Ahad, Mei 09, 2010

Aku pun melayu, tapi khianat : Zaid lebih patuh pada Kit Siang?





















Setelah memperlihatkan sikap buruk kerana tidak dapat menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, pemimpin PKR, Zaid Ibrahim buat hal lagi. Kali ini beliau mempersoalkan titah Sultan Selangor agar masjid tidak digunakan untuk kempen politik dan dakyah parti. Zaid mendakwa titah itu hanya pendapat peribadi baginda.

Ia bukan arahan, perintah atau decree. Menurut beliau, dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman Raja-Raja Melaka dahulu. Walaupun dikenali sebagai seorang tokoh peguam, tafsiran Zaid cukup dangkal. Undang-Undang Tubuh kerajaan Negeri Selangor jelas menyatakan titah (arahan) baginda wajar dipatuhi.

Agak hairan juga apabila Zaid mengambil sudut negatif titah Sultan Selangor yang bertujuan menjaga kesucian Islam. Sebagai orang Islam beliau sepatutnya bersyukur baginda melaksanakan peranannya sebagai raja yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam. Janganlah kerana kepentingan politik, beliau sanggup membelakangkan kepentingan agama. Janganlah juga kerana imejnya sebagai Melayu liberal maka agama boleh dipertaruhkan. Bayangkan implikasinya jika semua pihak dan parti politik boleh sebebas-bebasnya menggunakan masjid untuk berpolitik.

Umat Islam yang sudah berpecah akibat ketaksuban politik, akan makin berpecah dan lemah. Rasanya penganut agama lain pun berhemah dalam menggunakan rumah ibadat mereka sebagai tempat penyatuan, bukan perpecahan. Dilihat pandangan Zaid adalah songsang dan di luar tabii. Ia bercanggah dengan kepentingan Islam. Kalaulah PKR memerintah, kita sudah boleh menjangkakan Malaysia akan diheret akhirnya menjadi negara republik. Membenarkan beliau terus bersikap kurang ajar dan biadab, akan memberi isyarat yang salah kepada banyak pihak.

Orang seperti beliau akan tafsir perkara dan isu mengikut kepentingan politik semata-mata. Percayalah Zaid akan lebih patuh kepada nasihat pemimpin DAP Lim Kit Siang daripada nasihat sultan. Zaid juga tidak mungkin biadab kepada DAP berbanding sultan. Hampir kesemua isu dan perjuangan DAP disokong oleh Zaid termasuk menuntut kesamarataan, yang tidak bertunjangkan realiti sejarah dan Perlembagaan negara.

Bercerita tentang unta di padang pasir lebih baik daripada bercakap tentang beliau. Zaid menulis buku berjodol 'Aku pun Melayu'! tetapi dengan sikap yang ditunjukkan oleh Zaid jelas menampakkan bahawa Zaid adalah Melayu yang tidak sedar diri. Kalau berhujah panjang dan bercakap banyak pun, tidak berguna. Zaid tetap Zaid. Di harap umat Islam dan orang Melayu dapat menilai kenyataan Zaid. Ia menyerlahkan lagi hakikat beliau memang Melayu yang tidak sedar diri.- SBUM.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: