Rabu, Julai 24, 2013

Isu calon pil kuda: Sekutu PAS saman Hadi?

Mohd Shamsul menunjukan salinan laporan Polis berhubung dakwaan yang beliau mengedar pil kuda.

Bekas calon PKR DUN Bukit Besi dakwa kenyataan Presiden PAS punca kekalahannya pada PRU-13

Jertih: Seorang calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan menyaman Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa Presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkannya kalah pada PRU-13.

Mohd Shamsul Mat Amin, 28, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Dungun, berkata kenyataan Hadi yang mendakwa ada calon PKR jual pil kuda memberi kesan serta menjejaskan kehidupannya.

Selain itu, katanya, kenyataan itu juga mengakibatkan kekalahannya yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi pada PRU-13.

Rasa terhina dengan ucapan

“Walaupun Hadi tidak menyebut nama calon yang dimaksudkan, saya berasa tertekan dan terhina dengan ucapannya kerana saya antara calon bertanding.

“Ucapan itu disiarkan di semua media utama, termasuk internet dan dimuat naik ke laman Youtube dan boleh dibaca serta didengar jutaan manusia di seluruh dunia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau merujuk kepada ucapan Hadi yang disiarkan di dalam akhbar pada 23 April lalu bertajuk Calon PKR jual pil kuda sokong Komunis.


Dalam ucapan Hadi ketika berceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, beliau dipetik berkata pihaknya mendapat maklumat ada antara calon PKR yang menjadi pengedar pil kuda serta mengagungkan pemimpin Komunis.

Shamsul yang juga seorang pemaju perumahan berkata, akibat daripada ucapan itu, beliau berasa aib dan diejek dalam kalangan masyarakat kampung serta menyebabkan nama baik keluarganya tercemar, termasuk kredibiliti parti.

“Secara tidak langsung menjejaskan perniagaan saya selain menderita akibat fitnah sehingga menyebabkan masyarakat menganggap saya pengedar pil kuda.

“Saya bertekad untuk mengambil tindakan mahkamah bagi membersihkan nama baik saya daripada angkara fitnah ini.

“Hadi sebagai pemimpin politik bercirikan agama sepatutnya menyiasat terlebih dulu berita atau maklumat yang belum ditentukan kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi rakannya yang juga bekas calon bagi kerusi DUN Kota Putera dan Seberang Takir, dijangka mengambil tindakan yang sama dalam tempoh terdekat.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: