Selasa, Oktober 22, 2013

DAP: Mengetuk dulang paku serpih?

Lim Guan Eng dan partinya sering menuduh BN dan komponennya sebagai tidak demokratik tetapi hakikatnya amalan nepotisme dan kronisme dalam DAP dilihat lebih keterlaluan.

Walaupun DAP berpegang teguh kepada slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) namun sehingga hari ini ramai lagi ahli, tidak kira penyokong akar umbi atau sudah menjadi 'bekas', masih lagi tampil dengan pelbagai cerita. Dakwaan mereka ini mencacatkan moral serta kewibawaan parti 'demokratik' itu.

Ramai ahli DAP tidak berpuas hati dengan CEC baharu kerana pemilihan semula hanya boleh diadakan dalam Kongres Kebangsaan DAP, bukannya melalui kongres khas seperti yang dilaksanakan bulan lalu. Kongres kebangsaan memerlukan notis sekurang-kurangnya 10 minggu sebelum diadakan manakala notis kongres khas pula hanya dalam tempoh tujuh hari sahaja.

Berdasarkan Fasal VIII Perkara 8 perlembagaan parti itu, kongres khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu, bukan untuk tujuan pemilihan.

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang pada awalnya membayangkan tarikh pemilihan semula mungkin pada penghujung November atau awal Disember secara tiba-tiba membuat 'pusingan U' dan bersetuju dengan tarikh baharu pemilihan semula yang tidak kurang daripada sebulan.

Ramai mempersoalkan rasional pemilihan semula CEC pada 29 September lalu yang menyaksikan 'kejatuhan' Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang dengan hanya sekadar memenangi undian kedua dan kelima tertinggi.

Kedudukan Guan Eng dalam undian tidak melayakkan beliau menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP kerana gagal mencapai undi paling popular. Ini kerana hanya mereka yang meraih undi popular layak menjadi Setiausaha Agung DAP sebagaimana Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pernah uar-uarkan selepas PRU-13 kononnya undi popular layak menerajui negara.


Liew Chin Tong memperoleh 1,438 undi tetapi hanya layak memangku jawatan Pengarah Pendidikan Politik. Walhal, dia mendapat undi paling popular berbanding Kit Siang 1,436 undi. Bagaimana Guan Eng boleh menafikan hak serta kelayakan Chin Tong untuk memegang jawatan paling berkuasa dalam parti kerana beliau telah berjaya membuktikan dirinya lebih berpengaruh dengan 55 peratus undi berbanding Guan Eng yang hanya memperoleh 49.99 peratus.

Bukankah Chin Tong yang dipercayai oleh perwakilan boleh membawa perubahan dalam DAP kepada lebih baik? Adakah adil untuk berbuat demikian? Bukankah tindakan ini umpama tidak jujur dengan perwakilan yang mempercayai Chin Tong berbanding Guan Eng untuk menerajui parti?

Penulis juga keliru apabila pemilihan kali ini masih misteri dengan kejadian-kejadian pelik seperti penarikan diri 17 orang CEC secara mendadak? Adakah terdapat 'arahan khas' daripada pihak atasan untuk menarik diri supaya perwakilan 'terhad' untuk mengundi nama-nama tertentu? Rata-rata yang menarik diri juga adalah golongan yang mempunyai jawatan dalam peringkat negeri dan parti. Apakah muslihatnya?

Pernahkah kita terfikir bagaimana pula dengan perwakilan yang sudah dipecat daripada parti, tetapi hadir mengundi? Antaranya, bekas Adun Teratai, Jenice Lee yang telah dipecat sebelum digantung kemudian dibenarkan mengundi sebelum dipecat sekali lagi pada 7 Oktober lalu? Adakah undi Jenice itu sah? Ketika dihubungi Jenice berkata, beliau juga rasa terkejut.

Melayu celup

Begitu juga, dengan 'kehilangan' 845 perwakilan yang layak mengundi namun tidak hadir pada hari mengundi? Apakah sebenarnya yang berlaku? Jika sebelum ini, angka 753 perwakilan yang rata-ratanya pengundi India didakwa dinafikan hak untuk mengundi, kali ini timbul pula angka baru 845. Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pernah mendakwa wujud sebanyak 500 surat salinan asal yang dikatakan ditandatangani para perwakilan parti itu yang tidak dapat menghadiri pemilihan CEC lepas. Namun sehingga hari ini beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen.


Turut menjadi tanda soal adalah kemenangan Zairil Khir Johari yang dianggap 'Melayu celup' tetapi diangkat mewakili kaum Melayu dalam DAP. Sehingga hari ini masih ada lagi orang mempersoalkan ketulenan Zairil yang hanya namanya seperti Melayu tetapi rupa dan gaya lebih kepada Cina?

Dalam ucapan Guan Eng pada pemilihan khas CEC lepas: "Kita bukan mahu laungkan hidup Melayu atau hidup Cina tetapi kita mahu laungkan hidup Malaysian Malaysia".

Tetapi mana wakil orang Melayunya? Sedangkan selama ini nilai orang Melayu dalam DAP hanya sekadar 50 sen. Pengakuan itu dibuat oleh bekas Naib Pengerusi parti itu, Zulkifli Mohd. Noor yang mendakwa orang Melayu tidak mempunyai sebarang nilai dalam parti itu sebaliknya hanya untuk mengaburi pandangan umum supaya DAP boleh memperluaskan kuasa dalam kalangan orang Melayu. Jelaslah DAP bukan lagi parti sosialis yang beliau percaya ketika menyertai DAP pada 26 tahun lepas.

DAP sudah menjadi parti keluarga dan kroni-kroni tertentu sahaja. Kumpulan ini sahaja yang boleh dan menguasai keseluruhan parti. Masing-masing bukan sahaja memegang kuasa dalam parti malah diberikan ruang untuk bertanding pada pilihan raya umum dengan membelakangkan ramai calon yang lebih layak.

Akar umbi inilah yang menyebabkan DAP berada pada kedudukan yang sungguh selesa ketika ini. Namun apakan daya, suara-suara kerdil ini tidak langsung didengari.

Antara contoh popular budaya nepotisme yang diamalkan dalam DAP ialah keluarga Dinasti Lim yang ketika ini merangkumi Kit Siang, anaknya, Guan Eng dan adiknya yang sedang berjinak-jinak dengan dunia politik DAP, Lim Hui Ying. Selain itu keluarga Karpal Singh serta anak-anak beliau Gobind Singh dan Jagdeep
.

Pasangan sepupu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming di Perak, anak beranak Leong Ngah Ngah dan anak perempuannya, Leong Yu Man di Pahang yang masing-masing menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kerusi Triang dan Tanah Rata selain jawatan dalam parti peringkat negeri.

Kita akan lihat lebih ramai calon dalam kalangan keluarga yang bakal diserap sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke 14. Ini seolah-olah perniagaan keluarga yang diwarisi turun- temurun.

Bagaimana pula dengan kronisme yang juga tidak kurang hebatnya dalam parti itu. Antara contoh ketara seperti yang terjadi di Selangor. Rata-rata yang bertanding dan menang bagi kerusi Parlimen dan DUN adalah kenalan rapat Ahli Parlimen Cheras merangkap Pengerusi Disiplin DAP, Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara merangkap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua. Antara kenalan Kok Wai ialah ADUN Teratai, Tiew Wey Keng yang pernah disabitkan dengan penyelewengan namun dibenarkan bertanding dan menang, ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang turut terpalit dengan skandal namun tiada tindakan.

Bagaimana pula dengan anak didik Tony Pua, Yeoh Bee Yin yang cuma menyertai DAP tidak kurang daripada setahun, sebelum terus dicalonkan bagi kerusi selamat, Damansara Utama dan menang? Begitu juga dengan bekas think tank Parti Gerakan, Ong Kian Meng yang sebenarnya dibayar sebagai pemikir dalam DAP selama dua tahun oleh Tony Pua sebelum menyertai DAP tidak kurang daripada enam bulan sebelum menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang.

Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asogan menyifatkan parti itu kini tidak lagi demokratik kerana dipimpin oleh individu yang mempunyai kepentingan serta tidak boleh menerima kritikan ahli akar umbi.

Menurutnya, keadaan ini dapat dilihat apabila ahli-ahli cawangan dan akar umbi yang mempersoalkan kepentingan kepemimpinan parti akan 'dihukum' dengan pelbagai cara termasuk dipecat selain ada yang tidak dibenarkan mengundi semasa kongres parti. Guan Eng sering mengkritik parti politik lain dengan pelbagai dakwaan tetapi beliau tidak mengotakan apa yang dikata. Yang jelas DAP kini lebih sudu dari kuah dan cengkaman Dinasti Lim semakin melebar tanpa sebarang halangan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: