Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Ogos 29, 2012
Mudarat politik DAP-isme!
Kebelakangan ini, wujud usaha yang berterusan di kalangan pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk menyerang pimpinan dan bekas pemimpin UMNO dengan pelbagai konotasi dan label negatif.
Sebagai rakyat biasa, kita faham sangat, bahawa semua ini mempunyai tujuan dan niat politik yang sangat sarat.
Mahu tidak mahu, menyerang dan memberikan label kepada pemimpin UMNO adalah strategi yang selama ini mendatangkan keuntungan politik kepada DAP. Tidak menyerang UMNO, juga membawa makna bahawa DAP akan mempunyai ruang yang semakin sempit dalam politik perdana Malaysia.
Kita harus menilai kelahiran dan kedewasaan politik DAP dengan sistem nilaian yang jujur. DAP tidak perlu menunggu lama untuk menampilan ‘isme’ politik yang mereka mahukan. Apakah mereka peduli dengan soal negara bangsa; atau mereka hanya mahu melonjak diri dan parti ke puncak kuasa?
Walaupun mungkin penulis belum lahir di zaman awal kelahiran DAP - sekitar 1966/67; namun penulis tidak mungkin dapat melupakan bahawa dalam tempoh kurang dua tahun - DAP sudah membawa ‘suntikan budaya politik baru’ ke dalam negara ini.
Bayangkan, dengan umur politik setakat dua tahun, DAP sudah komited untuk membawa ‘semangat politik perkauman sempit’ dengan menyuntik isu panas yang menduga rasional politik rakyat. Tempoh ini adalah satu tempoh yang sangat muda. Namun, DAP pastinya tahu, dalam ketidaktentuan politik, dalam suasana kacau-bilau, mereka mampu menampilkan diri dengan budaya politik yang merosakkan minda rakyat. Ini hakikat yang tidak akan mampu dinafikan oleh DAP.
Budaya politik desak mendesak, menggugat kestabilan dan keharmonian politik, menggunakan isu dan sentimen panas, melupakan keluhuran Perlembagaan adalah sebahagian daripada ‘roh’ politik DAP. Di atas semangat solidariti ‘Socialist International’, DAP lebih gemar berselindung di sebalik slogan yang muluk-muluk, namun jelas, longgar semangat nasionalisme dan kasih negara.
DAP selama ini memang dinaungi oleh sebuah gerakan solidariti ‘sosialis antarabangsa’ yang mempunyai hampir 161 keahlian di kalangan parti politik seluruh dunia. Dengan slogan ‘Progressive Politics For A Fairer World’ - kita mungkin mampu bertanya apakah ini menjadi kiblat politik akhir kepada DAP?
Bagaimana agaknya, dengan hakikat politik kekeluargaan yang nyata di dalam parti itu, apakah mampu ‘dunia yang lebih adil’ akan dizahirkan oleh DAP? Atau, apakah dengan wajah dominasi ‘kaum tertentu’ di dalam DAP - parti itu mampu menampilkan wajah dan cita fairer world dalam jangka masa yang terdekat ini?
1969: Lambang Politik Progresif DAP?
DAP terlibat dalam pilihan raya umum pertama pada tahun 1969, memenangi 13 kawasan Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kalau menurut catatan politik, kerjasama politik ‘progresif’ Pas dan DAP sudah mula berputik di dalam PRU 1969 ini. Mungkin inilah agaknya yang impian ‘politik progesif’ yang menjadi cita Socialist International. Tercapainya impian DAP untuk berada dalam arus perdana politik inilah yang memberikan momentum kepada DAP untuk kekal menjadi ‘pemain politik’ Malaysia sehingga ke hari ini.
Budaya politik yang kononnya ‘progresif’ yang dinaungi oleh DAP sebenarnya telah berselindung di sebalik usaha bersungguh membangkitkan soal-soal bangsa Malaysia berkaitan dengan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Apabila dipakejkan dengan ucapan dan ceramah politik yang emosional, maka dengan sendirinya ia menzahirkan suasana yang kurang senang di kalangan masyarakat. Ditambah dengan elemen luaran dan semangat perjuangan komunisme, maka suasana anarki dan huru-hara adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan.
Sudah barang tentu, banyak lagi insiden yang menjadi pemarak api perkauman pada tempoh yang sukar itu. Namun, kita haruslah menerima hakikat dan fakta politik asas bahawa DAP-isme sudah mengubah ‘permainan politik’ untuk menjadi sesuatu yang lebih bahaya dan memberi keuntungan politik jangka panjang kepada parti tersebut sehingga ke hari ini.
DAP membawa brand politik yang bernada tinggi, anti kerajaan, sentimen perkauman sehingga ke hari ini. Ya, memang benar, hari ini mereka ingin membawa ‘wajah progresif baru’ kepada DAP, dengan kehadiran beberapa orang Melayu sebagai pemimpin - namun ‘roh’ asal DAP akan terus bergentayangan dengan idea politik sosialis yang mampu membawa situasi anarki.
Tidak perlulah kita bertanya di mana ‘titik pertemuan’ yang memungkinkan kepada kerjasama sebuah parti Islam dan gerakan sosialis yang ditunjangi ideologi DAP-isme. Titik pertemuan hanyalah ‘punca kuasa’. Inilah juga yang menjadi ‘gam politik’ kepada kerjasama mereka pada tahun 1969. Kerjasama ini ada turun naiknya, namun keputusan pilihan raya 2008 sudah memungkinkan bahawa mereka mampu bersatu di atas nama merealisasi impian mendapatkan kuasa.
Mahathirisme?
Kita perlu memahami bahawa serangan demi serangan yang ditujukan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah satu strategi lama DAP yang dipakej semula. Yang dihajatkan oleh DAP bukan batang tubuh Tun Mahathir. Namun, apa yang lebih diperlukan adalah menggambarkan kepimpinan Mahathir sebagai kepimpinan yang kejam, autoritarian - dan kononnya tidak sesuai dengan zaman ini. Ironinya, Kit Siang, Karpal Singh juga sudah berada dalam zaman sama dengan Tun! Apakah modul politik 2K (Kit Siang dan Karpal) ini sangat relevan dengan masa dan politik era kontemporari?
Apa yang lebih merisaukan DAP dan ‘isme’ politiknya adalah kemampuan Tun Mahathir untuk mencelikkan semula mata masyarakat dengan ‘realiti sebenar politik Malaysia’. Ini bukan soal menjadi rasis dan tidak menghormati bangsa lain. Ini soal kembali semula menghargai ‘asas Perlembagaan’ yang kian mahu diinjak dan dipijak atas nama keuntungan politik.
Yang ditakuti DAP bukan Tun Mahathir. Namun, buah fikiran, faham dan gerak rasas sejarah negara bangsa yang dimiliki oleh pemimpin besar itu. Tun Mahathir kenal benar dengan kehendak DAP-isme luar dan dalam. Perkara inilah, yang menyebabkan serangan demi serangan ‘persepsi’ ditujukan kepada seorang negarawan yang jauh lebih berjasa, berwibawa dan berpandangan jauh daripada pemimpin DAP. Ungkapan dan nasihat Tun Mahathir inilah, yang mampu menyebabkan ‘mimpi politik progresif Socialist International’ dijawab dengan faham realiti politik yang sebenar.
DAP dan ‘isme’nya pastinya menganggap Tun Mahathir sebagai musuh nombor wahid dalam berdepan dengan PRU yang akan datang. Kemampuan Tun Mahathir untuk meneutralkan semula politik ugut dan desak yang menjadi alat politik DAP selama ini, mampu membataskan pergerakan mereka untuk menerima sokongan yang lebih baik di kalangan pengundi Melayu.
Jalan Hadapan Politik Malaysia
Penulis juga bukanlah penggemar kepada politik yang berasaskan perkauman. Namun, faham dan fiil politik kita mestilah disesuaikan dengan suasana dan realiti yang ada. Bukan masanya untuk kita mengambil kesempatan, membuat desakan dan ugutan menggila yang nyata tidak selari dengan semangat kita ber-Negara. Penulis bersetuju dengan proses, usaha dan inisiatif pembaikan dan koreksi, namun ia tidak bermakna kita wajar mengambil jalan anarki dan huru-hara hanya kerana mahukan suara kita didengari dan dilayani oleh kerajaan.
DAP dan ‘isme’nya kadangkala menjadi terlalu yakin sehinggakan tidak berpegang kepada realiti dan latar politik. Menggunakan ‘model 1969', mereka menganggap kerjasama politik DAP-Pas-PKR akan menzahirkan sistem politik yang serba sempurna dan maksum. Semuanya mampu diubah dalam sekelip mata.
Keyakinan politik inilah yang menyebabkan mereka lamur dan rabun dengan keperluan membawa imej dan amalan politik progresif yang sebenar. DAP masih lagi membawa amalan dan faham politik ‘ala-69'; membugar semangat anti-kerajaan, kebencian kepada pemimpin, membangkitkan sentimen yang kadangkala merosak fabrik sosial dalam masyarakat Malaysia.
Adalah menjadi amanah dan tanggungjawab besar ‘Melayu berkiblatkan isme politik Socialist International’ yang baru berada dalam DAP - menyedarkan kalangan pemimpin ‘usang’ mereka untuk melakonkan lakonan filem baru kepada rakyat.
DAP masih tersekat dengan pelakon, watak dan skrip politik yang sama. Sikap 'politik progresif' mereka masih lagi diisi dengan politik dendam dan kebencian. DAP masih lagi belum mampu untuk menanggalkan imej 'perkauman' yang selama ini menjadi roh asal 'isme' ideologi politik mereka.
Rakyat Malaysia menantikan kelahiran semula DAP yang sebenar-benarnya progresif. Yang tidak lagi tersekat dengan permainan wayang politik lama. Yang tidak lagi terbeban dengan liabiliti dan beban politik lampau yang celupar, ganas dan tidak berhemah.
Selagi mana DAP masih lagi mengetengahkan skrip politik They Came to Rob Las Vegas (filem yang dimainkan di sekitar Kuala Lumpur pada tahun 1969); selagi itulah DAP-isme mampu menjemput dan membawa musibah jangka panjang kepada negara. DAP yang mampu melahirkan lebih ramai lagi ahli politik zaman baru; yang tidak membawa imej dan faham 'perkauman' akan menjanjikan imej 'progresif' yang diharapkan.
Setakat ini, DAP masih lagi terbeban dengan 'imej politik' zaman lampau - penuh sifat celupar, oportunis, terlebih yakin, anti-Melayu, hipokrasi dan sebagainya. Benar, DAP berjaya menampilkan tokoh-tokoh politik muda, namun 'isme' dan ideologi mereka masih belum terlepas dengan simtom dan permainan politik yang lama dan merosakkan.
DAP yang lebih memahami 'realiti politik' akan memberikan suasana dan iklim politik lebih sejahtera buat Malaysia. Kemungkinan itu berlaku, bergantung kepada kesungguhan mereka yang berada dalam DAP untuk merubah 'isme'nya yang lampau dan jurasik.
Bukan mudah untuk melakukan perubahan, kerana semua sifat politik negatif yang ada sudah menjadi sebahagian 'DNA politik' DAP. Ego mereka yang menggunung dengan kejayaan politik akan juga menjadi punca kejatuhan mereka. Akhir-akhir ini sahaja mereka bercakap tentang akauntabiliti, transparensi dan kompeten; sedang semangat politik sebenar mereka masih lagi berasaskan elemen perkauman sempit.
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan