SEBAHAGIAN anggota pengganas komunis PKM mendengar ceramah yang disampaikan oleh Mokhtar Mahmud Baginda dalam satu pertemuan di kem kumpulan tersebut di selatan Thailand pada 1988. - JABATAN PENERANGAN
Perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) adalah berorientasikan kaum Cina dalam segala segi termasuk daripada segi dasar, pendirian, strategi, perhubungan dan gerakan bersenjata.
Perjuangan itu telah digariskan oleh Setiausaha Agung PKM, Chin Peng sejak awal penubuhan PKM lagi.
Sehubungan itu, maka tidak hairanlah jika segala kepentingan kaum-kaum lain termasuk kepentingan kaum Melayu dan bumiputera tidak ditekankan dalam perjuangan PKM.
Penubuhan Rejimen Ke-10 PKM yang dianggotai dan dipimpin oleh orang Melayu adalah semata-mata untuk mengabui masyarakat antarabangsa dan orang Melayu di Malaya bahawa PKM dianggotai oleh parti berbilang kaum.
Rashid Maidin bersama Chin Peng ketika rundingan damai Baling - 1955
Malahan penyertaan orang bukan Cina di dalam PKM, terlalu kecil terutama daripada kaum India dan etnik bumiputera yang lain, berbanding kaum Cina.
Perjuangan PKM yang ditegakkan berorientasikan kaum Cina sebahagian besarnya didorong oleh dua faktor utama:
> Pertama kerana perjuangan PKM lebih berkiblat kepada Peking, walaupun ketika itu Moscow (Kesatuan Soviet) merupakan negara komunis lebih berpengaruh dan maju di dunia.
Ini kerana secara teorinya PKM mendokong konsep yang dibawa oleh pemimpin China, Mao Tze Tung yang menekankan tentang perjuangan bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan, serta menyokong dasar-dasar yang digariskan oleh Parti Komunis China (PKC).
> Faktor kedua adalah kerana Chin Peng berpendapat kaum Cina lebih maju dan lebih bijak serta menguasai bidang ekonomi di Malaya berbanding orang Melayu dan kaum-kaum lain, maka atas dasar itu, kaum Cinalah yang sepatutnya mendominasi dan menguasai PKM.
Chin Peng sering menekankan perkara itu dalam beberapa perbincangannya dengan pemimpin-pemimpin PKM, termasuk yang dihadiri oleh Pengerusi PKM, Musa Ahmad, bahawa perjuangan PKM di Malaya adalah berasaskan orang Cina.
Beliau memberi alasan pendiriannya itu adalah kerana majoriti kaum Cina terdiri daripada kelas pekerja dan mengikut teori komunis golongan pekerjalah yang seharusnya memimpin revolusi.
Pada masa yang sama, dalam meneruskan perjuangan mereka, pemimpin-pemimpin PKM melihat ke arah China bukan sahaja sebagai sumber inspirasi dan tetapi juga kesetiaan.
Hal ini dapat dilihat daripada sikap pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Pusat PKM sering menganggap lawatan kerap mereka ke China sebagai 'HUI CHU KUO' yang membawa maksud kembali 'tanah ibunda'.
Chin Peng sering menganggap orang Melayu dengan kata-katanya yang berbunyi: ''bangsa Melayu adalah bodoh, mundur, pemikirannya tidak luas dan hanya berkisar dalam penghidupan kampung yag didiaminya, fanatik agama serta malas dan berpuas hati kepada keadaan mereka yang ada."
Chin Peng juga menolak hak-hak orang Melayu dan tidak menerima status bumiputera.
Chin Peng memberi alasan pendiriannya adalah kerana golongan Cina kelas pertengahan merupakan golongan revolusionist dan golongan Cina kelas pertengahan juga merupakan penyumbang terbesar kepada kemajuan Malaya, sedangkan golongan Melayu kelas pertengahan adalah alat kerajaan dan golongan Melayu kelas pertengahan bersekongkol dengan golongan kapitalis dan monopoli untuk menindas golongan rakyat bawahan.
Maka sepanjang PKM melancarkan pemberontakan bersenjata bagi menggulingkan kerajaan Malaya, PKM jelas mendokong fahaman perkauman (chauvinist) yang ketara dalam perjuangannya dan kepimpinannya.
Maka tidak hairanlah atas dasar itu, Chin Peng tidak mempunyai kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKM serta sering mendiskriminasi pemimpin-pemimpin Melayu PKM.
Dalam banyak perkara terutama melibatkan rahsia dan dasar parti serta kewangan, Chin Peng tidak pernah berunding dengan pemimpin Melayu PKM.
Begitu juga, Chin peng tidak berminat untuk menggunakan bahasa Melayu dalam hal ehwal PKM.
Walaupun dalam propaganda PKM menyatakan tentang persamaan kaum, namun dalam hal bahasa, hanya bahasa Cina digunakan sebagai bahasa perhubungan dalam PKM dan bahasa-bahasa lain dipinggirkan.
Dokumen-dokumen parti, arahan-arahan dan ucapan-ucapan diterbitkan hanya dalam bahasa Cina, dan beberapa dokumen sahaja diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan kemudian ke dalam bahasa Melayu.
Rashid Maidin
Selain itu, semua mesyuarat Jawatankuasa Pusat PKM diadakan di dalam bahasa Cina dan anggota Melayu perlu menggunakan penterjemah Inggeris.
Pada persidangan antarabangsa, pemimpin PKM mengarahkan wakil PKM mesti berucap dalam bahasa Cina.
Ekoran keadaan itu, wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Melayu PKM terutama Pengerusi PKM, Musa Ahmad, sehingga akhirnya membawa perpecahan kepada kepimpinan PKM.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan