Ahad, Mei 25, 2014

Politik 'kain terlondeh' PKR terdedah?


Fakta yang tertera adalah berkaitan sikap pemimpin dan ahli PKR ketika pilihan raya umum lalu. Kesemuanya bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka parti terbaik di muka bumi Allah ini dan sesungguhnya mereka sentiasa memperjuangkan keadilan, demokrasi dan ketelusan.

Tetapi lihatlah apa berlaku dalam pemilihan PKR yang hari ini genap sebulan berlangsung di seluruh negara melalui sistem 'satu undi satu ahli'.

Ketika PKR begitu selesa membuat pelbagai tohmahan kepada SPR dan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta bersedia 'menghalalkan' apa juga tindakan mereka atas nama demokrasi, pemilihan PKR membuktikan parti itu tidak ubah seperti 'menuding kain orang lain terkoyak, kain sendiri sudah terlondeh.'

Sebelum dan selepas PRU-13 lalu, PKR yang disokong oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) begitu ghairah menyerang habis-habisan SPR dan kerajaan, seolah-olah pilihan raya umum lalu penuh kepincangan walaupun pembangkang mengekalkan kuasa di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Tetapi sekarang di manakah Bersih? Dan apa pula kata pemimpin-pemimpin PKR apabila pemilihan parti itu penuh dengan seribu satu masalah?


Ketika mereka begitu celupar menuduh SPR bersekongkol dengan kerajaan BN, bagaimana pula dengan tuduhan dalam PKR sendiri yang menyatakan Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) 'berat sebelah' dan tidak telus sehingga ada yang mahu anggota jawatankuasa itu meletakkan jawatan?

Kenapakah sebelum ini PKR begitu seronok mendesak pegawai-pegawai SPR berbuat demikian kononnya atas nama ketelusan tetapi tidak mahu pula bertindak dalam parti sendiri?

PKR mendakwa, ada pengundi hantu ketika PRU-13 malah paling tidak munasabah menuduh BN mengekalkan kuasa dengan bantuan 40,000 warga Bangladesh. Namun sehingga ke hari ini dakwaan itu tidak dibuktikan.

Tetapi dalam pemilihan PKR, sebagai contoh di Pulau Pinang, pemilihan di Cabang Nibong Tebal diisytiharkan tidak sah dan batal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam perlumbaan tiga penjuru untuk merebut jawatan pengerusi negeri.

Walaupun bilangan pengundi berdaftar untuk mengundi adalah 672 orang, Jawatankuasa Pemilihan terkejut apabila mendapati sejumlah 838 kertas undi dikumpul pada akhir proses pengundian.

Oleh itu siapa sebenarnya 'lebih pakar' untuk mewujudkan pengundi hantu?

PKR menuduh berlaku blackout - bekalan elektrik terputus di beberapa pusat pengiraan undi termasuklah di Bentong, Pahang ketika proses pengiraan undi PRU-13 berlangsung.

Bagimanapun tuduhan itu tidak dibuktikan sehingga ke hari ini tetapi dalam pemilihan PKR sekurang-kurangnya dua tempat berlaku bekalan elektrik terputus sehingga mencetuskan kekecohan. Kenapa pemimpin PKR tidak menyatakan ia dirancang?


PKR juga pernah mempertikai pusat pengiraan undi dengan pelbagai hujah tetapi lihatlah pula bagaimana proses pengiraan undi bagi pemilihan parti itu. Kanak-kanak yang masih belajar matematik pun turut dibenarkan untuk mengira undi. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana proses itu dilakukan dalam bilik hotel.

Ketika memasuki musim PRU-13, PKR mengambil beberapa tindakan mahkamah ke atas media yang mengkritik parti itu. Mereka berhujah, ia bertujuan mencari kebenaran, tetapi apabila berlaku saman menyaman antara pemimpin mereka sendiri, kenyataan yang diberikan ialah 'kritikan harus diterima sebagai tindakan positif dan selaras dengan amalan demokrasi'.

Tetapi pernahkah hujah yang sama wujud dalam pemikiran pemimpin PKR apabila mereka mengambil tindakan undang-undang ke atas media?

Bagaimanapun tindakan PKR yang 'paling hebat' ialah melancarkan demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan PRU-13. Pemimpin-pemimpin parti itu menggesa rakyat bersama-sama mereka dengan menguar-uarkan ia selaras amalan demokrasi dan demi menegakkan keadilan serta menentang kepincangan.

Namun lihat apa yang berlaku baru-baru ini apabila Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan ahli-ahli PKR yang mengadakan demonstrasi di hadapan ibu pejabat parti itu bersurai kerana dianggap mencalarkan imej parti. Soalnya, di manakah prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang selama ini dilaung-laungkan oleh PKR?

Sebenarnya, banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam pemilihan PKR termasuklah perbuatan ahli parti itu memaki hamun pemimpin mereka di hadapan khalayak. Apa yang dipaparkan membuktikan PKR sama sekali tidak layak untuk membuat sebarang tuduhan tidak berasas kepada SPR dalam menguruskan pilihan raya.


Ini memandangkan pemilihan parti itu penuh dengan kepincangan, kalaulah situasi yang berlaku mahu diterjemahkan sebagai satu pilihan raya bagi sebuah negara sudah pasti huru-hara akan tercetus. Jika begitulah keadaannya bagaimanakah PKR mahu memerintah negara, sedangkan pemilihan dalam parti pun macam mahu 'perang saudara'?

Mungkin juga apa yang terjadi mempunyai kaitan dengan kehangatan perebutan jawatan penting dalam parti itu khususnya bagi kerusi Timbalan Presiden PKR. Setakat kelmarin, penyandang jawatan itu, Azmin Ali mendahului dua pencabarnya. Azmin menguasai 14,676 undi manakala 'musuh politiknya’ iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (10,318 undi) dan seorang lagi calon yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution (7,306 undi).

Bagaimanapun persaingan belum tamat dan sudah pasti Azmin pun masih belum selamat daripada gerakan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu. Ini memandangkan pola perolehan undi dijangka berubah apabila 35 cabang PKR mengadakan pemilihan semula mulai 31 Mei hingga 22 Jun ini.

Sumber dalaman parti itu memberitahu, laluan Azmin untuk mengekalkan jawatan masih sukar kerana Abdul Khalid dilihat mampu memberi saingan sengit kepada beliau. Kata sumber itu, dengan keadaan Datin Dr. Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kedudukannya sebagai Presiden dengan bantuan suaminya, ia sudah tentulah memberi isyarat kepada ahli-ahli PKR, siapakah yang Wan Azizan paling selesa untuk bergandingan, yang pasti ia bukanlah Azmin.

Namun siapa pun menang ia tidak akan menutupi segala kepincangan yang berlaku dalam pemilihan PKR sebab itulah ada 'bunyi-bunyi’ yang menyatakan ada dalam kalangan pemimpin Pas dan DAP menganggap pemilihan PKR adalah mimpi ngeri untuk mereka. Kini sudah terbukti ia bukan sekadar mimpi tetapi satu realiti.

Oleh : Zulkifly Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: