Rabu, Mei 07, 2014

500 masyarakat Cina Temerloh sertai demonstrasi aman protes hudud?

LAI Thin Watt (lima dari kanan) dan Wong Tat Chee (enam dari kanan) bersama sebahagian daripada masyarakat Cina yang menyertai demonstrasi aman bagi membantah hudud Pas di Temerloh, Pahang, semalam.

TEMERLOH - Sebanyak 500 anggota masyarakat Cina daerah ini menyertai demonstrasi aman bagi menolak pelaksanaan hukum hudud oleh Kerajaan Pas Kelantan yang dijadual dibentang di Parlimen tidak lama lagi.

Demonstrasi aman itu diketuai oleh Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Temerloh, Datuk Lai Thin Watt dan Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee.

Demonstrasi itu bermula kira-kira pukul 11.15 pagi apabila para peserta yang membawa sepanduk bertulis Say No to Pas Hudud ber­arak ke Pusat Komuniti Parlimen Temerloh sambil melaungkan ‘Tolak Hudud Pas’.

Bagaimanapun para peserta yang tiba di Pusat Komuniti Parlimen Temerloh 20 minit kemudian gagal menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan kerana pejabat berkenaan ditutup.

Thin Watt berkata, lebih 30 persatuan Cina di daerah ini sepakat mengadakan bantahan aman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan hukum hudud.

Katanya, masyarakat Cina di daerah ini juga tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen Temerloh daripada Pas itu gagal mendengar luahan hati masyarakat Cina yang menolak pelaksanaan hukum hudud parti tersebut.

“Kita maklum bahawa kemena­ngan Nasruddin dalam pilihan raya umum lalu adalah hasil sokongan padu masyarakat Cina di daerah ini yang mahukan perubahan dan pembelaan.

“Sebab itu kita minta beliau mendengar luahan kita dan tidak menyokong pelaksanaan hukum ini di Malaysia," katanya di sini hari ini.

Katanya, perhimpunan yang kebanyakannya disertai ahli persatuan Cina itu tidak sesekali bertujuan menolak agama Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini sebaliknya hanya untuk menolak hukum hudud yang dibawa Pas.

“MCA Bahagian Temerloh bersama gabungan Persatuan Cina Temerloh berpegang kuat dengan falsafah saling hormat menghormati antara satu sama lain dan menolak hukum hudud yang dicadangkan oleh Pas.

“Kami tidak mahu melihat wujudnya dua sistem perundangan yang berlainan dalam negara kita. Kami amat bimbang hukum hudud yang dicadangkan Pas akan menim­bulkan syak wasangka dan salah faham antara kaum," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: