Jumaat, Mei 23, 2014

Apalah nasib Melayu DAP...?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin, selepas sekumpulan pemuda berdemonstrasi menuntutnya memohon maaf atas ungkapan 'UMNO celaka' yang dibuatnya. Turut sama Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (kanan).

Kalau ‘UMNO celaka’ seperti diungkapkan RSN Rayer, apa agaknya panggilan untuk calon DAP kerusi Parlimen Teluk Intan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Pulau Pinang itu?

Ibunya orang UMNO, kaum keluarga dan sanak-saudaranya barangkali orang UMNO juga. Bukankah UMNO, ahlinya orang Melayu. Ada 3.4 juta orang Melayu di dalamnya. Apakah penghinaan Rayer ini boleh diterima?

Dalam sejarah sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), kalau tidak silap penulis, ini kali pertama seorang ADUN mencelakakan parti pesaingnya. Sungguh kurang ajar. Apakah perbuatan biadab mengeluarkan ungkapan ‘UMNO celaka’ ini boleh dianggap penghinaan terhadap seluruh orang Melayu?

Yang penting, tidak terasakah calon Melayu DAP di Teluk Intan dengan nistaan Rayer itu?

Jika itulah sifat si Rayer, bagaimana agaknya nasib Melayu dalam DAP? Nasib yang ibarat melukut di tepi gantang ahli Melayu dalam DAP sebenarnya sudah dimaklumi semua.

Pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif DAP (CEC) yang berakhir hujung 2012 menyaksikan kesemua calon Melayu gagal dipilih untuk memenuhi 20 slot jawatankuasa itu. Ia hanya menunjukkan betapa kuatnya sema­ngat perkauman bagi DAP.

Naib Pengerusi DAP Johor, Ahmad Ton, antara yang tidak diundi memegang jawatan CEC. Dia antara Melayu yang telah menyokong DAP berdekad lamanya - 36 tahun. Walaupun tidak dipilih, Ahmad Ton masih lagi percaya dengan slogan Malaysian-Malaysia DAP.

Untuk ‘menjaga hati’ DAP, Ahmad Ton memberitahu kekalahannya mungkin ber­­punca­ masalah angin ahmar yang dihidapinya dan juga perwakilan masih tidak dapat memahami konsep Malaysian-Malaysia.

Jika Ahmad Ton dikatakan telah me­ma­lukan bangsa Melayu, bagaimana pula dengan yang lain seperti Zulkifli Mohd. Noor. Zulkifli yang sebelum ini Naib Pe­nge­rusi parti itu pernah menyalahkan seorang lagi Naib Pengerusi, Tunku Abdul Aziz atas kegagalannya mengekalkan jawatan CEC.

Katanya, tindakan Tunku Aziz mening­galkan jawatannya adalah sebab mengapa kuasa Melayu di DAP semakin menghilang. Tetapi akan adakah ‘kuasa’ Melayu dalam DAP? Sejak bila pula Melayu mempunyai sebarang kuasa dalam DAP?

Ini antara rahsia yang telah diketahui umum. DAP meneruskan sema­ngat perkauman daripada parti PAP di Singapura. Selagi semangat kiasu masih membara, selagi itulah DAP tidak boleh dijadikan kawan.

Untuk melihat kerajaan yang berfungsi dengan baik, Tunku Abdul Aziz akhirnya sedar dan bertindak keluar DAP. Namun, Ahmad Ton dan juga calon-calon Melayu DAP yang kalah seperti Dr. Ariffin S.M. Omar, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Sulaiman Syed Ibrahim, Roseli Abd. Ghani, Harun Ahmad dan juga Melayu DAP yang lain, tidak kisah terus diperlakukan.

Tetapi akhirnya pada Oktober tahun lalu Zulkifli juga menyusul Tunku Abdul Aziz. Dia mengumumkan peletakan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri Pulau Pinang. Jawatan yang bukan kecil anak juga iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen Bayan Baru, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri dan Pengarah Penang Global Tourism. Namun, Zulkifli masih kekal sebagai ahli parti itu yang di­sertainya sejak 27 tahun lalu.

Tindakan itu, kata Zulkifli, adalah di dalam situasi suai munafaat berasaskan kepada kedudukan terkini pemimpin DAP yang dilihat telah jauh tersasar dari sudut kepimpinan mereka sama ada menerusi parti mahupun melalui kerajaan negeri.

"Saya tidak terkhilaf mengatakan bahawa cara kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini tidak menyebelahi rakyat. Sebaliknya dilihat telah memesong kepada pemerintahan kuku besi yang hanya menguntungkan golongan yang bertaraf elit sahaja.

"Perjuangan asal DAP yang bertunjangkan sosial demokrat kini telah bertukar haluan kepada kapitalisme dan diktator," kata Zulkifli. Dia mendakwa ungkapan kepimpinan berteraskan ‘Saidina Umar Abdul Aziz’ merupakan retorik semata-mata.

DAP sentiasa menggambarkan diri parti berbilang kaum tetapi hakikatnya tidak. DAP bukan parti untuk orang Melayu. Sekumpulan kecil orang Melayu termasuk ‘seorang’ di Teluk Intan dipergunakan untuk menghidupkan slogan DAP yang ‘berbilang kaum’. Tetapi tiada satu kerusi untuk orang Melayu daripada 19 kerusi DUN yang ditandingi DAP pada pilihan raya umum lalu di Pulau Pinang.

Rayer enggan menarik balik atau memohon maaf akan kenyataan ‘UMNO celaka’. Akan ada lah jawapannya kepada penyokong DAP di Bukit Gelugor atau Te­luk Intan. Adakah segelintir Melayu dalam DAP atau yang membawa tiket calon bertanding untuk parti itu sedar ‘sentimen’ Rayer? -UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Unknown berkata...

Mohon Laluan Untuk Kenyataan Media Pembela berkenaan sikap tidak sensitif sesetengah pihak terhadap agama Persekutuan

http://www.bangkit.info/2014/05/kenyataan-media-pembela-berkenaan-sikap_24.html

Terima kasih atas ruang kebenaran.