Rabu, Januari 19, 2011

Sultan Selangor perkenan Sidang DUN 24 Januari!

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan perisytiharan bagi memperkenankan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan diadakan 24 Januari untuk meminda perlembagaan negeri.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika mengesahkan perkara itu berkata, permintaan mengadakan sidang berkenaan telah dibuat oleh pihak DUN Selangor.

''Jadi apabila sudah diminta supaya sidang DUN diadakan, maka baginda telah menandatangani dan satu perisytiharan sudah dikeluarkan untuk sidang tersebut," katanya kepada di sini hari ini.

Difahamkan surat proklamasi itu telah ditandatangani baginda pada 14 Januari lalu.

Mohamad Munir bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak mengetahui sama ada draf pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 telah dikemukakan kepada Sultan Selangor atau tidak.

Dalam pada itu, Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim ketika ditanya perkara itu enggan memberikan sebarang ulasan.

Mohamad Munir dalam kenyataan akhbarnya pada 4 Januari lalu menyebut Sultan Selangor menitahkan supaya pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan baginda terlebih dahulu.

Cadangan mengadakan sidang DUN itu diumumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 4 Januari lalu yang dilihat sebagai usaha terakhir menyingkirkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Namun pelantikan itu tidak direstui oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kerana menganggap ia satu tindakan membelakangkan Menteri Besar kerana beliau tidak dirujuk mengenai perkara itu.

Meskipun mengakui pelantikan SUK itu adalah sah dan telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, kerajaan negeri masih berkeras mahu mengadakan sidang DUN bagi melakukan pindaan Perlembagaan negeri.

Menteri Besar juga telah menangguhkan majlis angkat sumpah simpan rahsia bagi Mohammed Khusrin hingga menyebabkan SUK itu tidak dapat memenuhi haknya di sisi undang-undang untuk menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Pindaan yang akan dibuat itu antara lainnya dikatakan bagi mengembalikan semula kuasa sultan dan Menteri Besar Selangor dalam membuat pelantikan tiga pegawai eksekutif tertinggi negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Isu pertikaian pelantikan SUK mula timbul apabila sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar pada 27 Disember lalu memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Sementara itu : Pindaan bukan kembali kuasa Sultan

Rakyat negeri ini tidak seharusnya terpengaruh dengan cubaan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggunakan pindaan terhadap perlembagaan negeri untuk mengaitkannya dengan usaha mereka mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pindaan tersebut sebenarnya bukan bertujuan mengembalikan kuasa mutlak kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) sebagaimana yang termaktub pada 1948.

Malah, katanya, pindaan tersebut bukan satu tindakan yang mendesak kerana ia hanya untuk mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar bagi melantik SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri.

“Jika dilihat sebelum pindaan pada 1993, pelantikan ketiga-tiga jawatan berkenaan meskipun dibuat oleh Sultan Selangor, ia dilakukan atas nasihat Menteri Besar.

“Kuasa yang ingin dikembalikan kepada sultan dalam pelantikan tiga jawatan menerusi pindaan itu sebenarnya terhad kerana baginda perlu nasihat Menteri Besar. Kalau begitu, apa bezanya dengan kedudukan sekarang,” katanya.

Sallehuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkata, dengan undang-undang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda.

“Amalan SPA itu dilakukan sebagai menghormati peruntukan perlembagaan negeri yang meletakkan Sultan Selangor sebagai Ketua Eksekutif Negeri.

“Jadi apa gunanya pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati,” katanya.

Menurut beliau, sebenarnya, jika kerajaan negeri mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK sekali pun mereka sepatutnya memberi peluang kepada beliau melaksanakan tugas.

“Kalau lepas dua tiga bulan mereka tidak puas dengan khidmatnya, beritahulah SPA, kami tidak mahu orang ini lagi, tukarkan. Jadi tidak perlu pinda perlembagaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pindaan itu jika diluluskan sekali pun, masalah akan timbul sekiranya didapati ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika berlaku satu perkara yang tidak konsisten dengan kerangka persekutuan, maka undang-undang itu tidak boleh dikuatkuasakan juga,” katanya.- UM.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

wasabi berkata...

Salam...

Perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Selangor Isnin ini perlu diambil pemahaman yang betul.

Paling utama ialah jangan sesekali perkenan Sultan Sharafuddin itu disalah tafsir atau dipolitikkan. Secara mudah, jangan ada usaha mengheret sama institusi raja dalam kemelut tertentu.

Semua tahu bahawa idea memanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor timbul ekoran pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dipertikaikan oleh kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan negeri menganggap ia membelakangkan Menteri Besar kerana beliau tidak dirujuk mengenainya dan kerana itu dianggap belum muktamad.

Sampai sekarang pun, SUK baru itu yang telah pun diperkenankan oleh Sultan, tidak dipanggil mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

Kita tidak tahu sama ada draf pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 yang hendak dipinda itu bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri telah dikemukakan kepada Sultan Selangor atau pun tidak.

Setakat yang kita ketahui baginda Sultan sebelum ini dilaporkan telah menitahkan supaya draf pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan baginda terlebih dahulu.

Adakah Khalid lakukannya..wallahuallam