pemecatan Khalid sah tetapi ini bukan bermakna jawatan MB Selangor Khalid Ibrahim juga gugur.
Untuk mengugurkan Khalid dari jawatan MB hendaklah dibuat melalui undi tidak percaya didewan DUN, dan untuk melakukan undi tidak percaya ada tatacaranya dan hendaklah mendapat perkenan sultan terlebih dahulu..
Begitu juga dalam soal perlantikan MB baru Selangor, ia mestilah mengikut undang undang tubuh Negeri Selangor, dengan pengesahan Tuanku bahawa undi tidak percaya yang dibuat mengikut tatacara yg betul dan telah mendapat perkenan Tuanku, begitu juga dalam soal perlantikan MB yang baru ini.
KENYATAAN AKHBAR/PRESS RELEASE PARTI KEADILAN RAKYAT
Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib TAN SRI KHALID IBRAHIM (Cabang Kuala Selangor). Kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bertarikh 9 Ogos 2014.
Berikut adalah keputusan yang dicadangkan Lembaga Disiplin, yang turut mempertimbangkan surat-surat balasan oleh TAN SRI KHALID IBRAHIM bertarikh 6 Ogos 2014 dan 8 Ogos 2014, dan dipersetujui Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 21 Julai 2014 yang sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.
Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat.Majlis Pimpinan Pusat turut mengambil maklum bahawa:
• Beliau ingkar terhadap keputusan yang telah dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Dato' Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai:o menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2;o menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor;
• Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor;
• Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu;
• Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.
Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa TAN SRI KHALID IBRAHIM dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta.

DATO' DR TAN KEE KWONG
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT
9 OGOS 2014
Suara Politik
Belantan
Sabtu, Ogos 09, 2014
Reformasi demi enam juta rakyat Selangor?
Dia masih ingat suasana di ibu negara sekitar lewat 1990-an dahulu yang pernah dicemari banyak demonstrasi jalanan bertujuan menjatuhkan kerajaan ketika itu.
Mana mungkin Ramlan Abu Bakar, 51, boleh lupa kerana dialah salah seorang perancang utama aktiviti tersebut bersama bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor.
Masih terngiang-ngiang di telinganya pesanan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya dia mengatur rancangan untuk menghuru-harakan negara demi menebus maruah suaminya, Anwar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa meliwat bekas pemandu peribadinya, Azizan Abu Bakar.
Merosakkan kemudahan awam, membakar kenderaan, merusuh, mencabar anggota polis secara kekerasan, semuanya itu sanggup dilakukannya atas nama keadilan kononnya.
Keluar masuk lokap sudah lali baginya umpama peribahasa, alah bisa tegal biasa.
Ketika itu, dia yang merupakan Bendahari PKR Cabang Bukit Bintang (kini masih lagi ahli parti) turut aktif merekrut kader-kader baharu bagi mencetuskan suasana kacau-bilau di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur dengan pelbagai perbuatan ala samseng.
"Bukan susah nak merekrut orang ketika itu kerana emosi rakyat begitu tinggi. Rakyat dalam keadaan teruja untuk menukar kerajaan.
"Tugas saya lebih kepada mencetuskan suasana huru-hara. Itu kepandaian saya. Itu sumbangan tidak berbelah-bahagi saya kepada parti," katanya kepada wartawan.
Bagaimanapun, selepas Anwar dibebaskan daripada hukuman penjara kerana meliwat, pejuang-pejuang sepertinya mula diketepikan.
"Kak Wan (Wan Azizah) memang manusia hipokrit. Waktu susah kami yang dicari tapi apabila senang, kami dipinggirkan begitu sahaja.
"Kami sanggup berpanas, berhujan, kena ketuk kepala tapi orang Khalid (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang naik (diberi kedudukan baik dalam parti)," jelasnya kecewa.
Merasakan dirinya telah diperdaya semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi individu tertentu, Ramlan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang mana dirinya adalah Presiden bagi memastikan kebajikan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan PKR Selangor terbela.
Mana-mana pemimpin khususnya daripada PKR yang dilihat menzalimi atau menindas rakyat maka akan diperbetulkan oleh Reformis.
Abdul Khalid tidak terkecuali daripada menjadi 'mangsa' Reformis, antaranya apabila kerajaan negeri menaikkan kadar sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) semasa mula-mula mentadbir dahulu.
Bukan setakat berdemontrasi bagi mendesak sewa PPR tidak dinaikkan, malah Reformis lebih agresif dengan menubuhkan skuad berani bogel untuk 'menyerang' majlis-majlis yang dihadiri Abdul Khalid.
Tindakan Reformis itu ternyata memberi kesan positif apabila kerajaan negeri memutuskan penghuni PPR yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan boleh membayar sewa pada kadar lama.
Kini kemelut politik di Selangor kembali meruncing gara-gara kegilaan Anwar mahu memberikan jawatan Menteri Besar kepada isterinya.
"Anwar sekarang dilihat cukup terdesak. Langkah Kajang adalah perancangannya. Dia nak jadikan Wan Azizah sebagai boneka.
"Dia sedang bersiap sedia jika rayuannya terhadap hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008 ditolak, dia nak elak. Dia akan gunakan platform Wan Azizah sebagai Menteri Besar.
"Dia juga akan cuba menggagalkan projek-projek mega di Selangor seperti pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, sistem Transit Aliran Massa (MRT) supaya Kerajaan Pusat tunduk kepada desakannya. Itu senjata dia supaya tuduhan meliwat boleh ditarik balik. Ini yang kita nampak," katanya.
Menurutnya, isu-isu di Selangor sebenarnya membabitkan masalah peribadi Anwar dan rakyat dijadikan kambing hitam sehingga terpaksa menanggung kesan buruk.
Dia menambah, Anwar tidak akan peduli sekiranya rakyat menderita asalkan matlamatnya tercapai. Itu yang merisaukan Ramlan sekarang.
Sehubungan itu, Reformis sekarang tiada pilihan melainkan melawan hasrat Anwar tersebut habis-habisan meskipun suatu ketika dahulu mereka pernah bergadai nyawa demi Ketua Umum PKR berkenaan.
Jika dahulu mereka berdemonstrasi di jalan-jalan bagi menjatuhkan kerajaan, selepas ini Reformis mungkin akan membuat perkara yang sama tetapi terhadap Anwar pula.
"Saya merayu semua rakyat tanpa mengira ideologi politik supaya bangkit membantah segala niat jahat Anwar itu.
"Ini soal faedah bersama, rakyat berbilang kaum dan agama. Ini bukan isu menteri besar semata-mata tapi nasib kira-kira enam juta rakyat Selangor dan imej negara," tegasnya.
Suara Politik
Belantan
Jumaat, Ogos 08, 2014
Mustafa bidas Rafizi buat kenyataan bodoh?
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membuat kenyataan bodoh apabila mendedahkan cadangan parti itu mahu menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Menurut Mustafa, kenyataan seumpama itu tidak seharusnya dibuat oleh Rafizi yang memegang jawatan sebagai pakar strategi dalam PKR.
"Jika dia menganggap dia adalah Pengarah Strategi PKR, dia membuat satu kenyataan bodoh,'' katanya seperti disiarkan portal The Malaysian Insider hari ini.
Beliau dilaporkan mengulas kenyataan Razifi yang mendedahkan cadangan Pas itu dalam satu forum berhubung krisis Menteri Besar Selangor di sini malam tadi.
Rafizi Serang Balik Musthapa Dengan Isu Spender
Portal itu memetik Rafizi sebagai berkata: ''Sebulan sebelum PRU-13, pemimpin Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Datuk Dr. Haron Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali semuanya berjumpa Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Mereka kata mereka hendak menamakan pemimpin UMNO, Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri kalau kita menang Putrajaya," katanya.
Mustafa bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu dengan menyifatkan jawapan yang diberikannya memadai buat masa sekarang.
''Saya tidak mahu berkata banyak tentang kenyataan Rafizi itu, hanya itu sahaja dulu," katanya.
Suara Politik
Belantan
Khamis, Ogos 07, 2014
Esok, 8 Ogos tarikh pengurusan kes rayuan sabitan kesalahan liwat Anwar...!!!
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes bagi tiga rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim kerana meliwat.
Rayuan berkenaan adalah rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman terhadapnya bagi tuduhan meliwat, rayuan Anwar dalam usaha ketiganya untuk mengetepikan peguam Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai ketua timbalan pendakwa raya dan rayuan balas pendakwa agar Anwar dikenakan hukuman penjara lebih lama.
Pada 3 Mac lepas, Anwar, 67, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan ketiganya untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa raya.
Perkara itu dikemukakan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Izzudin Mohamad di dalam kamarnya, yang kemudian menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes.
Anwar diwakili peguam Ram Karpal Singh, N. Surendran dan Latheefa Koya, manakala timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria mewakili pendakwa.
Suara Politik
Belantan
Hadi Awang Sudah Tidak Mahu Lagi Ikut Telunjuk Anwar?
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui pendekatan politiknya sudah semakin berubah berasaskan faktor pengalaman, ilmu pengetahuan dan peralihan suasana politik di negara ini dan antarabangsa.
Katanya, hal demikian perlu untuk terus disesuaikan dalam persekitaran baharu dan pada masa yang sama memperjuangkan Islam yang memberi kesan kepada seluruh manusia.
"Kita tak boleh baca peta politik 20 tahun dulu. Hari ini suasana langit terbuka, bukan sahaja di peringkat nasional tapi antarabangsa kerana masyarakat sudah bercampur-campur.
"Oleh itu, kita kena ambil kira peranan kita sebagai sebuah parti yang membawa perjuangan Islam kepada seluruh manusia," ujarnya dalam pertemuan dengan wakil media tempatan di kediamannya di sini hari ini.
Ini merupakan kali pertama beliau menemui pihak media di sini setelah mengalami masalah kesihatan pada penghujung Mei lalu semasa mengunjungi Turki.
Beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul dan kembali ke tanah air pada 18 Jun lalu dan masih menerima rawatan susulan.
Menurut Abdul Hadi, beliau masih di bawah pengawasan doktor dan dinasihatkan berehat selama tiga bulan.
"Namun saya ikuti (perkembangan politik dan keadaan semasa) sekadar kemampuan...ada kemampuan saya ikuti. Saya baca berita, baca internet, tengok televisyen, baca surat khabar...apa yang perlu saya komen, saya komen termasuk pada hari ni," katanya.
Ditanya tahap keupayaan kesihatannya untuk menangani persoalan politik yang semakin mencabar dan rumit, beliau menyifatkannya sebagai salah satu latihan kecergasan untuknya.
"Saya anggap ini sebagai satu exercise kepada saya. Isu-isu politik ini. Selagi nyawa ada, kita teruskan berkhidmat untuk rakyat dan untuk agama kita," ujarnya ketika ditanya sama ada kesihatannya akan membataskan tempoh kepimpinannya.
Suara Politik
Belantan
Rabu, Ogos 06, 2014
Dakwaan Saifuddin tuduhan liar - Khalid?
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan salah laku yang dilemparkan terhadapnya oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hanya sebagai tuduhan liar yang bermotif politik dan berniat jahat semata-mata.
Abdul Khalid berkata, dakwaan sedemikian sedikit pun tidak menjejaskan kedudukannya sebaliknya beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri ini.
Menurutnya, sekiranya dakwaan itu benar, Saifuddin sepatutnya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) selain mendedahkan bukti-bukti lain bagi mengukuhkan dakwaannya.
"Sekiranya Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada SPRM, pihak polis dan BNM selain mendedahkan sekiranya ada bukti-bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.
"Kegagalan Saifuddin dan rakan-rakan dalam PKR untuk berbuat demikian hanya akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan-tuduhan tersebut bermotifkan politik dan berniat jahat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saifuddin dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata, Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah `keraguan integriti' susulan isu penyelesaian hutangnya dengan sebuah bank.
Saifuddin mendakwa, beberapa urusan perniagaan melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju bernilai ratusan juta ringgit yang berlaku selepas penyelesaian hutang itu sehingga kini tidak dijelaskan secara memuaskan oleh Abdul Khalid.
Selain itu, Saifuddin mendakwa, Abdul Khalid turut memberi projek rumah mampu milik di Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama.
Perkara itu merupakan antara kandungan dokumen penjelasan bertulis PKR yang akan diberikan kepada pemimpin tertinggi pakatan pembangkang esok bagi mewajarkan cadangan penukaran Abdul Khalid daripada menerajui pentadbiran Selangor.
Abdul Khalid menegaskan, beliau memandang serius tuduhan salah laku tersebut dan menafikan dakwaan berkenaan kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali.
Beliau turut bersedia memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap dirinya.
Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan rakan-rakan seperjuangannya dalam parti supaya berhati-hati membuat tuduhan kerana dirinya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.-UMO
Suara Politik
Belantan
Pas berputih mata lagi?
Anwar Ibrahim (tengah) bersama-sama Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang ketika menghadiri mesyuarat khas oleh pihak pembangkang selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada 2009. Sampai bilakah pakatan tidak rasmi ini mampu bertahan?
Waktu ini kuat benar kokokan ayam kedengaran dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pensiangan, Sabah, yang diadakan semula sehari sebelum Ramadan pada 28 Jun lalu memihak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Calon Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar (MB) Selangor itu dikatakan hanya memerlukan sejumlah baki undi di dua lagi cabang iaitu Cabang Kelana Jaya dan Puchong yang hanya akan menyudahkan pemilihannya pada 10 Ogos atau Ahad ini.
Di dua cabang itu khususnya Kelana Jaya, Abdul Khalid dijangka mendapat sokongan padu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia yang juga Timbalan Speaker DUN negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad. Ini nanti tidak menyukarkannya untuk meraih sekurang-kurangnya 1,000 lebih lagi undi daripada antara 4,000 hingga 5,000 undi pada kedua-dua cabang.
Pada hari sama 10 Ogos, mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berlangsung di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, membincangkan kedudukan genting Abdul Khalid sebagai MB dan Abdul Khalid sendiri pada hari itu mungkin akan dimuktamadkan menang ke atas Azmin Ali dalam perebutan jawatan nombor dua PKR.
Kelak akan timbul persoalan besar: Setelah menang, apa justifikasi nak buang Abdul Khalid daripada jawatan MB?
Cuma di sini, mahukah PKR yang semua cukup maklum `wahyu'nya dikeluarkan melalui Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang berkehendakkan Azmin menang) mengumumkan sebelum 10 Ogos kemenangan Abdul Khalid sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu. Itu pun andai PKR memiliki daya telusnya.
Sewajarnya sekutu-sekutu pakatan terutama Pas sedar diri akan ketelusan PKR dalam memproses pemilihannya. Di Indonesia, pengundi jawatan Presidennya mencecah 195 juta manusia, tiga minggu sudah diketahui keputusannya. UMNO yang mentransformasikan pemilihan parti itu dari peringkat kepemimpinan tertinggi hingga bahagian, cawangan serta sayap-sayapnya Oktober lepas, hanya memerlukan sehari keesokannya untuk diumumkan pemenang. Bahkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia berjaya mengendalikan 13.5 juta pengundinya dalam sehari suntuk sahaja untuk kelancaran Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei tahun lalu.
Tetapi malangnya PKR, perjalanan pemilihan partinya yang kini sudah masuk lebih empat bulan tidak selesai-selesai lagi. Mengaibkan lagi, ada insiden tumbuk menumbuk dan baling kerusi. Inikah cara Anwar memimpin parti?
Detik 10 Ogos ini memang dinanti-nantikan oleh pengikut dan penyokong pembangkang serta seluruh rakyat Selangor tentang apakah pendirian muktamad Pas. Apakah ketegasan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu kuat mempertahankan Abdul Khalid akan terlerai?
Penulis percaya dan cukup pasti keputusan mesyuarat Ahad ini akan berubah. Seperti apa yang sering berlaku sebelum ini, Pas akan menarik brek dengan akhirnya menyokong isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Abdul Khalid. Abdul Hadi akan tunduk, Pas akan patuh pada arahan Anwar dan DAP.
Sejarah mengajar Pas tunduk mengikut rentak masa dan tempat yang sesuai. Ketika Pas berkira-kira menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 70-an, Dewan Ulamanya menentang keras. Namun, pendirian itu kendur setelah Presidennya ketika itu, Datuk Mohd. Asri Muda (Allahyarham) memaklumkan pengagihan anggota Kabinet untuk parti itu, waima harta dan jawatan dalam GLC (syarikat milik kerajaan) yang diperuntukkan. Percayalah! peristiwa sama akan berulang apabila Pas bakal ditawarkan jawatan tambahan dalam kerajaan Selangor, itu pun belum termasuk GLC negeri.
Apa yang berlaku sekarang dengan pendirian membuak-buak Pas mempertahankan Abdul Khalid cuma wayang. Ia sekadar alat tawar menawar untuk Pas meraih ghanimah atau habuan dalam kerajaan negeri Selangor.
Andai kata senario selepas 10 Ogos ini dibuat undi tidak percaya dalam sidang DUN secara mengejut, dijangkakan Abdul Khalid akan kalah dengan 41 undi. Waktu ini hanya dua daripada 15 ADUN Pas memihak kepada MB.
Melalui sisi yang lain pula, angin mula membawa khabar bahawa pertukaran MB Selangor semenjak dua ini sudah melangkah ke fasa baharu. Apa benar PKR sudah mendapat denai baru ke istana melalui seorang kerabat, bekas isteri seorang pemimpin negeri pada suatu ketika, untuk melantik Wan Azizah sebagai MB? Khabarnya, pencalonan Azmin ditolak sama sekali walhal Wan Azizah menerima lampu hijau.
Pas dalam insiden pertukaran MB Selangor dalam persimpangan. Pengarah Pusat Penyelidikan Operasi Pas Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki yang mencetus kontroversi dengan WhatsAppnya mahu parti itu keluar pakatan, hanya sekadar `kambing hitam' (scape goat).
Kes bocor WhatsApp Dr. Zuhdi pula kini menjadi sensasi. Persoalannya, siapa yang bocor? Dalam AJK Pas Pusat, terdapat empat orang yang dikenal pasti penyokong tegar Anwar. Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli, Dr. Mujahid dan Dr. Dzulkefly Ahmad. Mereka ini konsisten bercakap menyokong Anwar di dalam dan luar mesyuarat Pas Pusat. Keempat-empat ini bukan berlatar belakang pendidikan agama.
Penyokong tegar yang lain seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Syed Azman pula hanya berani berdegar-degar di luar mesyuarat atau dalam ceramah sahaja. Atau apabila balik ke negeri sendiri, bersikap lain pula. Jadi, siapa yang bocorkan?
Banyak persoalan berlingkar dalam kalangan orang Melayu terhadap isu-isu hubungan Pas-PKR-DAP ini. Konsep Kepimpinan Ulama Pas selepas era Mohd. Asri (Presiden Pas dari 1969 hingga 1982), apa sudah jadi sekarang? Lebih percaya kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama seperti Mohamad Sabu, Husam, Salahuddin Ayub, Khalid dan Dzulkefly.
Kalau disuluh pun ideologi Pas, kewajipan menubuhkan Negara Islam sudah berubah kepada Negara Kebajikan. Sanggup pula mengatakan tiada perintah Allah untuk menubuhkan Negara Islam demi nak berbaik dengan DAP-PKR. Rujuk surah Al-Maidah ayat 57, cuba Pas lihat dan kaji. Semua maklum kenyataan DAP/mendiang Karpal Singh akan `langkah mayat saya dahulu kalau mahu buat hudud'.
Selepas bocornya WhatsApp Dr. Zuhdi, lihatlah kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Anthony Loke dan Tony Pua daripada DAP. Tidak perlu penulis paparkan, boleh digoogle. Begitu sekali Pas diperlekeh dan dan dicerca. Pas menjadi bacul.
Loke dan Pua membuka topeng DAP dengan cabarannya yang jelas menekan Pas. Kini, wajah tanpa topeng mereka sudah terang lagi bersuluh untuk parti yang mahu memperjuang Islam membuat kata putus. Sayang kalau Pak Kaduk terus bersorak sedang kampungnya tergadai. Satu spekulasi yang boleh diusul, mungkin sudah ada ghanimah yang menanti menyebabkan pimpinan Pas gelap mata dan terhijab hati untuk mereka melihat kebenaran di alam nyata?
Istilah kafir harbi dalam kamus kepimpinan Pas kelihatannya sudah mempunyai takwil yang berbeza. Malah, ini bukan perkara baru yang berlaku sehari dua ini tetapi sudah beberapa ketika sejak laungan tahaluf siyasi dengan DAP berkumandang. Sejarah menjadi saksi hakiki segala tohmahan DAP terhadap hudud Pas bila Pas bertegas mahu melaksana hudud. Saban hari, semakin terbukti, hidung parti Pas ini memang tak mancung, pipinya pula tersorong. Parti ini menjadi titik maruah Islam dihenyak oleh mereka yang tidak senang dengan keberadaan Islam di tanah air yang tercinta ini.
Sehingga masa ini, ramai yang percaya dan yakin, pada penghujung sandiwara pelantikan MB baru ini, akan diakhiri dengan seluruh rakyat Malaysia akan melihat bagaimana Hadi Awang akan akur, tunduk dan patuh serta menurut perintah Anwar dan Kit Siang. Permainannya berbeza. Dramanya punya babak lain. Namun begitu, penghabisannya nanti kita sudah maklum seperti sebelumnya. Ramai sudah muak dengan politik murahan meraih publisiti media dan dalam masa sama mempermain amanah rakyat. Banyak tenaga habis untuk politik Pakatan Rakyat yang langsung tidak mendatang secubit faedah kepada rakyat jelata.
Penulis terpanggil untuk meminjam sekerat kenyataan AJK Pas Pusat Dzulkefly di akhir kalamnya baru-baru ini; "Ya Allah, ku sudah lunaskan tanggungjawabku menegur Pimpinan Tertinggi muafakat politik ini...." -UMO
Suara Politik
Belantan
Benarkah Chegubard malu bersemuka SPR?
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shaharin mengakui berasa malu untuk bersemuka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika tiada sebarang tindakan diambil dalam menyelesaikan masalah pemilihan PKR.
Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard berkata, ini kerana semua aduan yang dikemukakan beliau sejak tahun 2010 kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) masih belum mendapat sebarang balasan atau tindakan.
Katanya, antara aduan berkenaan pemilihan PKR yang sering dikemukakan ialah berkaitan kertas undi berlebihan, pengundi yang mengundi atas nama orang lain serta pihak JPP yang dipercayai terlibat dengan masalah penyelewengan pemilihan.
"Bagi saya masalah penipuan ini khususnya pemilihan dalam parti perlu ditangani segera. Jika tidak saya bersama rakan-rakan lain yang berjuang atas nama bersih dan demokrasi berasa malu untuk berjumpa dengan pihak SPR disebabkan parti ini juga akan dianggap sama menipu dalam demokrasi.
"Jadi, kenapa apabila kita lawan dengan SPR, kita perlu raikan, tetapi ketika lawan di tempat tertentu kita tidak raikan. Oleh itu, saya akan terus berjuang untuk menegakkan demokrasi di semua tempat," katanya kepada pemberita di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penipuan atau penyelewengan terhadap sistem demokrasi termasuk dalam parti sendiri.
"Prinsip saya semua perkara berkenaan penyelewengan dalam sistem demokrasi, saya akan lawan dan tentang dengan berani.
"Saya sudah nyatakan pelbagai bukti dan saya rasa masalah ini (pemilihan PKR) perlu diselesaikan segera disebabkan semua aduan yang dibuat masih belum mendapat balasan sehingga hari ini," jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai jawatan Menteri Besar Selangor, Badrul Hisham berkata, beliau menggesa satu referendum rakyat diadakan bagi mengambil kira pandangan rakyat mengenai perubahan pucuk kepimpinan di Selangor.
Katanya, ini kerana kemenangan pakatan pembangkang di Selangor juga adalah disebabkan oleh pengaruh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Jadi, saya rasa sebarang perubahan dalam jawatan Menteri Besar perlu mengambil kira pandangan rakyat kerana sebarang pertukaran bukan berdasarkan arahan dari pucuk pimpinan parti sahaja," jelasnya.-UMO
Suara Politik
Belantan
Selasa, Ogos 05, 2014
Wajah sebenar sahabat 'sekatil' Pas?
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersama-sama sekutunya yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerang Pas habis-habisan. Pelbagai tuduhan mereka lemparkan terhadap parti itu termasuklah pengkhianat, pembelot dan perkauman.
Segalanya hanya kerana dalam Pas sendiri ada 'pengkhianat' dan 'pembelot' yang sanggup melanggar prinsip kerahsiaan dalam berjemaah apabila membocorkan perbincangan dalam aplikasi WhatsApp kepada umum.
Walaupun ia sekadar satu perbincangan dan bukan keputusan namun pandangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki seolah-olah diterima sebagai satu pendirian rasmi parti tersebut.
Justeru bagaikan 'kera kena belacan' maka muncullah 'wira-wira' termasuk dalam kalangan NGO yang menyerang Pas. Mereka cuba memberi tekanan kepada Pas supaya mengambil tindakan ke atas Dr. Mohd. Zuhdi. Ini kerana pada tafsiran mereka, beliau seolah-oleh sudah melakukan satu dosa besar kepada pakatan pembangkang dan mengaitkan pandangan beliau dengan isu perkauman.
Puak-puak ini adalah antara golongan yang terpekik terlolong di jalanan bagi menuntut keadilan dan mahu pelaksanaan demokrasi yang lebih telus tetapi apakah kedua-dua perkara ini terpakai dalam isu melibatkan Dr. Mohd. Zuhdi?
Sudah pasti tidak! Puak-puak itu termasuklah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah dan Setiausaha Agung Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook menunjukkan wajah sebenar mereka terhadap Pas.
Tanpa mengambil kira segala pengorbanan Pas dalam menjayakan perjuangan pakatan pembangkang termasuk turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, ketiga-tiga pihak itu mengecam Pas semahu-mahunya. Malah mereka juga tergamak menuduh Pas parti perkauman hanya kerana Dr. Mohd. Zuhdi bercakap soal kedudukan kuasa orang Melayu dan Islam dalam WhatsApp tersebut.
Sudah terbuktilah kini, PKR, DAP dan Bersih seolah-olah melihat Pas hanyalah alat dan 'pak turut' kepada segala kehendak dan perancangan mereka. Mereka tidak mahu Pas bercakap, merancang atau membuat matlamat apa-apa khususnya berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam.
Mereka mahu Pas mengikut rentak politik yang disusun oleh PKR melalui perancangan Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui oleh DAP. Bagi PKR, DAP dan NGO yang bersekongkol dengan mereka, Pas perlu dilayan ibarat 'suruh duduk, duduk... suruh berdiri, berdiri.' Oleh itu di manakah maruah Pas sebagai sebuah parti paling kanan dalam pakatan pembangkang dan mempunyai sejarah cukup hebat dalam politik negara serta dipimpin oleh golongan ulama?
Dr. Mohd. Zuhdi yang terkenal dengan sikap lantangnya mengkritik pendekatan politik Anwar memberi pandangan secara ikhlas berhubung kedudukan Pas. Malah pandangan beliau itu merupakan sentimen yang turut bertebaran di peringkat akar umbi, oleh itu kenapakah ia begitu dipandang negatif oleh PKR, DAP dan Bersih?
Kenapakah mereka takut sangat apabila ada pemimpin-pemimpin Pas mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO demi kuasa politik orang Melayu dan Islam? Kalau baru sekadar perbincangan dalam WhatsApp pun pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sudah 'meroyan tidak tentu hala', bagaimana pula jika ia benar-benar berlaku?
Apa yang melucukan dalam keghairahan mengkritik Pas, Marina Chin Abdullah berkata, "Pas mengkhianati idea mereka sendiri apabila menyentuh isu perkauman. Parti itu nampaknya lupa kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka."
Marina Chin ternyata membuat kenyataan tanpa mengkaji dahulu apa isu sebenar yang memungkinkan berlakunya perbincangan dalam WhatsApp melibatkan Dr. Mohd. Zuhdi.
Yang melupakan kepentingan rakyat bukannya Pas tetapi pemimpin-pemimpin PKR yang siang, malam, pagi, petang seolah-olah tiada agenda lain, selain mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar Selangor.
Dan kalau mahu bercakap soal kepentingan rakyat, kenapakah Marina Chin tidak bertanya kepada Anwar dan PKR, layakkah isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Abdul Khalid? Kenapakah Marina Chin tidak mempersoalkan layakkah PKR menentukan siapa Menteri Besar Selangor sedangkan kerusi parti itu di Dewan Undangan Negeri kurang berbanding Pas? Sebagai orang yang kononnya memperjuangkan hak rakyat melalui pilhan raya, kenapakah Marina Chin tidak mencadangkan supaya kerusi Menteri Besar Selangor diserahkan kepada Pas memandangkan rakyat memberi mandat lebih banyak kepada parti itu berbanding PKR?
Tumpang semangkuk
Lebih melucukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula 'tumpang semangkuk' apabila menggesa Dr. Mohd. Zuhdi memohon maaf secara terbuka kepada penyokong pakatan pembangkang kerana dianggap mengeluarkan pandangan bersifat rasis dan ekstrem.
Kenyataan Tony Pua itu bertaraf 'Maharaja Lawak Mega' - penulis tidak mahu menghuraikan apa-apa biarlah kita memikir dan menilai sendiri layakkah orang seperti Tony Pua bercakap sedemikian kepada Pas.
Namun begitu apa pun kecaman pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Bersih terhadap Pas tidak penting. Apa yang lebih utama ialah pendirian kepimpinan Pas yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini. Isu Dr. Mohd. Zuhdi sudah mendedahkan wajah sebenar sahabat-sahabat Pas.
Sememangnya, tiada siapa berhak untuk memaksa Pas keluar pakatan, malah Pas boleh sahaja terus berada dalam kerjasama tersebut kalau merasakan ia akan membawa keuntungan politik kepada mereka tetapi janganlah membiarkan parti yang melaungkan perjuangan Islam itu dihina. Jangan merelakan parti yang diasaskan oleh golongan ulama dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang' dan jangan benarkan mana-mana pihak melayan Pas seperti 'pak turut'.
Kepimpinan Pas perlu bertegas dalam soal ini, jangan tunduk kepada desakan supaya tindakan diambil ke atas Dr. Mohd. Zuhdi tetapi ambillah tindakan tegas kepada 'pengkhianat' dan 'pembelot' yang membocorkan perbincangan melalui WhatsApp kepada umum.
Pemimpin yang bertindak demikian seribu kali lebih bahaya daripada Dr. Mohd. Zuhdi. Sekurang-kurangnya beliau bercakap dari segi kepentingan politik Pas, tetapi orang yang menyebarkan perbincangan melalui WhatsApp tersebut ibarat 'musuh dalam selimut' dan 'gunting dalam lipatan' bagi Pas.
Oleh itu kepimpinan Pas perlu benar-benar berhati-hati dalam soal ini, apa pun tindakan atau keputusan yang hendak mereka lakukan maka ia harus berpaksikan kepada mempertahankan maruah Pas sebagai parti yang berteraskan kepada perjuangan Islam.
Dan kepimpinan Pas tidak boleh membiarkan orang luar terutamanya mereka yang sudah terang-terang menentang perjuangan Islam Pas mengajar mereka bagaimana hendak mendisiplinkan pemimpin-pemimpin parti itu.
Untuk sekelian kalinya, buktikanlah Pas ialah parti bermaruah, Pas - parti bermartabat dan Pas - parti paling berakhlak serta paling ampuh berbanding PKR dan DAP. Berikut pandangan penganalisis politik Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang harus difikirkan oleh Pas.
''Malang buat Pas yang hanya melukut di tepi gantang. Hanya berputih mata melihat pengorbanan mereka ke atas parti dan agenda Islam hanya untuk memuaskan selera politik Anwar, PKR dan DAP. Pas hanya menelan air liur tetapi rakan-rakannya yang lain sedang rakus menjamu selera politik. Mahu tunggu apa lagi Pas?"
Bagi penulis, jawapannya ada dalam sanubari pemimpin dan ahli Pas yang benar-benar berjuang untuk memartabatkan orang Melayu dan menegakkan Islam.
Oleh : Zulkifly Bakar
Suara Politik
Belantan
#MH 17: Hanya 62 mayat ditemui sempurna?
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan hanya 62 mayat mangsa nahas MH17 ditemui dalam keadaan sempurna.
Dalam satu wawancara khas dengan Astro Awani, Khalid memaklumkan bahawa mayat yang bertaburan di sekitar kawasan seluas 15 kilometer persegi, menyukarkan kerja-kerja mencari.
Khalid berkata, dia yakin bahagian mayat yang belum ditemui masih berada di lokasi berkenaan, dan berharap mendapat kerjasama, khususnya daripada penduduk tempatan untuk memaklumkan di mana mayat yang belum ditemui berada.
Biarpun yakin dengan ketelusan siasatan pakar, Khalid bagaimanapun tidak dapat memberi kepastian selama manakah proses siasatan akan berjalan. Malah beliau turut tidak menafikan kemungkinan bahan bukti telah diubah berikutan ia terbiar dalam tempoh masa yang lama sebelum pasukan pakar dibenarkan masuk ke lokasi nahas.
Pesawat MAS MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Ukraine pada 17 Julai lalu dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. Ia dipercayai ditembak namun belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukannya.
Suara politik
Belantan
Isnin, Ogos 04, 2014
POLIS AKAN BERTINDAK!
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan sekali gus akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan identiti Kelvin Yip kerana memaparkan kenyataan yang nyata menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis kini menyiasat akaun Facebook terbabit bagi mengesan pemiliknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita tidak akan berdiam diri atas kesalahan undang-undang ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UMO
Suara Politik
Belantan
Ahad, Ogos 03, 2014
Guan Eng sokong Wan Azizah MB Selangor?
Parti Pas terus dilihat bersendirian dalam mempertahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor selepas DAP hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak mempunyai halangan untuk menyaksikan Wan Azizah menggantikan Abdul Khalid apatah lagi tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang menyebut seorang wanita tidak boleh memegang jawatan Menteri Besar.
Malah, menurut beliau, pemimpin pembangkang juga akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini yang antara lain menyentuh mengenai persoalan sama ada seorang wanita boleh menjadi Menteri Besar atau sebaliknya.
Tambahnya, isu itu wajar diatasi terlebih dahulu yang mana semua pemimpin pembangkang daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas perlu bersetuju seorang wanita boleh menyandang jawatan tersebut.
"Kita perlu membuat pendirian itu untuk membuktikan pembangkang bersifat inklusif dan menyokong kepelbagaian," katanya kepada pemberita di sini.
Sebelum ini, Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menerima cadangan menyingkirkan Abdul Khalid dan mencalonkan Presiden PKR yang juga isterinya, Wan Azizah sebagai pengganti.
Walau bagaimanapun, hasrat Anwar itu ditentang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahan Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan tersebut memandangkan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
Isu penggantian Menteri Besar Selangor itu meletakkan pembangkang dalam krisis terburuk selepas beberapa pemimpin Pas terutama di Selangor menyuarakan hasrat keluar daripada pembangkang kerana rasa tidak puas hati.
Suara politik
Belantan
Pakar fitnah PKR, Rafizi tuduh pemimpin Pas khianat?
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa mesej kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat tentang senario yang dijangka berlaku sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang menggambarkan kewujudan unsur-unsur khianat dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pendapat dan sentimen yang dinyatakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dalam mesej yang dipercayai dibocorkan oleh seorang pemimpin Pas itu bercanggah dengan janji-janji yang dimeterai parti tersebut dalam pakatan pembangkang.
Malah, menurut beliau, kenyataan perkauman songsang yang dibawa oleh Mohd. Zuhdi telah merosakkan pandangan bukan Islam terhadap mesej Islam membawa rahmat ke seluruh alam yang dibawa oleh Pas sendiri.
"Oleh yang demikian, saya memohon supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tindakan disiplin ke atas Mohd. Zuhdi yang akan diambil oleh Pas apabila beliau mengutarakan cadangan yang khianat kepada perjanjian yang Pas meterai dengan pakatan pembangkang dan rakyat yang mengundi Pas serta pakatan pembangkang.
"Berapa ramai lagi daripada kalangan pimpinan pusat Pas yang berpandangan perkauman dan antidemokrasi seperti ini supaya kita tahu pendirian mereka, bukannya bermuka-muka di depan dan mengutarakan cadangan yang khianat kepada pakatan pembangkang dalam perbincangan tertutup seperti Mohd. Zuhdi ini?," katanya menerusi kenyataan dalam laman blog beliau di http://rafiziramli.com hari ini.
Mesej WhatsApp yang dikatakan mengandungi perbincangan sulit antara sekumpulan pemimpin kanan Pas sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang dan bekerjasama dengan UMNO itu tersebar sejak kelmarin.
Berdasarkan kepada cetakan skrin yang dipaparkan portal Hornbill Unleashed di http://hornbillunleashed.wordpress.com/2014/07/29/61691/ hari ini, Mohd. Zuhdi memberi analisis bahawa Pas mungkin boleh mengekalkan penguasaan parti itu di Selangor sekiranya bergabung dengan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan dua ADUN PKR.
Sementara itu, dalam kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, Mohd. Zuhdi menjelaskan, maklumat perbincangan yang sangat sulit dan rahsia tersebut dipercayai telah dibocorkan oleh salah seorang pemimpin kanan parti di dalam kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat.
Beliau memberitahu, tindakan tersebut membangkitkan 'fitnah yang sedang tidur' pada hari terakhir Ramadan sekali gus menunjukkan sikap sangat buruk pada individu terbabit.
"Ini dilakukan untuk memalitkan nama saya dengan gerakan untuk membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang setelah saya melakukan beberapa kritikan keras ke atas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor.
"Saya menegaskan bahawa saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul keluar pakatan pembangkang itu," katanya.
Jelas Mohd. Zuhdi, beliau membuat analisis tentang senario yang bakal berlaku jika Pas keluar daripada pakatan pembangkang khususnya dari segi kedudukannya di Selangor setelah dipersetujui oleh ahli kumpulan WhatsApp terbabit.
Suara Politik
Belantan
Sabtu, Ogos 02, 2014
Tony Pua hanya syok sendiri - Pas?
Kenyataan kononnya Pas akan lenyap di Selangor sekiranya pilihan raya mengejut diadakan ekoran krisis dalam kalangan pakatan pembangkang berhubung kedudukan pucuk pimpinan negeri Selangor gagal diselesaikan merupakan kenyataan 'syok sendiri.'
Sambil menempelak kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap kuat dan bangkit dengan jenteranya yang semakin meluas di semua peringkat.
Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti, peribadi, bakti mereka dan persoalan Pas akan lenyap merupakan suatu yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan di negara ini sejak 51 tahun lalu.
"Pas tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu, kita jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi untuk kita kuasai.
"Kita ada jentera di mana-mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.
"Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya adalah 'syok sendiri'," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan pembangkang berisiko kalah, manakala Pas pula mungkin lenyap kerana kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.
Amaran itu dibuat berikutan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar yang boleh menimbulkan perpecahan ketara pakatan pembangkang.
Dr. Mohd Khairudin berkata, sekiranya pakatan pembangkang tewas, PKR seharus dipersalahkan sebagai punca dan bukannya Pas kerana mencetuskan konflik ini.
"Pas hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah PKR," katanya.
"Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. Pas hanya mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk menurunkan dia," ujarnya.
Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap Abdul Khalid, maka adalah menjadi tanggungjawab Pas sebagai pemimpin ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.
Suara Politik
Belantan
Hadiah PKR kepada rakyat PALESTINE?
Isu Krisis Menteri Besar Selangor sengaja di muat naikkan secara berterusan adalah bertujuan untuk menghilangkan isu serangan di Palestine yang mana pemimpin PKR iaitu Anuar Ibrahim mempunyai kaitan dalam isu sokongan terhadap Israel..!!!
Amat mengejutkan apabila sebuah akhbar dari Israel menamakan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Apakah kaitan Israel dengan Anwar Ibrahim? Kenapa Israel inginkan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia?
Fikir dan renongkan lah....!!!
Suara politik
Belantan
Amaran Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP kepada Pas?
Kenyatan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook pada 29 Julai 2014 di Kuala Lumpur.
DAP menyeru pimpinan PAS pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Dr Zuhdi dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat khasnya DAP di seluruh negara terhadap PAS.
DAP amat terkilan dengan pendedahan mesej Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam “Whatsapp AJK PAS Pusat” yang berbunyi;
“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi ADUN PKR+12 UMNO, dah bentuk simple majoriti. UMNO dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB..Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini...”
Yang pertamanya, Dr Zuhdi tidak menafikan menulis mesej tersebut tetapi cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa apa yang ditulis oleh beliau adalah “analisis senario” kepada cadangan oleh seorang pemimpin kanan PAS supaya PAS keluar dari PR.
“Analisis” sebegini lebih-lebih lagi dari seorang pemimpin PAS pusat adalah sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat. Walaupun cadangan untuk kekal atau keluar dari PR adalah hak pimpinan PAS, namun cadangan untuk bergabung dengan UMNO dan membentuk kerajaan negeri Selangor adalah satu pengkhianatan bukan sahaja kepada PKR dan DAP, tetapi juga kepada rakyat Selangor khasnya kaum Cina yang telah memberikan mandat yang jelas kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13.
Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dan dihina dengan sekeras-kerasnya. Saya ingin mengingatkan Dr Zuhdi dan mana-mana pimpinan PAS supaya memahami analisa politik bahawa kemenangan kerusi-kerusi yang dimenangi PAS di Selangor adalah melalui sokongan kuat kaum Cina yg menyokong DAP. Pimpinan PAS tak perlu berlagak sombong atau bongkak kerana DAP memainkan peranan besar dalam PRU13 yang lepas. Kalau mengharapkan sokongan kaum Melayu semata amat mustahil untuk PAS menang 15 kerusi DUN di Selangor!
Yang keduanya dan lebih mendukacitakan ialah seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS yang sepatutnya diamanahkan sebagai “think tank” kepada PAS boleh “mengimaginasi” untuk “menjentik DAP, gereja dan non Muslim” apabila ada pandangan yang berbeza. Ke mana perginya sifat keterbukaan dan toleransi slogan “PAS for ALL”?
Saya juga tidak pernah ada imaginasi bahawa seorang pemimpin PAS boleh “mengimaginasi” seperti UMNO untuk mengembalikan kuasa politik Melayu Islam melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya. Bukankah cadangan seperti ini seolah-olah bersekongkol dengan SPR dan tiada beza dengan agenda dari PERKASA?
Cadangan dan pemikiran Dr Zuhdi ini amat mencemarkan imej positif PAS yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan keadilan dan kuat berpegang kepada prinsip. Saya yakin majoriti pemimpin PAS Pusat bersama DAP dan amat tidak bersetuju dengan cadangan dan pandangan Dr Zuhdi.
DAP menyeru pimpinan PAS pusat supaya mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri daripada cadangan Dr Zuhdi dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara terhadap PAS. PAS juga perlu memecat Dr. Zuhdi bagi menghormati dasar kerjasama dengan DAP. Ingatlah bahawa DAP tidak memerlukan PAS sebaliknya PAS yang memerlukan DAP untuk mendapat undi kaum bukan Melayu.
Setiausaha Agung Organisasi
DAP Kebangsaan
LOKE SIEW FOOK
Suara Politik
Belantan
Panas....!!! 13 fakta kekuatan Pas tersebar dalam laman sosial?
Kenyataan 13 fakta kekuatan Pas dalam pakatan pembangkang kini tersebar luas dalam laman media sosial dan juga kumpulan-kumpulan WhatsApp.
Difahamkan, penyebaran fakta-fakta berkenaan adalah ekoran hubungan antara Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang semakin meruncing berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor.
Fakta-fakta itu juga merupakan mesej bahawa Pas paling layak mengetuai pakatan pembangkang dan bukannya PKR atau DAP.
Berikut adalah kenyataan yang tersebar;
FAKTA - Kekuatan pakatan pembangkang terletak pada Pas. Tanpa ahli dan penyokong Pas, pakatan pembangkang tidak akan berfungsi. Akar umbi pakatan adalah Pas.
FAKTA - Sejarah penubuhan pakatan pembangkang tidak akan berjaya jika Pas tidak terlibat. Ahli dan penyokong Pas yang membuatkan pakatan nampak ramai dan kuat.
FAKTA - DAP merupakan sekutu paling kurang ahli dan penyokong di awal penubuhan pakatan. Tanpa Pas, parti Lim Kit Siang anak beranak tidak bernyawa.
FAKTA - Hasil bantuan Pas, pemimpin DAP dapat sokongan Melayu bagi menumbangkan UMNO. Tanpa Pas sudah pasti DAP tumbang kepada MCA dan Gerakan.
FAKTA - Pas merupakan tunjang kekuatan pakatan pembangkang kerana ahli dan penyokongnya adalah hardcore dalam memastikan pakatan terus relevan.
FAKTA - PKR merupakan sekutu paling lemah di dalam pakatan pembangkang kerana mempunyai ahli yang sedikit.
FAKTA - Jika diletak pertandingan 1 lawan 1 antara Pas vs PKR, kemenangan akan memihak kepada Pas di semua kerusi majoriti Melayu.
FAKTA - Ahli dan penyokong PKR terdiri daripada mereka yang dibuang daripada UMNO, MIC, MCA, Gerakan kerana pelbagai masalah.
FAKTA - PKR mengetuai setiap demonstrasi yang diadakan pakatan pembangkang namun tanpa penyertaan ahli Pas, demonstrasi PKR tidak akan mendapat sambutan
FAKTA - Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng (bukan Islam) tidak layak. Datuk Seri Anwar Ibrahim masalah moral (kes liwat) tidak layak. Datuk Seri Abdul Hadi Awang paling layak ketuai pakatan pembangkang. Suara Pas lebih ramai dalam pakatan.
FAKTA - Sedarlah wahai ahli dan penyokong Pas, tanpa kamu pakatan pembangkang tidak punya apa-apa. Apatah lagi nak harapkan PKR.
FAKTA - PKR sudah lama mempergunakan Pas. Sudah sampai masanya ahli dan penyokong Pas terajui pakatan pembangkang kerana suara anda lebih kuat dan berpengaruh.
FAKTA - Ahli dan penyokong serta kepimpinan Pas, dengarlah suara hati anda dan fikirlah dengan bijak. Mahu jadi keldai tunggangan DAP dan PKR atau ketuai pakatan.
Suara Politik
Belantan
Jumaat, Ogos 01, 2014
PKR, DAP tidak adil - Pas Selangor?
Sallehen Mukhyi
Pas Selangor membidas sikap beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang terlalu 'ghairah' mahu parti itu mengambil tindakan disiplin terhadap Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang didakwa mencadangkan senario yang dijangka berlaku sekiranya Pas keluar daripada pakatan pembangkang.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, desakan PKR dan DAP tidak sepatutnya timbul apatah lagi diperbesar-besarkan sehingga menjadi polemik dalam pakatan kerana mesej terkandung dalam WhatsApp itu merupakan satu perbincangan berkumpulan tertutup yang mana masing-masing berhak memberikan pandangan mengenai sesuatu perkara.
Ini kerana katanya, memberikan pandangan dalam sesuatu isu merupakan amalan biasa berlaku dalam mana-mana perbincangan dan tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, termasuklah dakwaan terhadap Mohd. Zuhdi yang dikatakan membayangkan senario Pas jika keluar daripada pakatan pembangkang.
"Justeru, adalah tidak adil mana-mana pihak (sama ada PKR dan DAP) menyalahkan Mohd. Zuhdi tentang pandangan beliau mengenai senario jika Pas keluar daripada pakatan.
"Selain itu, perbincangan dalam mesej dalam WhatsApp yang dikatakan melibatkan Mohd. Zuhdi itu hanyalah satu perbincangan kumpulan semata-mata dan bukannya ketetapan rasmi yang menjadi pendirian Pas Pusat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dilaporkan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tindakan disiplin yang akan diambil oleh parti itu ke atas Mohd. Zuhdi kerana didakwa mengutarakan cadangan senario yang akan berlaku sekiranya Pas keluar daripada pakatan pembangkang menerusi mesej kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat.
Tidak berpuas hati dengan cadangan tersebut, Rafizi turut menyifatkan tindakan Mohd. Zuhdi itu adalah bercanggah dengan janji-janji yang dimeterai di antara Pas, PKR dan DAP.
Selain Rafizi, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan turut menggesa Pas mengambil pendirian tegas terhadap Mohd. Zuhdi selain menyifatkan cadangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas itu sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat.
Dalam pada itu, Sallehen turut menyatakan Pas Selangor menyerahkan kepada kepimpinannya di peringkat pusat untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan siasatan terhadap Mohd. Zuhdi atau sebaliknya.
"Jika Pas Pusat mengadakan siasatan, perkara itu haruslah turut melibatkan juga pihak yang bertanggungjawab menyebarkan mesej kumpulan WhatApps tersebut dan PKR serta DAP harus bersabar.
"Sekiranya ada tindakan diambil, pihak yang menyebarkan mesej itu harus dikenakan tindakan tegas kerana mengeruhkan hubungan antara parti dalam pakatan," tegasnya.
Pada masa sama, Sallehen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri mahu semua parti dalam pakatan memberikan perhatian kepada pembangunan di negeri ini sebagaimana diamanahkan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catatan (Atom)








.jpg)





































