Kepala kereta api dan lapan buah gerabak barang tergelincir dari landasan akibat kegiatan sabotaj yang dilakukan oleh pengganas komunis di Tapah, Perak. Ia merupakan nahas kereta api paling dahsyat dalam sejarah darurat mengakibatkan tiga orang cedera dan kerugian dianggarkan RM100,000. - JABATAN PENERANGAN
Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng disahkan menerima dana bantuan daripada Parti Komunis China (PKC) sejak dari awal penubuhannya di Tanah Melayu, menurut satu dokumen rasmi pengakuan bekas pemimpin komunis yang pertama kali didedahkan oleh Utusan Malaysia.
Pemimpin komunis Melayu yang berada di China menyedari wujud bantuan kewangan kepada PKM sekurang- kurangnya antara tahun 1956 hingga 1968 tetapi Chin Peng merahsiakan butir-butir terperinci mengenainya.
Menurut satu catatan antara 1963 dan 1964, PKC menerusi Jabatan Perhubungan Antarabangsa (ILD) mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng di Peking dan ditawarkan dana bantuan sebanyak 640,000 yuen (kini kira-kira RM335,000) untuk kegiatan subversif PKM di Malaysia.
Chin Peng memberitahu wakil PKC bahawa jumlah dana tersebut tidak mencukupi dan meminta supaya ditambah kerana yuran keahlian yang dikutip dari orang ramai amat rendah untuk membeli baju seragam, ubat dan senjata.
Dalam tempoh 1956 hingga 1961, mesyuarat bilateral antara PKM dan PKC diadakan setiap dua atau tiga bulan di Peking. Menurut pemimpin komunis Melayu yang pernah menghadiri mesyuarat itu, wakil PKC berulang kali memberi galakan dan dorongan kepada PKM supaya gigih berjuang.
PKC juga meminta PKM supaya belajar daripada pengalaman revolusi China dan mengguna pakai kaedah-kaedah yang betul serta bersesuaian.
Dalam satu daripada mesyuarat tersebut, wakil PKC menyatakan kesanggupan PKC menerima siapa juga anggota PKM yang mahu mencari perlindungan di China dan boleh kembali ke Tanah Melayu bila mereka rasa selamat untuk berbuat demikian.
PKC juga menyediakan latihan kepada anggota PKM tetapi aspek taktikal perjuangan hendaklah ditetapkan oleh kepimpinan PKM memandangkan mereka lebih memahami keadaan setempat.
Kebergantungan PKM terhadap Parti Komunis China turut didedahkan iaitu pada 1961, Chin Peng berura-ura untuk menamatkan gerakan bersenjata PKM tetapi PKC mahu supaya PKM meneruskan perjuangan walaupun 'hanya tinggal dua atau tiga pejuang yang hidup'.
Keputusan tersebut mendorong Chin Peng meminta PKC sebagai parti induk komunis memberi bantuan daripada segi kewangan, sokongan bahan-bahan dan kemudahan propaganda dalam bentuk Suara Revolusi Malaya (SRM).
Dari semasa ke semasa juga, anggota-anggota PKM dihantar ke China untuk menjalani latihan indoktrin komunisme. Sekitar 1961, seramai 30 anggota PKM dipilih untuk mengikuti kursus ideologi selama setahun.
ILD mengarahkan anggota PKM tersebut untuk turut mengikuti kelas bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran wajib tetapi baharu tiga bulan, kelas dihentikan. Ini disebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya berikutan beban subjek politik, teori komunisme dan bahasa Cina.
Setelah tamat kursus, anggota PKM tersebut dihantar ke Kem Transit menanti arahan untuk pulang ke sempadan Malaysia-Thailand dan sebahagiannya dihantar ke wilayah Szechuan untuk mempelajari kaedah menganjurkan perhimpunan sebagai persiapan sekiranya PKM memenangi perang ke atas Malaysia.
Selain China, PKM juga menjalin kerjasama dengan Parti Komunis Vietnam di mana tiga anggotanya dihantar menyertai perjuangan bersenjata negara itu pada akhir tahun 1946.
Dua daripadanya terbunuh dalam perang dan seorang lagi berkhidmat dengan tentera laut Vietnam dan berkahwin dengan wanita tempatan sebelum berhijrah ke China pada 1964 setelah dibenarkan oleh Chin Peng.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan