Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan masih membuka pintu perbincangan terhadap beberapa klausa dalam pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan Dewan Rakyat malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, jika terdapat beberapa kelemahan pada klausa dalam akta berkenaan, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara.
"Kami tak mahu lihat PCA ini dianggap sebagai satu proses tahanan tanpa bicara sepenuhnya, walaupun saya sudah menjelaskan beberapa kali bahawa terdapat badan pencegahan jenayah yang bertindak menjatuhkan hukuman.
"Harus diingat bahawa penahanan adalah sebagai langkah pencegahan dan Mahkamah Tinggi yang akan memuktamadkan keputusan yang dibuat oleh badan pencegahan jenayah," katanya ketika ditemui media di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika sebelum ini dalam Akta Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad menteri berkuasa mutlak bagi mengeluarkan arahan tahanan, namun dalam PCA ia sebaliknya.
"Dalam PCA kuasa menteri ditiadakan, ertinya kerajaan sudah mengambil keputusan tranformasi yang mengambil kira kepada hak asasi manusia," katanya.
Mengulas mengenai pendirian Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menolak kelulusan akta itu, Zahid berkata, kerajaan masih terbuka kepada perbincangan untuk menambah baik beberapa klausa dalam PCA.
"Namun, saya berharap supaya beliau (Anwar) tidak membawa isu ini ke jalanan kerana saya sangat terbuka untuk berbincang," katanya.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan