Jumaat, Oktober 25, 2013

Dalil Allah tunggal di dalam al-Quran!


Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membuat satu keputusan yang berkait rapat dengan kepentingan umat Islam di Malaysia apabila memutuskan majalah mingguan milik Gereja Roman Katolik, The Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Keputusan amat menggembirakan itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim serta Datuk Mohd. Zawawi Salleh selepas mahkamah membenarkan rayuan kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Isu itu mula tercetus apabila Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Berbalik kepada keputusan Mahkamah Rayuan itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang ketika ini berada di Mekah selepas menunaikan fardu Haji dalam satu mesejnya yang diberikan kepada Utusan Malaysia Khamis lalu (17 Oktober) mengajak semua umat Islam di negara ini bersyukur dengan keputusan tersebut.

Beliau membuat mesej tersebut pada Hari Raya Aidiladha iaitu selepas selesai menunaikan ibadat wukuf di Arafah.

''Namun dalam proses undang-undang ini kita faham masih ada satu lagi tempat atau medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan. Mungkin arahan yang tidak terduga berlaku nanti.

''Mungkin juga Malaysia bukan medan untuk pertarungan kalimah Allah. Mungkin ada Mahkamah Antarabangsa di Geneva yang mungkin akan sampai ke sana (untuk dibicarakan),'' kata Haron dalam mesej tersebut.


Walau apa pun beliau berkata, sebagai umat yang faham bahawa Islam itu adalah agama tauhid iaitu agama yang mengesakan Allah, yang beriktikad Allah itu Tunggal, kalimah suci itu wajib dipertahankan.

Menyentuh lebih lanjut mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga bekas Profesor di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, semua pihak di negara ini wajib menerima bahawa kalimah suci itu hanya eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Beliau berkata, perkataan Allah dalam Islam merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, Allah Yang Satu, Allah Yang Tunggal atau Allah Yang Ahad.

Selama-lamanya begitu, kata Haron sambil merujuk kepada pengertian Surah al-Iklhas yang mengandungi empat ayat.

Beliau berkata, di dalam surah tersebut Allah menyebut Qul, katakanlah (wahai Muhammad) kepada manusia, (Tuhanku) adalah Allah Yang Esa, Yang Tunggal. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Diperjelaskan kata Haron dengan sejelas-jelasnya di dalam surah itu, Allah yang tidak ada anak dan tidak ada bapa.

''Selepas pengertian Ahad (Esa) tadi itu dipermudahkan dengan kefahaman tidak ada anak dan tidak ada bapa diterangkan lagi bahawa tidak ada bagi Allah SWT sekutu dengan apa-apa pun,'' katanya lagi.

'Sekutu' ujar Haron bermakna penolong, pembantu atau apa sahaja yang dinamakan pelengkap kepada Allah.

Menurut tokoh agama tersebut, Allah itu maha sempurna dan perkara serupa juga ditekankan di dalam Surah al-Kafirun (mengandungi enam ayat).

''Surah ini amat popular. Boleh dikatakan kebanyakan imam kita sama ada di kampung atau di bandar terutama ketika solat maghrib biasanya surah ini amat popular. Rakaat pertama dibaca Surah al-Kafirun dan rakaat kedua Surah al-Ikhlas,'' katanya lagi.

Sebenarnya, kedua-dua surah tersebut amat berkait rapat tentang keesaan Allah, tentang Allah Yang Ahad dan Allah Yang Tunggal.

Oleh itu apabila ada pihak yang mahu mengambil kalimah suci itu dan kemudian diletakkan kepada Tuhan yang tidak Ahad, sudah tentu perkara tersebut sesuatu yang amat bertentangan dengan nas.

Sebab itu juga kata Haron, Surah al-Kafirun menerangkan sejelas-jelasnya kedudukan Allah kepada orang Islam.

Dalam surah tersebut dimulakan dengan kalimah Qul, katakanlah (Wahai Muhammad) kepada semua umat manusia, wahai orang kafir. Aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pun tidak sembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu, kamu ada Tuhan sendiri, itu hak kamu. Aku ada agamaku yakni agama yang menyebut Tuhan yang satu (Allah Yang Ahad).

Sehubungan itu kata beliau, mana mungkin Allah boleh dijadikan sebagai satu kesyirikan yang nyata sebagai contoh apabila dikaitkan kepada agama Kristian.

''Mereka berpegang kepada kepercayaan mereka. Tuhan mereka tidak satu, Tuhan mereka tidak tunggal,'' katanya lagi.

Beliau di dalam mesejnya itu turut mengemukakan sepotong ayat di dalam Surah al-Maidah ayat ke 73 yang bermaksud: "Sesungguhnya kufurlah orang yang mengatakan Allah itu adalah salah satu dari tiga tuhan, padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa.

''Yakni tidak ada Tuhan yang sebenar disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Esa, Allah Yang Tunggal. Inilah kalimah Allah yang patut diterima pakai dan dipertahankan,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, ajaran agama tauhid yang merujuk kepada agama yang mengesakan Allah bukan perkara baru.

Katanya, daripada Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW, para anbiya serta rasul yang diutuskan kepada manusia kesemuanya membawa agama menyembah tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah yang Tunggal, Allah Yang Esa.

''Daripada Adam, Idris, Nuh, Hud, Lut, Saleh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub, Zakaria sampai kepada Nabi Muhammad para rasul dan nabi yang mulia ini membawa agama tauhid.

"Jika Allah itu sudah tidak Ahad sudah tidak Esa maka rosaklah prinsip kefahaman paling asas dalam Islam. Ia juga boleh mengundang kemurkaan Allah,'' katanya lagi.

Sesungguhnya kata Haron, dalam dua kalimah syahadah (Rukun Islam pertama) setiap umat Islam wajib menyebut dengan jelas bahawa: "Saya bersaksi dengan seluruh hati nurani saya bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Esa."

Juga dilafazkan: "Saya bersaksi dengan jiwa raga saya bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah SWT Yang Maha Tunggal".

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: