Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan keikhlasan niat calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat mengunjungi Baharom Ramli, bapa kepada Ketua UMNO Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di rumahnya dan kemudian gambar kunjungan itu dimuat naik ke laman sesawang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, beliau tertanya-tanya apakah tujuan sebenar mereka berbuat demikian pada tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sedang berjalan.
Beliau berkata, jika ingin bercakap mengenai keikhlasan, beliau bersama calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim membuat kunjungan hormat ke atas Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah, balu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Tan Sri Azizan Abdul Razak dan keluarganya di Alor Setar pada malam hari pengenalan calon BN, 21 Oktober lalu.
"Rombongan kami berada kira-kira dua jam di rumah itu dengan berbual mengenai pelbagai perkara dan memperkenalkan calon kita sebagai kunjungan hormat kerana DUN Sungai Limau diwakili Allahyarham Azizan.
"Tetapi tiada pula kita nampak gambar daripada pertemuan itu dimuat naik kerana saya rasa itu satu cara kita. Hendak masuk kawasan orang kita beri salam dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Antara laman sesawang yang menyiarkan berita dan gambar kunjungan Mohd. Azam dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar ke rumah Baharom di Kampung Sedaka itu semalam ialah harakahdaily.net.
Pas terpaksa menggunakan helah dengan menjadi bapa kepada Menteri di JPM, DS Jamil Khir Baharom sebagai mangsa terbaru bagi meraih sokongan. Penipuan terancang yang dicanang oleh Harakahdaily. net.
Portal Terengganu Today telah pun menemui Baharom Ramli, 77 sendiri di kediamannya di Kampung Sedaka dan telah mewawancara sendiri apa sebenarnya yang terjadi. Yang pasti, bapa kepada DS Jamil Khir Baharom TIDAK PERNAH mendoakan supaya calon PAS itu menang.
Dalam pada itu, Mukhriz mencabar Pas membuat laporan polis berhubung dakwaan BN dikesan menawarkan habuan kewangan kepada para pengundi di DUN Sungai Limau dengan mensyaratkan mereka menunjukkan rakaman gambar kertas undi yang telah dipangkah sebagai bukti telah mengundi parti itu.
Menurutnya, beliau berani membuat cabaran berkenaan kerana perkara seumpama itu tidak akan berlaku manakala pembangkang terlalu mudah membuat dakwaan tanpa bukti.
Mengenai skim kafalah dilaksanakan kerajaan Pas terdahulu yang didakwa dihentikan oleh kerajaan BN Kedah, Mukhriz menegaskan terdapat kelemahan tertentu dalam skim berkenaan yang perlu ditambah baik.
Katanya, kerajaan BN Kedah menilai sesuatu perkara termasuk polisi yang dilakukan oleh kerajaan Pas terdahulu dan akan meneruskannya jika didapati ia memberi manfaat.
"Seperti kuliah setiap pagi Sabtu di Seri Mentaloon yang diteruskan, kemudian ada polisi tertentu yang dibuat oleh kerajaan negeri terdahulu yang kita teruskan.
"Selain itu, macam skim kafalah kita dapati ada kelemahan tertentu, kita hendak tambah baik. Itu sebabnya kita tidak menggunakan nama sama tetapi perkhidmatan itu kita teruskan," katanya.
Dalam pada itu, mengenai strategi pembangkang yang membangkitkan kekalahannya semasa pemilihan UMNO baru-baru ini dalam kempen PRK ini, beliau berkata, pemilihan itu sudah selesai dan semua ahli yang terlibat mengetahui bahawa pilihan raya lebih penting dengan kembali bersatu untuk membantu calon BN.
Bagaimanapun, katanya, ia berbeza dengan Pas kerana pemilihan mereka adalah pada bulan depan.
"Jadi apakah hadirnya pemimpin mereka di Sungai Limau ini untuk berkempen bagi memenangkan calon atau untuk diri mereka sendiri," soal beliau.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan