Selasa, Oktober 29, 2013

Mengapa PAS takut tempelak Comango?


Bukan sahaja tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang perlu dihadapi oleh PAS tetapi sebenarnya parti itu akan berdepan dengan lebih banyak tuntutan yang mencabar prinsip Islam sekiranya masih terperangkap dalam tahaluf siyasi parti-parti pembangkang.

Aktivis PAS, Norman Toha berkata, PAS perlu segera keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya tidak mahu imej 'kuda tunggangan' dan 'lembu dicucuk hidung' terus membelenggu parti itu oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya mengakui ada perkembangan yang baik dalam PAS dengan Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak Comango menggugurkan segala tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Bagaimanapun, saya melihat tahaluf siyasi masih membelenggu banyak pemimpin utama PAS kerana sehingga kini mereka tidak berani menempelak Comango walaupun perkara itu bertentangan dengan prinsip Islam dan menyalahi fitrah manusia," katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Menurutnya, lagi lama PAS bertangguh untuk keluar daripada pakatan pembangkang, lagi banyak PAS akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan oleh rakan pembangkangnya yang akan menghakis kepentingan orang Islam dan Melayu.

Sebelum ini, Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro), Azril Mohd. Amin berkata, keberanian Comango mengemukakan tuntutan yang menyentuh sensiviti umat Islam kepada PBB dipercayai ada kaitan dengan sokongan pembangkang.

Dalam pada itu, seorang lagi aktivis PAS, Mohd. Riza Kamaruddin, beliau menggesa Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS untuk mengemukakan pendirian sebenar parti itu terhadap tuntutan Comango.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS dan saya meminta kalau perjuangan mereka serius, usul mengenai tuntutan Comango ini perlu dibentangkan dan dibahaskan dalam Muktamar PAS nanti.

"Saya melihat tuntutan Comango ini merupakan ujian untuk mengukur sejauh mana dominasi PAS dalam tahaluf siyasi, kalau PAS takut dan teragak-agak untuk menjuarai isu orang Islam, saya kira tahaluf siyasi itu telah gagal," katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Teluk Kemang, Mohd. Hidzir Othman berkata, PAS perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku dengan perpaduan ummah sehingga Comango berani membuat tuntutan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan agama Islam di negara ini.

"Sekiranya tiada perpaduan, dibimbangi perkara-perkara yang lebih buruk akan dituntut oleh lebih banyak NGO, maka PAS perlu mengutamakan perpaduan ummah supaya umat Islam menjadi kuat dan disegani serta digeruni oleh pihak lawan dan kawan," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Negeri Sembilan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: