Sabtu, Mei 17, 2014

Bahaya politik ekstrim?


Dalam mana-mana agama, golongan ekstremis sentiasa wujud. Ia menjadi lebih berbahaya sekiranya tafsiran-tafsiran agama itu dilibatkan dengan politik. Golongan ini biasanya yakin bahawa kepercayaan dan tafsiran mereka sahaja yang betul dan ia perlu dianuti oleh setiap orang. Mereka ini adalah dogmatik.

Mereka cuba untuk mengenakan kepercayan itu ke atas orang lain, atai sekurang-kurangnya tidak akan bertolak ansur terhadap perbezaan pendapat berhubung tafsiran agama.

Justifikasi agama digunakan untuk memberi keabsahan kepada bentuk politik sesebuah masyarakat dan negara, dan dalam banyak kes kepada tindakan-tindakan peribadi. Di Timur Tengah, beberapa tahun lalu ada kumpulan Islam yang percaya bahawa sekiranya anda memasang bom pada badan atau memandu kereta berisi bom yang boleh membunuh orang Yahudi, jika anda mati berikutan perbuatan itu, anda akan mati syahid.

Dalam perang Iran-Iraq pada awal tahun 1980-an, tafsiran ketika itu ialah seorang askar Iran akan dianggap mati syahid jika mereka terkorban dalam peperangan dengan Iraq, sebuah negara Islam yang dianggap pro-Barat pada masa itu. Hari ini di Malaysia, justifikasi yang sama dibuat oleh kumpulan-kumpulan Islam tertentu dalam konteks politik tempatan. Jika seoarng pemuda mati terjatuh pokok ketika sedang memasang bendera sebuah parti politik, dia mungkin dikatakan sebagai mati syahid – terkorban ketika menjalankan kerja-kerja politik agama.


Kalau seseorang itu mati dalam kemalangan jalan raya selepas pulang mendengar sesebuah parti politik yang berlangsung sehingga tengah malam, elemen-elemen agama akan digunakan untuk memberi definasi kepada persekitaran yang menyelubungi kematian itu. Ekstrimis agama bukan terdapat dalam masyarakat Islam sahaja tetapi juga dalam masyarakat agama-agama lain termasuk Hindu, Sikh dan Kristian.

Dalam sejarah dunia Barat, Tafsiran agama yang melampau telah menyebabkan berlaku peperangan yang paling kejam di Eropah antara tahun 1618 dan 1648 yang dipanggil Perang Tiga Puluh Tahun antara para pemimpin Kristian Protestan dan Katolik. Peperangan itu telah mengurangkan jumlah pendudduk Jerman pada abad itu daripada 21 juta pada tahun 1618 kepada 13 juta orang sahaja apabila perang berakhir.

Di negara-negara Islam pula, pengalaman di Tanah Arab beberapa puluh tahun selepas kewafatan Rasulullah menunjukkan kepentingan material termasuk usaha mengejar kuasa, pangkat, harta dan keagungan bangsa Arab telah mewujudkan tafsiran-tafsiran dalam Islam yang membawa kepada penindasan.

Pada awal pemerintahan Muawiyah (kira-kira 40 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w) wujud apa yang dipanggil golongan mawali iaitu kaum daif daripada orang bukan Arab yang memeluk Islam. Autoriti kerajaan Islam pada zaman Muawiyah menetapkan dari segi sosial, golongan mawali lelaki tidak boleh berkahwin dengan perempuan Islam keturunan Arab.

Ada insiden lelaki mawali diperintahkan bercerai dengan isterinya dan dihukum sebat seratus rotan. Mawali tidak boleh sembahyang dalam masjid yang sama dengan orang Islam lain dan tidak dibenarkan memegang jawatan penting dalam politik, kehakiman dan ketenteraan.

Pada masa pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, gabenornya di Kufah yang bernama al-Hajjaj telah menindas petani-petani mawali. Petani-petani itu dihalau dari Kufah dan diberi tanda pada tangan mereka untuk menunjukkan nama kampung mereka bagi memudahkan mereka dikesan.

Atas nama keinginan untuk berkuasa ke atas orang lain, semua ini dihalalkan.
Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: