Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Dis untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas kes itu dikemukakan di hadapannya untuk pengurusan kes.
Mewakili pihak pendakwa ialah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Anwar diwakili Karpal Singh.
Muhammad Shafee, yang merupakan peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara secara “fiat” untuk mengetuai pihak pendakwa dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun lalu yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26.
Karpal Singh berkata sementara itu, Mahkamah Rayuan perlu menyediakan alasan penghakiman berhubung keputusannya (Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai peguam utama.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ramly Ali pada 17 Sept tahun ini menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee atas alasan pelantikannya sebagai pendakwa raya adalah sah dan mengikut ketetapan undang-undang.
Ketua Pembangkang itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 20 Sept tahun ini terhadap keputusan itu. Anwar, 64, dituduh melakukan kesalahan itu di satu unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.
Pada 9 Jan tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semasa membebaskan Anwar memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disahkan oleh keterangan lain.
Beliau juga memutuskan mahkamah tidak pasti 100 peratus berhubung integriti sampel diambil daripada Mohd Saiful bagi ujian DNA kerana sampel itu telah diusik sebelum sampai ke jabatan kimia untuk analisis.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan