Khamis, Mei 15, 2014

Ahmad Said minta maaf!


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memohon maaf atas tindakannya mencetuskan kekecohan politik di negeri itu ekoran proses peralihan kepemimpinan yang berlaku kelmarin.

Ahmad menyifatkan isu itu telah selesai dan akan terus bersama dalam perjuangan parti setelah beliau dan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada awalnya memutuskan menjadi wakil rakyat Bebas telah menarik balik surat untuk keluar parti.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini petang ini, beliau juga menyatakan kesediaan untuk membantu penggantinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam usaha mengukuhkan semula parti.

Sementara itu, Tengku Adnan perlu bertanggungjawab!

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik UMNO di Terengganu yang menyaksikan bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan keluar daripada parti dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.


Pandangan peribadi itu dilontarkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad yang mahu Tengku Adnan meletak jawatan kerana gagal menguruskan isu peralihan teraju kepemimpinan negeri itu secara baik sehingga mencetuskan kemelut berkenaan.

“Saya secara peribadi minta beliau (Tengku Adnan) letak jawatan, kerana bagi saya, beliau selaku delegasi (wakil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) telah gagal menguruskan isu terbabit. Kita tahu Datuk Seri (Ahmad) meminta ditangguhkan dahulu (peralihan kepemimpinan) kerana anaknya nak berkahwin. Apakah ini (alasan) tidak boleh diterima?

“Apa salahnya dilewatkan (tangguh peralihan). Ini sudah jadi kelam-kabut. Apabila isu ini tak ditangani secara bijaksana, yang buruknya nampak kepada UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau mengulas situasi terkini politik Terengganu dengan Ahmad mengumumkan keluar daripada UMNO diikuti ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Mohamad Azli memberitahu, bekas Menteri Besar Terengganu itu seharusnya diberikan ruang yang 'selesa' untuk peralihan kepemimpinan.

“Bagi saya beliau (Ahmad) ada ‘hati perut’, cuma dalam keadaan marah, siapa tak marah, seolah-olah tidak berjasa. Pucuk pimpinan tertinggi parti kena jumpa beliau semula. Kita (UMNO) parti yang berjiwa besar, apa salahnya turun, jumpa beliau dan saling memahami. Jadi kelam-kabut kalau masing-masing nak tunjuk ego," tambahnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: