Jika kenyataan Nik Aziz itu boleh diterima mewakili keseluruhan pandangan kepemimpinan Pas, ia jelas membuktikan selama ini parti itu tidak mengkafirkan UMNO. Ia juga bermakna UMNO, parti yang didokong oleh orang Islam, tidak pernah bercanggah dengan kehendak Islam.
Soalnya mengapa perkara ini tidak pernah diperjelaskan sebelum ini? Mengapa perkara ini dibiarkan berlarutan hingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, berlaku perceraian suami, isteri dan perbalahan anak-beranak yang berbeza parti hinggakan berlaku sembahyang dua imam. Apa yang diketahui umum, pemimpin Pas turut mengkafirkan UMNO.
Ia bukan sekadar inti ucapan di majlis ceramah, malah jelas membuktikan daripada pandangan orang Pas, UMNO adalah kafir.Mengapa hanya selepas Pas bercadang membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam, pandangan Pas terhadap UMNO berubah. Umum mengetahui salah satu sebab UMNO dicap kafir ialah kerana ia bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN). Sebaliknya apabila Pas cuba rapat dengan parti pembangkang lain yang bukan Islam, mereka menganggap ia dibenarkan oleh Islam kerana tujuannnya ialah untuk menegakkan keadilan.
Apakah UMNO selama ini tidak pernah memperjuangkan keadilan terhadap rakyat? Apakah UMNO tidak pernah memperjuangkan nasib umat Islam?Isu mengkafir UMNO berlarutan agak panjang. Sepatutnya, jika menyedari bahawa isu mengkafirkan UMNO dilakukan oleh pelampau dalam Pas, pemimpin parti itu segera memperbetulkan keadaan itu. Bukankah disebabkan ketika itu Pas melihat isu kafir-mengkafir itu memberi kelebihan politik, maka mereka mengizinkan UMNO dibelasah dengan tohmahan yang tidak sewajarnya dilakukan sesama Islam.
Mengapa ketika itu mereka sendiri tidak mengecam ahli-ahli yang dianggap pelampau dalam parti itu? Dengan membenarkan mereka membuat tuduhan seperti itu bermakna kepemimpinan parti itu juga turut bersubahat.Setidak-tidaknya, dengan kenyataan Nik Aziz itu jelas menunjukkan dalam Pas sendiri memang wujud kalangan ahli parti itu bersikap melampau. Islam tidak pernah merestui umat yang bersikap demikian.
Apakah dengan menjadikan pelampau dalam Pas sebagai sasaran, kepemimpinan Pas cuba mencuci tangan? Rentetan peristiwa yang berlaku sebelum ini jelas menunjukkan ketika debat UMNO-Pas diheboh-hebohkan apakah isu sebenar yang hendak dibincangkan? Bukankah ia mengenai isu kafir-mengkafir? Siapakah pemimpin Pas yang dinamakan untuk mengambil bahagian bahagian dalam debat? Bukankah mereka adalah pemimpin kanan Pas? Bukankah ketika itu Pas mendakwa sembelihan orang UMNO tidak sah dimakan, tidak sah berkahwin dengan orang UMNO dan berlaku peristiwa pengkebumian di tanah perkuburan berasingan?
Bolehkah Pas menutup kes sembahyang dua imam kerana menganggap tidak sah sembahyang berimamkan orang UMNO. Apakah Pas boleh menafikan hakikat ini?Sekiranya Pas benar-benar ikhlas, mereka sepaturnya mengeluarkan pendirian yang mengatakan UMNO adalah parti yang berjuang mengikut lunas Islam. Tidak perlu lagi parti itu berdolak dalik kerana apa saja isu yang dikemukakan oleh parti itu, adalah semata-mata untuk tujuan politik.
Kemungkinan besar kenyataan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu boleh menimbulkan kemarahan pemimpin Pas yang lain. Bagaimanapun mereka mungkin sukar untuk menyangkal kenyataan Nik Aziz itu kerana berbuat demikian hanya akan meletakkan diri mereka sebagai pelampau dalam Pas. Disebabkan Nik Aziz menyatakan isu itu dibangkitkan oleh pelampau dalam Pas, sesiapa sahaja yang cuba mempertahankan tuduhan itu, adalah tergolong dalam kumpulan pelampau dalam parti itu.
Adalah diharapkan dengan penjelasan Nik Aziz itu, isu UMNO kafir tidak sepatutnya lagi ditimbulkan. Sekiranya ada pandangan baru mengenainya bermakna mereka yang berbuat demikian menolak Nik Aziz. Jika kepemimpinan Pas berfikiran panjang, mereka seharusnya melihat diri sendiri dan bertanding dalam pilihanraya dengan isu yang lebih munasabah. Bolehkah Amanat Hadi dimansuhkan. Hanya pemimpin-pemimpin Pas sahaja yang boleh menjawapnya?
Suara Politik
Taminsari
4 ulasan:
Dengan amanat yang di keluarkan dahulu, adakah ucapan ini dituju kepada Hadi, selain dari meraih pengudi bukan Islam? Double Whamy!
Jangan buang masa dan tenaga bangkitkan cerita2 lama.
Apa yang pasti BN/UMNO akan tumbang jika gagal meraih sokongan dari kaum bukan melayu(cina)
Politik melayu akan hancur jika UMNO gagal menyatu kan kaum melayu, sedangkan cina sudah bersatu dalam DAP.
Untuk membela kesucian agama Islam di Malaysia ini, semua orang Islam harus bersatu tidak kira parti.
Kekuatan ummah akan digeruni oleh musuh Islam. Ini tidak. PAS pula menjadi duri dalam daging dan menyumbang kepada perpecahan umat di Malaysia.
PKR=Illmuninati.
kepada Cikgu pencen...
1-Demografi pemilihan Adun dan MP, menunjukkan kawasan majoriti Melayu, lebih banyak dari kawasan majoriti bukan melayu, malahan pula bilanggan kawasan majoriti kaum india tiada. (Melayu dimaksudkan Bumiputra) Oleh itu secara metamatik Melayu BN/UMNO susah di tumbangkan, melainkan terdapat pengkhianat bangsa.
2-Mengapakah penyatuan Melayu hanya ditanggungkan kepada UMNO sahaja? Kalau sudah tahu kaum cina sudah bersatu, kenapa tidak mahu berbincang? Ini berbincang pun tidak boleh, demi agama, macam mana hendak bersatu?
Yang ikhlas
Catat Ulasan