Jumaat, Oktober 11, 2013

Tarik subsidi gula daripada terus jadi punca 'pembunuh senyap'?


Kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam iaitu 'hampir 2.6 juta rakyat Malaysia telah menghidap penyakit kencing manis atau lebih manis dikenali dengan nama diabetes agak mengejutkan. Jika benar kenyataan tersebut, ia perkara yang amat membimbangkan dan harus ada tindakan segera dilakukan oleh kerajaan.

Jumlah yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan tersebut tidak termasuk jumlah pesakit yang tidak mendaftarkan diri untuk rawatan ke hospital. Pasti jumlahnya berlipat kali ganda jika ia dirangkumkan sekali.

Sudahlah Malaysia dikenali dengan tempat paling tinggi berlakunya kemalangan di dunia, kini ditambah pula dengan penyakit yang boleh mengakibatkan kerosakan anggota dalaman badan jika ia tidak dibendung dari awal.

Diabetes juga adalah pembunuh senyap yang dihadapi oleh manusia sejagat di alam ini. Ia boleh merosakkan urat-urat saraf utama serta boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang manusia.


Kita menjangkakan dengan pengurangan subsidi gula pada tahun lepas sehingga berlaku kenaikan pada harga gula di pasaran, menyebabkan permintaan gula berkurangan, namun di sebaliknya yang berlaku dan kenaikan tersebut kurang menakutkan rakyat Malaysia.

Malah, jumlah pesakit diabetes semakin meningkat setiap tahun.

Apakah harga gula masih murah di pasaran? Jika dahulu diabetes hanya dikatakan penyakit berketurunan, maka kini tanggapan tersebut adalah salah. Jika kita tidak menjaga pemakanan dengan baik, suka minum minuman berkarbonat serta gemar masakan manis, maka penyakit diabetes amat mudah dihidapi.

Oleh itu, amat dialu-alukan cadangan Menteri Kesihatan supaya kerajaan mengkaji semula jumlah subsidi yang diberikan kepada gula kerana ia langsung tidak menguntungkan kepada sesiapa pun di Malaysia. Memang benar badan manusia amat perlukan gula tetapi bukanlah dengan jumlah yang berlebihan. Jika ia diambil berlebihan, pasti pembunuh senyap akan hinggap ke badan manusia tersebut.


Penulis amat yakin, jika harga gula mahal di pasaran akibat penarikan subsidi oleh kerajaan, pasti jumlah gula pada makanan akan dikurangkan dengan serta-merta bagi mengekalkan harga jualan atau jika dinaikkan harga jualan, pasti pelanggan akan lari. Ini juga amat baik untuk kesihatan di masa akan datang.

Rakyat di Pantai Timur mungkin marah pada jika kerajaan menerima cadangan ini, tetapi masyarakat Malaysia 'akan datang' akan menghargai usaha murni kerajaan ini kerana masalah penyakit diabetes 'yang bukan keturunan' telah berkurangan dan dapat dibendung.

Kadang-kadang, cara dan tindakan kerajaan dalam menangani isu penarikan subsidi, tidak ditangani dengan betul. Apa jua tindakan kerajaan untuk membantu rakyat tidak diberi taklimat yang betul melalui media dan rakyat sehingga perkara baik selalu dinampak buruk di mata masyarakat terutama kepada pembangkang.

Cuba kita lihat ketika Perdana Menteri mengumumkan penarikan sedikit subsidi minyak, dengan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen. 'Walaupun ia akan membuatkan jumlah BRIM akan naik' tetapi isu itu tidak dimaklumkan oleh pegawai kerajaan secara lebih mendalam kepada media atau medium rakyat. Yang timbul hanyalah isu 'harga minyak naik' sahaja, sehingga kenaikan harga minyak tersebut telah membuatkan masyarakat keseluruhan marah kepada kerajaan.



Bermacam-macam perkataan buruk timbul seperti 'kerajaan zalim', 'kerajaan cekik darah' dan pelbagai ayat yang diluahkan oleh rakyat yang rasa dizalimi, sedangkan apa yang ingin dilakukan oleh kerajaan adalah 'ingin berlaku adil' kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan secara terus.

Oleh itu, pendidikan dan pemberitahuan berterusan haruslah dibuat terlebih dahulu kepada rakyat agar mereka selesa dan bersedia dengan kenaikan yang akan diumumkan, barulah pengumuman boleh dibuat.

Jika diabetes telah berada di badan manusia (akibat masalah terlebih gula yang tidak dikawal dengan baik) maka penghidapnya pasti memerlukan wang yang banyak bagi merawat penyakit tersebut.

Ini belum termasuk harga ubat dan pengurusan dialisis yang memerlukan jumlah wang yang besar jika masalah diabetes semakin kronik. Adakah perkara ini tidak dilihat oleh rakyat sebagai 'langkah bijak' oleh kerajaan 'jika' menarik balik subsidi gula ?


Kepada kerajaan, rakyat ingin menang - menang dan bukan hidup mereka semakin tersiksa. Maka, jika kerajaan setuju mendengar cadangan Menteri Kesihatan dan daripada penulis, maka adalah adil jika kerajaan dengan serta-merta mengalihkan subsidi yang ditarik daripada gula atau apa jua penarikan subsidi, ia hendaklah ditukar segera kepada subsidi pembelajaran percuma dan juga menaik taraf infrastruktur di luar bandar.

Pada pandangan penulis, 'ilmu dan pembangunan' lebih baik diutamakan dalam pemberian subsidi daripada 'membela pembunuh senyap' yang akan merubah kehidupan seseorang manusia kepada kesiksaan 'jika telah menghadapinya.'

Pihak insurans amat susah hendak menerima keahlian pesakit diabetes dan pasti mereka dianaktirikan jika memohon pakej insurans. Yang pasti, penyakit ini 'tidak akan sembuh' daripada badan manusia setelah dihidap. Oleh itu mencegah lebih baik daripada menyembuhkan.

Kasihanlah kepada masyarakat akan datang yang menempuh kehidupan dunia yang semakin mencabar.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

usin berkata...

tuan, aku masih tak percaya penarikan subsidi gula akan mengurangkan permintaan gula di pasaran. berapakah harga gula setelah subsidi dikurangkan atau dipotong habis. adakah rm3.00? rm4.00, rm5.00? permintaan akan tetap 'maintain' dan penyakit diabetis juga kekal maintain dikalangan rakyat malaysia. kesan langsung daripada penarikan subsidi ialah harga gula jadi agak mahal, kerajaan kena kutuk hari2, duit orang kampung makin banyak keluar, poket makin kosong dan lain2 yg menyebabkan rakyat makin marah kpd kerajaan. jikalau fokus utama ialah mengurangkan kes / mengawal kes diabetis yang semakin meningkat di kalangan rakyat malaysia, sewajarnya kempen besar-besaran berskala gila babi dilancarkan. pastikan kempen itu sampai tepat kepada sasaran. bukan setakat anjurkan kempen untuk penuhkan borang dan fail skt. majukan juga alternatif pemanis bukan gula spt stevia dan juga pokok lembe (buah pokok palma yg sangat manis). jadikan kempen itu lebih fokus kpd menjaga kesihatan, bukan kerana nak jimatkan 5 - 10 ringgit sebulan.